
KEMAHIRAN penyelesaian masalah kini sudah menjadi salah satu kemahiran yang semakin penting dalam era moden ini. Bahkan, di dalam kriteria pencarian kerja, ciri tersebut merupakan antara yang dicari-cari oleh sesebuah syarikat.
Kita tidak dapat mengelak daripada berdepan dengan pelbagai cabaran, sama ada dalam pekerjaan mahupun kehidupan seharian.
Oleh itu, kemampuan berfikir dengan jelas dan kreatif amat membantu dalam mencari jalan penyelesaian yang terbaik.
BACA LAGI: Tarian klasik kanak-kanak 7 tahun pukau penonton di Ipoh
Hobi yang dapat menenangkan fikiran dan kreatif boleh menjadi langkah yang berkesan untuk mengasah kemahiran tersebut.
Berikut ialah lima hobi kreatif yang dapat membantu meningkatkan kemahiran penyelesaian masalah:
1. Melukis atau mewarna
Melukis mengajar kita cara menyalurkan idea dan inspirasi menjadi bentuk nyata di atas kertas atau kanvas.
Apabila warna tidak sepadan atau sapuan berus warna tidak sama atau tersilap, kita perlu mencari cara untuk memperbaikinya agar hasilnya tetap sedap dipandang. Melalui proses ini, minda kita terbiasa mencari penyelesaian tanpa mudah berputus asa.
Selain itu, aktiviti melukis turut melatih konsistensi dalam menjaga setiap perincian. Kita belajar menyesuaikan gabungan warna, cahaya, dan ruang supaya hasilnya seimbang.
Kemahiran seperti ini boleh diaplikasikan ketika berhadapan dengan masalah yang memerlukan ketenangan dan perhatian terhadap butiran- butiran yang kecil.
2. Menenun atau membuat kraf tangan
Menenun adalah proses kraftangan dalam menghasilkan sesebuah tenunan dapat mengajar kita bahawa satu kesilapan kecil boleh memberi kesan besar.
Apabila simpulan atau coraknya tersilap, kita terpaksa buka dan menguraikannya untuk ia diperbetulkan semula dengan penuh kesabaran.
Melalui proses ini, kita belajar menghadapi masalah dengan langkah yang terancang dan berhati-hati.
Membuat kraf tangan pula mendorong kita untuk berinovasi dengan menggunakan fikiran untuk berusaha menghasilkan sesuatu yang unik serta bermanfaat.
Kemahiran itu melatih kita untuk melihat peluang dalam keadaan serba kekurangan dan ini menjadi satu aspek yang penting dalam kehidupan.
3. Fotografi kreatif
Hobi fotografi menuntut kita untuk melihat, mengolah setiap detik, cahaya, subjek dan sudut pandang bagi menghasilkan gambar yang hebat.
Jika sesuatu foto kelihatan biasa sahaja, kita terdorong untuk mencari sudut lain atau menyesuaikan teknik.
Proses ini membantu kita membiasakan diri berfikir dengan pantas dan mencuba pelbagai alternatif sambil mendapatkan keputusan yang terbaik.
Lebih daripada itu, fotografi melatih kepekaan terhadap butiran yang mungkin terlepas pandang daripada bola mata anda.
Setiap perubahan kecil pada posisi atau pencahayaan boleh memberikan hasil gambar yang berbeza.
Kebiasaan, melihat sesuatu daripada perspektif lain akan memperkukuh kemahiran penyelesaian masalah.
4. Menulis novel
Hobi menulis novel mengajar kita menyusun jalan cerita yang logik dan kukuh. Apabila jalan cerita menemui kebuntuan, kita perlu mencari cara baharu supaya naratif kekal menarik dan memiliki penutup dalam sesebuah cerita.
Proses berkenaan melatih kita berfikir secara kreatif dalam daya tahan yang kekal berterusan dalam mencari penyelesaian kepada sesuatu konflik.
Selain itu, menulis turut mengasah kebolehan menganalisis emosi dan situasi. Kita belajar memahami peranan setiap watak bagi memastikan cerita terus hidup dan seimbang.
Melalui kaedah ini, kemahiran penyelesaian masalah berkembang kerana kita terbiasa melihat sesuatu isu daripada pelbagai sudut pandang termasuk sudut yang berbeza.
5. Reka bentuk digital atau hiasan DIY
Hobi reka bentuk digital melatih kita menggabungkan unsur estetika dan fungsi dalam satu karya.
Sepertimana kecanggihan telefon pintar yang mampu memuat turun pelbagai jenis permainan video yang berkonsepkan pembinaan, jika hasil kelihatan tidak seimbang, kita perlu menyesuaikan warna, bentuk, atau susun atur sehingga serasi.
Proses tersebut mampu membiasakan kita berfikir secara sistematik dan kreatif dalam satu masa. Sementara itu, aktiviti hiasan DIY (Do It Yourself) pula sering membuat kita berhadapan dengan kekangan bahan dan peralatan.
Situasi ini mendorong kita untuk mengolah objek yang berkualiti dan boleh digunakan dengan sumber yang terhad. Melalui pengalaman tersebut, kita belajar bagaimana menghadapi masalah sebenar dengan sikap fleksibel dan positif.
Setiap aktiviti melatih kita supaya lebih sabar, teliti, serta mampu melihat peluang di sebalik sesebuah masalah. Dengan cara ini, kemahiran penyelesaian masalah dapat diasah secara semula jadi.— Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram