Bina legasi pelumba profesional, 4 pemandu pertama KRA hangatkan Skilldrvn Swift Professional Series 2026  


  • Hobi
  • Selasa, 16 Dis 2025

Kesemua kereta untuk Professional Series akan menggunakan Suzuki Swift 1.6 liter.

 

KEGANI Racing Academy (KRA) Malaysia secara rasmi melancarkan Skilldrvn Swift Professional Series 2026 dengan pemilihan pemandu pertamanya yang diadakan di Carfe, Petaling Jaya, Selangor untuk menyertai siri tersebut.

Terbuka hanya kepada pasukan dan syarikat milik persendirian, Professional Series akan berlangsung selama 5 pusingan di Litar Antarabangsa Sepang Petronas, dengan musim pertama terhad kepada hanya 10 pasukan.

Setakat ini, empat pasukan yang terpilih ialah Bendix Ultimate Racing Team, Profimax Racing Team, Team Ultra Racing dan ELF Evolution Team.

BACA LAGI: Preskripsi alam semula jadi 'ubat' mujarab atasi tekanan darah, hormon stres dan tingkatkan imuniti

BACA LAGI: Sabah bina laluan pertama di Malaysia guna sisa lautan, jadi tarikan terbaharu Pulau Gaya

Perlumbaan itu merupakan kejuaraan bertaraf nasional dan merupakan langkah seterusnya daripada Skilldrvn One Make Race (OMR) Series yang dimulakan sejak 2023.

Ia sebagai platform untuk membangunkan sukan permotoran dengan dengan keterlibatan pelumba muda dan baharu.

 

Pelumba Team Ultra Racing, Loke Yin Yi.

Professional Series diperkenalkan untuk memberikan syarikat, jenama dan produk Malaysia yang mampu milik, jelas dan yang paling penting, berterusan dalam sukan permotoran.

“Ia adalah sebahagian daripada legasi yang saya sedang bina dan dalam proses menyasarkan sesuatu yang lebih besar dalam jangka masa panjang selangkah demi selangkah.

 

 

Kenny Lee.

“Kejohanan ini adalah langkah kedua yang saya ambil yang mempunyai banyak komitmen. Saya bersyukur juga semua kerjasama dan jenama-jenama yang bersama kami untuk sukan permotoran di Malaysia.

“Bahkan ini adalah jalan untuk meningkatkan lagi kejayaan dalam dunia permotoran Malaysia. Ini termasuk mendapat pendidikan dan membina kerjaya dalam menjadi pelumba profesional,”  kata Pengetua dan Ketua Jurulatih Kegani Racing Academy, Kenny Lee.

 

Pelumba Bendix Ultimate Racing Team, Teoh Cheong Liong

 

Semua kereta untuk Professional Series akan menggunakan Suzuki Swift 1.6 liter berasaskan pengeluaran yang sama seperti Skilldrvn One Make Race Series.

Bahkan, kali ini pemetaan enjin telah dipertingkatkan khusus untuk siri kali ini.

Kelayakan pemandu untuk dipilih dalam siri berkenaan berlandaskan tanda aras yang cukup kukuh.

Sebagai pemandu Skilldrvn Swift Professional Series, pelumba terlebih dahulu perlu membuktikan kemampuan mereka dalam Skilldrvn One Make Race (OMR) Series.

Mereka yang mengumpul sekurang-kurangnya 700 mata kejuaraan sepanjang kerjaya akan secara automatik layak untuk dipilih ke Profesional Series.

Namun, pengecualian bagi kelayakan 700 mata adalah jika seorang pemandu memenangi maksimum 500 mata dalam satu musim serta memenangi Anugerah Rookie of the Year.

Sebagai pelumba Professional Series, individu akan layak menerima tajaan penuh untuk bertanding bersama pasukan yang memilih mereka. Pelumba tidak lagi perlu membeli atau menyewa kereta lumba dalam program khas “arrive and drive” setiap pusingan.

Proses ini membuktikan KRA akan memastikan setiap individu yang hadir ke akademi mendapat peluang untuk membina kerjaya sebagai pelumba profesional. Malah mengalu-alukan kepada mereka yang bermula dari bawah dan tidak mempunyai sebarang pengalaman.

 

Pelumba Profimax Racing team Andy Boey.

KRA dilihat telah menjadi platform pimpinan dalam Pendidikan Sukan Permotoran yang menggabungkan teori, melalui silibus kursus yang unik dengan sesi praktikal  latihan di litar.

Ia turut mendorong proses pembelajaran pelajar sambil mengekalkan standard pemanduan, perlumbaan dan semangat kesukanan yang tinggi.

“Bendix terdorong untuk menyokong Skilldrvn Swift Professional Series kerana ia menyediakan platform sukan permotoran yang relevan di mana prestasi brek, ketahanan, dan konsistensi diuji dalam keadaan perlumbaan sebenar.

 

Pelumba ELF Evolution Team, Vox Lim

 

“Platform Skilldrvn One Make Race membolehkan pemandu membangunkan kemahiran kawalan brek dan kenderaan yang kritikal dalam persekitaran terkawal dengan peralatan yang sama.

“Sukan permotoran berkembang apabila pemandu dan rakan kongsi komited kepada pembangunan jangka panjang. Bagi pemandu, penyertaan yang konsisten membina pengalaman dan pendedahan.

 

Piala Kejohanan Skilldrvn Swift Professional Series 2026.

"Malah, menyokong siri tersusun seperti Skilldrvn adalah peluang untuk menyumbang kepada pertumbuhan sukan ini sambil berinteraksi secara autentik dengan komuniti permotoran,” kata Penolong Pengurus Pemasaran, FMP Automotive (Malaysia) Sdn Bhd, Alicia Choong.

Sementara itu, KRA turut berbangga menobatkan Loke Yin Yee sebagai juara keseluruhan berganda pertama bagi Skilldrvn One Make Race (OMR) Series.

Naib juara 2025 pula ialah Andy Boey, manakala tempat ketiga keseluruhan disandang oleh kereta #390 Vox Lim. Boey, 34 tahun, juga merupakan juara keseluruhan pada 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram