Jentera tua GG 4x4 kru Malaysia naik podium antarabangsa, buktikan kegagahan cabar Rusia


  • Hobi
  • Khamis, 11 Dis 2025

GG 4x4 yang berpangkalan dari Terengganu raih tempat ke-3 bagi kategori R3 Rainforest Challenge Grand Final 2025.

MEMPERTARUHKAN Land Rover Defender Series 3 88 yang berusia hampir separuh abad, tidak menjadi halangan buat GG 4x4 untuk meraih podium tempat ketiga Rainforest Challenge (RFC Grand Final 2025).

Kejayaan tersebut dicapai setelah menempuh 11 hari perlumbaan ekstrem yang berakhir di Gua Musang, Kelantan kelmarin.

Jentera yang agak tua itu membuktikan pengekalan hampir 90 peratus komponen asal termasuk enjin, mampu berentap dengan jentera lumba tempatan dan pasukan luar negara yang lebih moden dan berkuasa tinggi.

BACA LAGI: Rakyat Malaysia wajar contohi wanita ini amal '10R', jadikan kemampanan satu gaya hidup

BACA LAGI: Pastikan pilih menu 'warna-warni' sayur, kekacang dan buah antara 8 tip gaya hidup sihat

 

Hampir 90 peratus komponen asal termasuk enjin, Land Rover Defender Series 3 88 yang berusia hampir separuh abad menjadi taruhan pasukan.

Walaupun hanya sekadar meraih di tempat ke-3 bagi kategori R3, pengurus pasukan GG 4x4, Azili Safeei, tetap berbangga dengan pencapaian tersebut di atas kemampuan pasukan untuk walaupun pada awalnya ramai yang sangsi dengan kemampuan jentera yang digunakan.

“Bukan mudah buat kami untuk menamatkan perlumbaan ini. Kami juga turut berdepan dengan masalah mekanikal seawal hari pertama perlumbaan di Gua Musang yang menyebabkan kami ketinggalan untuk memungut mata perlumbaan sepenuhnya.

“Podium untuk tahun ini sudah cukup bagus dari langsung tiada walaupun di tempat ke-3 setelah berentap dengan pasukan dari Poland dan pencabar tempatan yang turut mempunyai reputasi tinggi,” katanya.

“Sekurang-kurangnya kami menamatkan kalendar perlumbaan musim ini dengan sesuatu yang boleh dibanggakan,” tambahnya.

 

Gandingan Tengku Khairul A Rahman (kiri) bersama Muhamad Nasrul Aiman Mohd Azili selaku juruarah pasukan GG 4x4 berjaya menamatkan 11 hari perlumbaan lasak Rainforest Challenge Grand Final 2025 di tempat ke-3 bagi kategori R3.

Sementara itu, pemandu pasukan, Tengku Khairul A Rahman kekal optimis jentera berusia tersebut yang dipercayai, masih mampu untuk kembali beraksi pada edisi seterusnya di pentas kejuaraan itu.

“Realiti, kelajuaan bukan faktor utama menentukan siapa juara di pentas RFC ini. Pengalaman dan taktikal perlumbaan menjadi taruhan utama untuk terus mengejar podium seperti mana kami buktikan pada hari ini.

“Begitu juga sokongan pasukan teknikal sama ada barisan mekanik yang berhempas pulas, siang dan malam untuk membaiki jentera dan juga pengurusan pasukan yang menjadi penghubung kepada penaja-penaja musim ini, malah konsisten membantu pasukan lumba ini,” katanya yang bergandingan bersama Muhamad Nasrul Aiman Mohd Azili selaku juruarah pasukan yang berpangkalan dari Terengganu.

 

Pengurus pasukan GG 4x4 Azili Safeei(dua dari kanan) bersama pasukan setelah menamatkan perlumbaan peringkat cabaran(SS) terakhir Rainforest Challenge Grand Final 2025 di Gua Musang, Kelantan.

 

Untuk rekod, kategori R3 dijuarai oleh pasukan dari Poland yang dipacu oleh Rafal Stanislaw Osmolski bersama pemandu arah Kamil Mariusz Majerczyk.

Manakala tempat kedua milik pasukan tempatan ‘Otai Racing Team’ yang dipandu oleh Kamarozaman Jusoh bersama juruarah Muhd Khairy Kamid yang mempunyai reputasi besar dalam arena sukan permotoran lasak ini.

Russia mendominasi podium bagi kategori R1 setelah meraih di tempat pertama dan kedua manakala tempat ke-3 pula berjaya dicuri oleh pasukan tempatan dari Sabah, setelah menafikan dua lagi pasukan dari Russia yang berada di tempat ke-4 dan ke-5.

Bagi kategori R2, hanya dua buah pasukan bertanding dan berjaya dirangkul oleh pasukan ‘107’ dari Johor dan Cameron 4x4 di tempat kedua.

Rainforest Grand Final 2025 edisi ke-28 kali ini yang bermula sejak 29 November 2025 lalu dari Sungai Buloh, Selangor dan berakhir pada 9 Disember di Gua Musang, Kelantan.

Acara 11 hari perlumbaan itu mempertaruhkan tiga kategori dipertandingkan iaitu R1 (Prototype), R2 (Modified Production) dan R3 (Production) yang disertai oleh tiga negara iaitu Russia, Poland dan Latvia menghimpunkan keseluruhan sebanyak 22 jentera lumba termasuk dari pasukan tempatan.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram