Lawat Pulau Pinang jangan 'food hunting' saja, apa kata ke 9 tempat menarik ini, masuk pun percuma


  • Nomad
  • Ahad, 12 Okt 2025

Jika di Kuala Lumpur ada TRX City Park adalah taman atas bumbung, Pulau Pinang mempunyai Setia Spice Rooftop.

PASTI  ramai yang tahu Pulau Pinang memang terkenal dengan syurga makanan enak, tetapi takkanlah setiap kali ke sana hanya untuk buru makanan saja, betul tak?

Buat rakyat Malaysia mahupun pelancong luar yang ingin bersiar-siar di negeri tersebut pastikan anda kunjungi beberapa tempat menarik dan yang paling penting ia percuma.

Menerusi hantaran video di Facebook @Adila Ibrahim, dikongsikan beberapa tempat menarik sekitar Pulau Pinang yang tidak memerlukan sebarang bayaran, berikut sembilan lokasi gratis itu:

 

 

1) Chew Thean Yeang Aquatic & Pet 

Premis ini merupakan kedai haiwan peliharaan yang agak terkenal di Pulau Pinang dan ia pasti mengujakan anda.

Terdapat pelbagai jenis haiwan dipamerkan di sini seperti ikan dan haiwan comel seperti burung kakak tua dan kura-kura.

Setiap sudut ruang di dalamnya memang boleh menceriakan anda dengan suasana warna-warni yang menghidupkan kedai tersebut terutamanya, ikan-ikan yang berenang di dalam akuarium.

Pengunjung juga boleh melihat akuarium besar, dihiasi dengan batu karang dengan tumbuhan air serta ikan-ikan tropika seperti Ikan guppy, arowana dan beberapa lagi.

 

 

2) Taman Bandar Pulau Pinang @ Taman Belia 

Terletak di bandar George Town, Taman Bandar Pulau Pinang atau lebih dikenali sebagai Taman Belia, ia merupakan kawasan rekreasi yang cukup luas, bersih dan selesa umtuk dikunjungi terutama pada hujung minggu.

Persekitarannya yang dikelilingi pokok-pokok hijau rendang menjadikan lokasi riadah ini terkenal. Orang ramai datang pada waktu pagi di sini untuk jogging, berbasikal dan bersenaman di sekitar kawasan tersebut.

Di sini juga, anda boleh menikmati pemandangan indah di jambatan gantung ikonik Pulau Pinang sambil beri makan ikan di kolam buatan.

Waktu petang juga agak meriah kerana terdapat taman permainan kanak-kanak serta gerai makanan yang menjual minuman dan snek, memang sesuai untuk seisi keluarga.

 

 

3) Balai Bomba Lebuh Pantai

 Jangan terlepas untuk membawa anak-anak anda meneroka dunia kerjaya anggota bomba di Balai Bomba Lebuh Pantai yang terletak di tengah bandar di ibu negeri Pulau Mutiara.

Balai tersebut merupakan salah satu bangunan bersejarah yang dibina sejak zaman British lagi. Bangunannya berwarna merah bata dengan reka bentuk klasik sebagai elemen tarikan pengunjung di situ.

Lokasi tersebut juga mempamerkan alatan serta pakaian anggota bomba sebenar, terdapat juga sesi taklimat oleh pegawai bomba mengenai tugas dan tanggung jawab anggota bomba selain memadamkan kebakaran dan menyelamatkan nyawa.

Bukan setakat itu, pengunjung termasuk kanak-kanak juga diberi peluang memegang hos air dan mencuba sendiri semburan air tersebut sepertimana anggota sebenar. Ini termasuk memanjat tangga keselamatan bomba dan meninjau ke dalam kenderaan bomba sebenar. 

 

4) Mangrove River Walk

Mangrove River Walk yang terletak di Auto City, Juru, Seberang Perai Tengah, pula adalah tempat yang wajib anda singgah menjelang malam.

