Wanita jangan hadkan diri, 3 peminat akui automotif bukan zon eksklusif lelaki


  • Suskses
  • Jumaat, 19 Dis 2025

Dari kanan: Izwan, Nur Syakinah Munira, Nur Arissa dan Nurul Dafila dan Izwan ketika program audio siar sempena KFC X JMR Sembang Kereta Edisi 2025 di KFC Edusphere Cyberjaya, Selangor pada Rabu.

DALAM dunia automotif, susuk wanita bukan hanya layak berada di belakang tabir, sebaliknya golongan itu juga mampu berdiri sebaris lelaki.

Suara senada itu dikongsi tiga wanita yang kini aktif dalam komuniti sukan permotoran, sekali gus mematahkan persepsi bahawa enjin, minyak hitam dan pit-lane hanya milik kaum lelaki.

Ahli kelab peminat Johor Motorsports Racing (JMR), Nur Syakinah Munirah Sharif, 28, mengakui, ramai wanita masih beranggapan bidang automotif bukan tempat mereka.

BACA LAGI: Dua putera raja Johor kongsi pengalaman sebagai pelumba JMR, beri inspirasi kepada lebih 200 pelajar IPT terokai bidang permotoran, automotif

BACA LAGI: Litar licin di Beijing, tekanan 'home race' di Sepang antara cabaran 2 putera Johor sejak bergelar pelumba JMR

Namun baginya, bentuk pemikiran itu perlu diubah.

“Jangan hadkan diri anda. Kita selalu rasa tak boleh buat disebabkan (status) sebagai perempuan.

"Namun pada zaman teknologi ini, kita ada akses dan terbuka untuk pembelajaran," katanya dalam program audio siar sempena program KFC X JMR Sembang Kereta Edisi 2025 di KFC Edusphere Cyberjaya, Selangor baru-baru ini.

YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor atKFC x JMR Sembang Kereta 2025 Edition. This year marks the sixth anniversary of our collaboration with Johor Motorsports Racing (JMR), and KFC Malaysia is honoured to host this prestigious engagement event. (DEC 3 2025) — ART CHEN/The Star

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan QSR Brands, Nehchal Khanna (dua dari kiri), Tunku Abu Bakar (tiga dari kiri) dan Tunku Abdul Rahman (empat dari kiri) ketika acara KFC X JMR Sembang Kereta Edisi 2025 yang berlangsung di restoran KFC Edusphere, Cyberjaya.

Bercerita lanjut, Nur Syakinah Munirah berkata, beliau pernah bertugas dalam bidang khidmat pelanggan sehingga berusia 25 tahun.

Bagaimanapun, minat terhadap sukan permotoran membuatkan dirinya nekad menukar haluan kerjaya.

“Saya mula ikut JMR ke luar negara seperti Thailand, Jepun dan Korea. Saya terinspirasi dalam bidang ini selepas melihat ketua jurutera JMR sebelum ini ialah seorang wanita.

"Dari situ saya terfikir, kalau beliau boleh, kenapa tidak saya?” ujarnya yang kemudian menyertai kursus pendek automotif dan kini bekerja di sebuah bengkel kereta.

Program audio siar yang dikendalikan wartawan Majoriti, Izwan Ramlan itu turut disertai dua pemenang pertandingan KFC Win & Feel the Speed Round 2, iaitu Nur Arissa Samad, 27, dan Nurul Dafila Nor Azlizan, 40.

Para pemenang berpeluang menyaksikan Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim serta pelumba JMR yang lain beraksi secara langsung di CrowdStrike 24 Hours of Spa di Belgium pada Jun lalu.

Berkongsi pandangan dan pengalaman dalam dunia automotif, Nur Arissa berkata, beliau menolak persepsi negatif segelintir pihak terhadap wanita yang meminati perlumbaan Formula 1 (F1) atau sukan permotoran.

Baginya, dunia sudah berubah dan wanita kini mampu memilih minat mereka tanpa batasan.

Nur Syakinah Munirah kini aktif sebagai ahli kelab peminat JMR. — Instagram/Kieyna_97

"Ada orang mempersoalkan, kenapa tiba-tiba perempuan minat F1? Saya terfikir, sejak bila pula kejuruteraan dan automotif hanya untuk lelaki?

“Kalau dulu wanita tak bekerja, tapi hari ini ramai wanita masuk pelbagai bidang. Jadi terima perubahan dengan hati terbuka,” tegasnya.

Jurutera hidrokuasa berasal dari Johor Bahru, Johor itu turut berkongsi pengalaman menyaksikan perlumbaan pada waktu malam yang berlangsung di litar Spa-Francorchamps.

Ceritanya, litar berkenaan diiktiraf sebagai salah satu litar perlumbaan legenda di dunia dan terkenal disebabkan laluan berbukit serta teknikal seperti Eau Rouge–Raidillon yang sangat mencabar.

"Itu kali pertama saya melihat perlumbaan pada waktu malam. Sangat menakjubkan ditambah warna litar seperti merah dan oren membuatkan ia sangat pop-up,” kongsinya.

Nurul Dafila berkesempatan bergambar bersama jentera JMR iaitu Chevrolet Corvette Z06 GT3.R. — Instagram/dafila.neo

‘Tak kenal, maka tak cinta’

Seorang lagi pemenang pertandingan KFC Win & Feel the Speed Round 2, Nurul Dafila percaya, wanita yang berminat dalam sukan permotoran tidak harus gentar dengan kata-kata yang cuba merendahkan mereka.

“Kalau tak kenal maka tak cinta. Dunia permotoran ini luas, ia bukan sekadar kereta, tapi budaya, minat dan kerja berpasukan,” jelasnya.

Nurul Dafila turut menyifatkan budaya permotoran di Belgium sangat meriah, dipenuhi keluarga yang hadir menonton perlumbaan hingga ke malam, lengkap dengan pertunjukan bunga api.

“Di sana ahli kelab peminat mereka sangat hardcore, dari kanak-kanak sampai dewasa datang sokong,” kongsi beliau.

Suara tiga wanita ini membuktikan automotif bukan lagi bidang yang harus dipagari stereotaip gender.

Dengan peluang pembelajaran terbuka, minat dan keberanian mencuba, wanita bukan sahaja mampu meminati perlumbaan sukan permotoran, malah boleh membina kerjaya bersamanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram