MENEMPATKAN kaunselor kesihatan mental di pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor akan memudahkan orang ramai mendapatkan sokongan susulan peningkatan kes tekanan, keresahan dan kemurungan.
ADUN Johor Jaya, Liow Cai Tung berkata, langkah tersebut membolehkan perkhidmatan profesional diberikan kepada pengundi yang menghadapi isu peribadi dan keluarga yang kompleks.
“Kadang-kadang kami bertemu pengundi yang jelas berada di bawah tekanan yang sangat tinggi.
BACA LAGI: Preskripsi alam semula jadi 'ubat' mujarab atasi tekanan darah, hormon stres dan tingkatkan imuniti

Liow menegaskan tekanan, kemurungan, kebimbangan semakin menjadi-jadi dan orang ramai seharusnya boleh mendapatkan bantuan di pejabat ADUN.
“Dengan adanya kaunselor di lokasi, kita dapat menyokong mereka secara profesional, bukan sekadar memberi simpati,” katanya kepada StarMetro.
Beliau berkata, inisiatif tersebut telah dilaksanakan di Selangor melalui program Selangor Mental Sihat. Orang ramai boleh terus ke beberapa pejabat ADUN untuk mendapatkan bantuan.
Liow turut menekankan bahawa dalam Bajet Johor 2026, Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan, peruntukan RM774,000 untuk program klinik kaunseling yang bertujuan, meningkatkan kesedaran kesihatan mental di kalangan penjawat awam.
Beliau berkata lebih banyak usaha diperlukan kerana isu kesihatan mental semakin menjejaskan orang dewasa dan belia dalam masyarakat.
“Buli di tempat kerja, di sekolah atau dalam komuniti, serta tekanan, kemurungan, keresahan, masalah tidur dan keletihan melampau semakin menjadi perkara biasa.
“Ia bukan kelemahan peribadi tetapi hasil daripada pelbagai tekanan luaran, dan ini memerlukan usaha intervensi yang lebih baik,” katanya.
Liow berkata kesejahteraan mental yang stabil memberikan manfaat luas kepada individu.
Antaranya termasuk membuat keputusan yang lebih baik, hubungan yang lebih sihat, mengurangkan risiko penggunaan dadah dan masalah sosial, meningkatkan prestasi kerja, serta mengukuhkan ikatan keluarga dan komuniti.
Bagi menangani kebimbangan kesihatan mental yang meningkat, beliau menggesa kerajaan negeri untuk meluaskan akses perkhidmatan melalui pendekatan yang lebih menyeluruh.
Bahkan, lebih progresif seperti menubuhkan hab kesihatan dan talian hotline 24 jam.
“Ini juga boleh membantu meningkatkan kesedaran dan menyokong individu yang memerlukan bantuan,” katanya, sambil menambah bahawa perkara ini telah dibangkitkan semasa persidangan Dewan Undangan Negeri pada November lalu.
Liow juga mencadangkan perkhidmatan kaunseling percuma untuk orang ramai, dengan membina perkhidmatan sedia ada seperti yang ditawarkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).
Beliau berkata perkhidmatan ini boleh diperluaskan lagi melalui agensi negeri seperti Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim.
“Rawatan psikiatri dan psikologi yang disubsidi, latihan sistematik serta penempatan guru kaunseling di sekolah dan kursus kesihatan mental yang diperakui untuk sukarelawan, pemimpin komuniti dan petugas barisan hadapan juga amat penting.
“Kerjasama antara kerajaan negeri, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) adalah penting untuk membekalkan komuniti dengan pengetahuan bagi mengenal pasti tanda awal tekanan serta menggalakkan individu mendapatkan bantuan,” tambah beliau.
Mereka yang menghadapi tekanan psikologi dan emosi boleh menghubungi cawangan Befrienders berikut: Johor Bahru (07-267 0707), Muar (06-225 0792), Melaka (06-225 0791) dan Seremban (06-632 1772/3).
Anda juga boleh layari laman web www.befrienders.org.my/centre-in-malaysia atau hubungi 03-7627 2929. — The Star/YEE XIANG YUN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
