Nak berlari tidur kena cukup, kalau tidak risiko cedera lebih parah


  • Hobi
  • Khamis, 11 Dis 2025

Tidur yang cukup pada waktu malam harus diiktiraf bukan sahaja sebagai alat pemulihan

TREND berlari kini semakin mendapat sambutan malah di bandar-bandar utama, terdapat banyak organisasi yang mengadakan larian santai di waktu pagi bagi memupuk gaya hidup sihat.

Larian beramai-ramai menjadi sebuah aktiviti kumpulan yang cukup meriah, ada yang sanggup bangun pagi untuk menyertai larian tersebut.

Akan tetapi perlu diingatkan, setiap larian memerlukan tenaga yang kuat dan tidur yang cukup adalah penting untuk memberi tenaga semasa larian.

BACA LAGI: Rakyat Malaysia wajar contohi wanita ini amal '10R', jadikan kemampanan satu gaya hidup

BACA LAGI: Sabah bina laluan pertama di Malaysia guna sisa lautan, jadi tarikan terbaharu Pulau Gaya

 

Setiap larian memerlukan tenaga yang kuat dan tidur yang cukup.

Walaupun tidur yang cukup mungkin bukan keutamaan tertinggi dalam senarai persediaan anda sebelum berlari, tapi ia perlu dititikberatkan.

Malah ramai berharap diet yang baik dan regangan yang betul dapat membantu mereka mencapai rekod peribadi baharu, namun itu bukan satu kepastian.

Kajian baharu menunjukkan bahawa bagi pelari elit dan juga jutaan orang di seluruh dunia yang berjoging secara berkala, tidur selama lapan jam standard dapat meningkatkan prestasi.

Bahkan, boleh menjadi kunci untuk mencegah terseliuh, terhentak dan koyakan otot yang boleh berlaku akibat berlari.

Satu tinjauan baharu terhadap 425 pelari mendapati mereka yang melaporkan tidur yang lebih singkat atau terganggu, hampir dua kali ganda berisiko mengalami kecederaan, berbanding mereka yang mendapat tidur yang nyenyak.

Menurut Profesor Psikologi Kerja dan Sukan dari Eindhoven University of Technology, Belanda, Dr Jan de Jonge, kajian itu menunjukkan bukti kukuh bahawa tidur adalah komponen kritikal, tetapi sering diabaikan dalam pencegahan kecederaan. 

Beliau menjalankan penyelidikan ini bersama Profesor Psikologi Kerja dan Organisasi dari Utrecht University, Dr Toon Taris, juga di Belanda.

Diterbitkan dalam jurnal Applied Sciences, hasil kajian ini menolak apa yang Prof de Jonge katakan sebagai kecenderungan pelari untuk meletakkan tidur “di bahagian paling bawah senarai,” di bawah persediaan lain seperti pemakanan dan regangan.

“Kajian kami menunjukkan bahawa mereka yang kurang tidur 1.78 kali lebih cenderung melaporkan kecederaan berbanding mereka yang tidur dengan kualiti baik dan stabil.

“Ia diiringi dengan kebarangkalian 68 peratus untuk mengalami kecederaan dalam tempoh 12 bulan,” katanya.

Beliau menggambarkan penemuan itu sebagai peringatan kuat bahawa, kualiti rehat sama pentingnya dengan intensiti latihan.

“Apabila tidur terganggu atau tidak mencukupi, keupayaan tubuh untuk membaiki tisu, mengawal hormon dan fokus dalam diri berkurangan, semuanya boleh meningkatkan risiko kecederaan.

“Kualiti tidur dan tempoh tidur kedua-duanya penting, tetapi kuantiti selalunya menjadi asas yang kukuh,” simpul Prof de Jonge dan Prof Taris dalam kajian mereka.

Kedua-duanya menekankan bahawa tidur yang cukup pada waktu malam harus diiktiraf bukan sahaja sebagai alat pemulihan, tetapi juga sebagai penunjuk potensi berlakunya kecederaan dalam sukan rekreasi.

Menurut University of South Australia, Prof de Jonge yang merupakan profesor tambahan di Sekolah Psikologi berkata, walaupun lebih 600 juta orang di seluruh dunia adalah pelari rekreasi, kemungkinan mereka lebih sihat.

Ini kerana 90 peratus daripada mereka berkemungkinan mengalami kecederaan pada suatu ketika.

Masa atau cuti rehat yang terpaksa diambil akibat kecederaan itu akhirnya menyebabkan ekonomi dunia menanggung kerugian jutaan ringgit setiap tahun akibat ketidakhadiran pekerja dan perbelanjaan perubatan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram