Pelepasan imigresen kod QR sempadan Singapura, rider motosikal ambil perhatian bermula 15 Oktober


  • Nomad
  • Jumaat, 10 Okt 2025

Penunggang motosikal menuju ke Singapura boleh terus menggunakan sistem MyBorderPass QR bermula 15 Oktober.

Konvoi motosikal pastinya tahu betapa pentingnya pasport yang perlu dibawa dan diperiksa di sempadan negara.

Apa pun alasan jika anda tidak membawa dokumen penting itu, pihak berkuasa tidak akan membenarkan memasuki sesebuah negara itu.

Tetapi, buat mereka yang ingin pergi ke Singapura, sistem kod QR yang dilaksanakan bagi mempercepatkan proses pelepasan imigresen untuk kereta di dua pintu akan diperluaskan meliputi penunggang motosikal.

BACA LAGI: Tradisi cop poskad dan setem, 'cara lama' dilupa jangan setiap kali ke tempat orang

BACA LAGI: [VIDEO] Tak kisah bayar RM1 janji pantai Sipitang bersih, nama Terengganu juga dipetik miliki kualiti sama walaupun percuma

 

 

Selain daripada MyNIISe, aplikasi MyBorderPass masih boleh digunakan untuk urusan masuk dan keluar sempadan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) akan diperluaskan kepada penunggang motosikal mulai 15 Oktober.

Beliau berkata, sistem berkenaan boleh digunakan di tujuh lorong motosikal di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) termasuk lapan lorong lagi di Kompleks CIQ Sultan Abu Bakar (KSAB) di Laluan Kedua.

“Semua lorong tersebut akan dilengkapi dengan pengimbas kod QR untuk digunakan oleh penunggang motosikal,” katanya sambil menggesa pengguna motosikal memuat turun dan mendaftar aplikasi MyNIISe bagi mempercepatkan perjalanan mereka.

Beliau menambah, penunggang motosikal juga boleh terus menggunakan sistem MyBorderPass QR yang telah pun beroperasi di kedua-dua pintu masuk tersebut.

Terdahulu, pada 22 September, MyNIISe mula dilaksanakan untuk kenderaan penumpang. Kod QR MyNIISe yang kini terhad kepada kereta boleh digunakan oleh warganegara Malaysia, Singapura serta warga asing.

Pelancong dari 63 negara boleh menggunakan kod QR tersebut untuk masuk ke Malaysia, manakala warganegara dari 71 negara boleh menggunakannya untuk keluar dari negara ini.

Setakat ini, aplikasi berkenaan telah mencatatkan lebih 50,000 pengguna yang telah muat turun.

Sebagai permulaan, 16 lorong kereta dan lapan laluan keluar dan lapan lagi masuk telah disediakan dilengkapi dengan sistem ini di BSI.

Di KSAB pula, sebanyak 12 lorong kereta, enam laluan untuk masuk dan enam lagi keluar telah mula beroperasi.

Baru-baru ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan bahawa percubaan sistem berkenaan akan diteruskan secara berperingkat di lima lapangan terbang antarabangsa utama di seluruh negara, iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (Terminal 1 dan 2), Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

“Percubaan ini akan dijalankan sehingga 28 Februari tahun hadapan. Dalam tempoh tersebut, sistem kod QR sedia ada dan aplikasi MyBorderPass masih boleh digunakan untuk urusan masuk dan keluar.

“Namun, orang ramai termasuk pelawat asing digalakkan memuat turun aplikasi mudah alih MyNIISe baharu yang boleh digunakan di lorong kemasukan yang telah diaktifkan,” kata jurucakap KDN melalui satu kenyataan.

Dokumen perjalanan atau pasport yang sah masih diperlukan bagi pemeriksaan imigresen seperti yang ditetapkan di bawah Akta Imigresen.— The Star/NELSON BENJAMIN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram