[VIDEO] Waspada amalan 'seat squatting', yang pasti anda berhak pertahankan tempat duduk dibayar


  • Nomad
  • Jumaat, 10 Okt 2025

Seat squatting iaitu penumpang yang cuba merampas tempat duduk orang lain semasa menaiki kapal terbang.

TIADA ungkapan khusus dapat menggambarkan situasi yang digelar “seat squatting” di mana ada penumpang yang cuba 'merampas' tempat duduk orang lain semasa menaiki kapal terbang.

Kadangkala, pelaku berjaya mendapat tempat yang mereka inginkan dan biasanya ia berlaku atas belas ihsan atau sifat empati pemilik tempat duduk itu sendiri.

Contohnya ingin duduk berhampiran keluarga, atau menawarkan tempat duduk yang setara atau lebih baik. Namun, ada juga yang berjaya hanya kerana penumpang asal ingin mengelak daripada bercerita panjang atau ingin menyendiri sepanjang tempoh penerbangan.

BACA LAGI: Tradisi cop poskad dan setem, 'cara lama' dilupa jangan setiap kali ke tempat orang

BACA LAGI: [VIDEO] Tak kisah bayar RM1 janji pantai Sipitang bersih, nama Terengganu juga dipetik miliki kualiti sama walaupun percuma

 

 

“Seat squatter” biasanya mendapat tempat yang diingini atas belas ihsan atau sifat empati pemilik tempat duduk itu sendiri.

 

Mungkin itulah yang diharapkan oleh seorang wanita dalam penerbangan United Airlines baru-baru ini yang menggunakan nama Sudden_Director9022 di platform Reddit.

Namun, menerusi perkongsiannya dalam pesawat berkenaan, apa yang berlaku sebaliknya apabila harapannya tidak kesampaian.

Menurut hantaran tersebut, dia baru menaiki pesawat di Newark, Amerika Syarikat dan duduk di barisan 20, kerusi bahagian laluan pintu keluar (exit seat).

Dia kemudian melihat seorang wanita duduk di tempat duduk 15C, bertentangan dengan keluarganya yang duduk di 15D, 15E dan 15F.

Beberapa minit kemudian, seorang penumpang lelaki datang kepadanya dan bertanya di manakah tempat duduk sebenar wanita tersebut.

“Tempat duduk saya ialah 31B, kerusinya di tengah-tengah jauh di bahagian belakang pesawat,” katanya

Respon lelaki itu menjadi momen yang cukup klasik.

“Jangan banyak tanya, awak pindah sekarang,” kata lelaki tersebut.

 

Disiplin diri dan sikap hormat menghormati yang perlu ada semasa menaiki kapal terbang.

 

Biasanya, penumpang membayar lebih untuk tempat duduk di laluan manakala kerusi tengah di belakang pesawat jelas bukan pengganti yang setimpal.

Rata-rata warganet cukup berpuas hati dan memuji tindakan tegas lelaki tersebut terhadap wanita yang cuba merampas tempat duduk orang lain.

“Sewaktu anda berada dalam pesawat, jangan sesekali duduk di tempat orang lain tanpa meminta izin, kerana itu sangat biadab dan angkuh.”

“Mudah saja, saya faham sepenuhnya keinginannya dan sedia membantu. Tiada yang lebih penting daripada keluarga, cuma bayar saya USD2,000 (RM8,444) melalui Venmo dan saya akan beredar,” ujar lelaki tersebut.

 

 

 

Sementara itu, tular sebuah video di Thread yang dimuat naik oleh pemilik akaun @daniela.official._ yang menghadapi situasi seumpama.

Kelihatan dia memaklumkan kepada seseorang yang telah duduk di tempatnya namun penumpang tersebut berdegil dan tidak mahu bangun dari tempat duduk tersebut.

“Itu tempat duduk saya 7A (tingkat), sila bangun,” katanya.

“Saya sedang duduk dan saya tidak akan bangun,” respons individu tersebut.

Situasi itu mendorong seorang pramugara memeriksa tiket kedua-dua penumpang dan mendapati individu tersebut telah mengambil tempat duduk penumpang lain tanpa kebenaran.

Malah, dia bersikap angkuh dan sombong dengan mengatakan Daniela bersikap buruk sebelum diarahkan untuk beredar dari tempat duduk tersebut oleh pramugara berkenaan.

“Tengok diri awak, awak ada sikap yang buruk,” ujar individu tersebut tanpa rasa bersalah.

Insiden ini sepatutnya menjadi peringatan penting bahawa anda berhak untuk mempertahankan tempat duduk yang telah dibayar dan ditetapkan.

Apa yang pasti, sikap seperti ini tidak sepatutnya dibiarkan berterusan. Ia menunjukkan disiplin diri dan sikap hormat menghormati yang perlu ada sesama penumpang ketika menggunakan perkhidmatan penerbangan.— Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram