Usia emas masih sesuai hasilkan karya muzik, mampu bantu tajamkan fikiran


  • Hobi
  • Ahad, 12 Okt 2025

Mempelajari dan bermain alat muzik boleh meningkatkan daya ingatan pada usia tua.

MUNGKIN ramai yang melihat bermain alat muzik adalah bakat atau satu anugerah yang hanya dikurniakan kepada individu tertentu sahaja.

Namun, itu menjadi satu sangkaan yang tidak tepat kerana sebenarnya bakat ini boleh diasah dan dipelajari oleh sesiapa saja yang berminat.

Mempelajari alat muzik pada usia dewasa bukan sahaja satu usaha kreatif yang menyeronokkan, ia dapat membantu mengekalkan kesihatan dan ketajaman otak.

BACA LAGI: Tradisi cop poskad dan setem, 'cara lama' dilupa jangan setiap kali ke tempat orang

BACA LAGI: [VIDEO] Tak kisah bayar RM1 janji pantai Sipitang bersih, nama Terengganu juga dipetik miliki kualiti sama walaupun percuma

Pakar Perunding Neurologi dari Britain, Dr Steven Allder, menjelaskan bagaimana mempelajari alat muzik dapat merangsang bahagian utama otak, memberikan suasana positif dalam diri serta menyokong fungsi kognitif jangka panjang.

Sama ada anda ingin menghidupkan kembali hobi lama bagi mereka yang pernah bermain alat muzik atau mencuba sesuatu yang baharu sepenuhnya, berikut adalah kebaikan mengapa belajar bermain muzik boleh menjadi salah satu kaedah yang baik untuk kesihatan otak

 

 

Mempelajari alat muzik selepas usia 60 tahun dapat menguatkan dan merangsang saraf otak.

 

Membantu menajamkan ingatan

Mempelajari dan bermain alat muzik boleh meningkatkan daya ingatan pada usia tua. Keterlibatan otak dalam memproses fungsinya seperti membaca nota muzik, menyelaras pergerakan, dan mengingati melodi.

“Ini menguatkan rangkaian saraf yang berkait rapat dengan ingatan dan tumpuan, sama seperti senaman untuk tubuh dan latihan berulang yang boleh memberi kesan.

“Bahkan, dapat mengukuhkan laluan saraf, sekali gus meningkatkan daya ingatan untuk jangka panjang.

“Kajian menunjukkan pemuzik sering mempunyai ingatan langsung dan kelenturan kognitif yang lebih baik, menunjukkan bahawa aktiviti muzik yang berterusan membantu otak lebih bertahan semasa dimamah  usia,” jelas Dr Allder.

 

Menggalakkan keanjalan otak (neuroplasticity)

Selain itu, mempelajari alat muzik selepas usia 60 tahun dapat menguatkan dan merangsang saraf baharu daripada bahagian yang sedia ada.

“Setiap sesi pembelajaran memerlukan koordinasi pergerakan, pendengaran dan penyelesaian masalah yang memaksa otak untuk ‘menyusun semula’ dirinya.

“Cabaran berterusan ini membantu mengekalkan kelenturan kognitif yang sangat berharga apabila kita semakin tua. Dengan mencipta keanjalan otak, pembelajaran muzik menjadi alat berkuasa untuk memastikan otak kekal aktif, mudah menyesuaikan diri, dan lebih bersedia menghadapi perubahan akibat penuaan,” ujar Dr Allder.

 

Meningkatkan kemahiran bahasa dan pendengaran

Jelas Dr Allder lagi, muzik dan bahasa berkongsi rangkaian yang bertindih dalam otak, terutamanya di bahagian yang bertanggungjawab terhadap pemprosesan bunyi dan ritma.

“Mempelajari alat muzik melatih otak untuk membezakan nada, tona, dan masa dengan tepat, yang boleh diterjemahkan kepada pendengaran yang lebih tajam dan pertuturan bahasa dengan lebih baik,” jelas beliau.