Dibuka bermula pukul 7.00 malam hingga 12.00 tengah malam, tempat tersebut menggabungkan elemen semula jadi dan suasana moden di tepi sungai memandangkan tapak asalnya adalah kawasan paya bakau.

Sebuah jambatan kayu dengan pemasangan lampu di laluannya dibina untuk pengunjung berjalan santai, sambil menikmati udara malam dan pemandangan pokok paya bakau yang menghijau di sana.

 

 

5) Peacock Eco Park

Seterusnya, Peacock Eco Park yang terletak di Juru, juga di tanah besar. Di sini sebuah lagi tempat yang sesuai dilawati seisi keluarga untuk bersiar-siar dan bersantai.

Tempatnya cantik dan tenang, lokasi itu umpama taman burung mini yang memperlihatkan beberapa jenis burung berjalan bebas antaranya burung merak.

Jika bertuah, anda dapat melihat burung tersebut mengembangkan sayapnya yang berwarna-warni itu, dan tambah menawan apabila ia berlaku ketika pancaran matahari.

Lawatan di sini bukan sekadar melihat burung, ia mengajar kita untuk lebih menghargai haiwan tersebut termasuk alam sekitar di seklilingnya.

 

6) Taman Botani Pulau Pinang

Seperti taman botani yang ada di Kuala Lumpur, Putrajaya dan beberapa lagi tempat, Pulau Pinang turut mempunyai taman botaninya sendiri.

Terletak di Jalan Kebun Bunga, George Town, kawasan itu dihiasi dengan pelbagai jenis bunga-bungaan di sepanjang laluan pejalan kaki.

Malah, kelihatan juga pemandangan bukit di beberapa bahagian. Kunjungan ke taman berkenaan benar-benar menyegarkan fikiran.

 

 

 

7) Seanna Farm

Buat mereka yang ingin mencari buah-buahan atau sayur-sayuran organik, Seanna Farm yang terletak di Balik Pulau adalah pilihan yang tepat.

Terdapat ladang buah naga dan sayur-sayuran yang ditanam secara organik di kawasan berbukit.

Anda akan merasai suasana kampung yang tenang serta peluang untuk melihat pelbagai haiwan ternakan.

Malah anda akan dilayan dengan begitu mesra oleh pekerja ladang sambil mereka berkongsi maklumat tentang haiwan yang ada di situ.

Pengunjung juga berpeluang untuk memberi makan kepada haiwan ternakan seperti kambing, dan arnab, burung unta serta banyak lagi.

8) Sungai Pinang

Siapa kata Pulau Pinang yang sibuk itu tiada tempat untuk mandi-manda di sungai. Bertempat di Sungai Pinang, Balik Pulau, terdapat kawasan riadah menyamankan.

Dahulunya sungai tersebut digunakan oleh masyarakat setempat sebagai laluan penghubungan dan sumber air.

Kini, selepas Sungai Pinang melaksanakan proses pemulihan dan naik taraf kawasan, tempat tersebut telah menjadi lokasi riadah yang bersih dan cantik, siap boleh berkelah lagi.

 

dav

 

9) Setia Spice Rooftop

Jika di Kuala Lumpur ada TRX City Park iaitu taman atas bumbung, Pulau Pinang mempunyai Setia Spice Rooftop yang terletak di Bayan Lepas.

Taman berkenaan menyediakan taman permainan kanak-kanak yang cukup luas dan menarik. Ia dibina di atas bumbung pusat konvensyen Setia Spice dan menawarkan pemandangan yang sangat cantik, terutama pada waktu petang.

Kawasannya luas serta dipenuhi dengan pelbagai tumbuhan hiasan, bunga berwarna-warni dan laluan pejalan kaki yang selesa, memang jadi port geng-geng OOTD.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram

 

 

 

 

Pulau Pinang, nomad, jelajah, sungai, riadah