Bagi orang tua, komunikasi yang lebih jelas terutamanya dalam persekitaran yang bising adalah satu kejayaan yang baik dari sudut kesihatan.

“Selain itu, latihan muzik menguatkan hubungan antara pusat pendengaran dan bahasa yang berpotensi membantu pengekalan kosa kata serta pemprosesan perkataan yang lebih berkesan,” ujarnya.

 

Meningkatkan mood dan kesejahteraan emosi

Mempelajari alat muzik boleh memberi manfaat besar kepada kesejahteraan emosi dan kesihatan mental.

“Bermain muzik merangsang pengeluaran dopamin dan endorfin iaitu sejenis bahan kimia yang dikaitkan dengan keseronokan dan motivasi.

“Ia juga mengurangkan kortisol, tekanan hormon yang membantu mengurangkan keresahan dan ketegangan,” jelas Dr Allder.

Tindakan berlatih muzik memerlukan fokus dan kesedaran, mengalihkan perhatian daripada kebimbangan serta mendorong kepada ketenangan.

“Bagi warga emas, aktiviti muzik juga boleh mewujudkan hubungan sosial, dan kesemua kesan ini menyokong kesihatan mental yang lebih baik termasuk rasa puas dalam kehidupan seharian,” ujarnya.

 

Mengaktifkan fungsi eksekutif

Fungsi eksekutif merujuk kepada perancangan, perhatian, penyelesaian masalah dan kawalan diri yang banyak digunakan ketika belajar muzik.

“Bermain alat muzik memerlukan fokus pada nota muzik, menyelaras pergerakan tangan, menjangka nota seterusnya dan menyesuaikan diri secara masa nyata.

“Lama-kelamaan, latihan ini meningkatkan keupayaan seperti tumpuan, membuat keputusan, dan fleksibiliti mental.

“Ini adalah keupayaan penting untuk mengekalkan kebebasan dan menyesuaikan diri dengan cabaran hidup menjelang tua, menjadikan muzik sebagai satu senaman otak yang bagus,” katanya.

 

Merangsang pelbagai bahagian otak

Mempelajari alat muzik melibatkan pelbagai kawasan otak bergerak dan berfungsi secara serentak.

Korteks motor mengawal pergerakan jari, memproses bunyi mengingati setiap langkah akan bergerak serentak sambil ia menyokong ingatan. 

“Cerebellum memperhaluskan masa dan koordinasi, manakala pusat emosi seperti amigdala dan sistem limbik bertindak balas terhadap perasaan gembira terhadap  muzik.

“Pengaktifan yang meluas ini menjadikan muzik itu unik kerana ia menggabungkan fungsi kognitif, dan emosi diri.

“Tenaga yang dikeluarkan sedikit sahaja namun dapat merangsang otak secara menyeluruh kepada kesihatan otak jangka panjang,” ujarnya.

 

Boleh membantu mengurangkan risiko demensia

“Walaupun tiada aktiviti yang khusus dapat menjamin pencegahan demensia, mempelajari alat muzik mungkin membantu mengurangkan risikonya.

“Rangsangan kognitif melalui rentak muzik dapat membina satu sudut yang dipanggil ‘simpanan kognitif’ iaitu daya tahan otak terhadap kemerosotan akibat usia,” katanya.

Dengan menguatkan rangkaian saraf dan menggalakkan kecerdasan otak, aktiviti muzik membantu otak menyesuaikan diri terhadap kemerosotan fungsi otak disebabkan demensia.

Di samping itu, manfaat emosi seperti pengurangan tekanan dan peningkatan perasaan gembira turut menyokong kesihatan otak secara keseluruhan.

“Secara keseluruhannya, faktor-faktor ini menunjukkan bahawa belajar muzik pada usia tua boleh menjadi strategi perlindungan yang bernilai pada masa depan,” jelasnya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram

 

Muzik, alat muzik, kajian, pakar, warga emas, orang tua