[VIDEO] Tok guru antara 3 faktor utama cipta legasi, nadi warisan berterusan budaya gendang Pahang


  • Hobi
  • Jumaat, 10 Okt 2025

Tok Mad yang juga seorang penulis arkib berkata, ilmu gendnag Pahang yang dipelajari perlu ditulis di dalam buku.

 

 

WARISAN gendang Pahang amat tinggi nilai dan seninya. Setiap ketukan dan paluan gendang tersebut memerlukan teknik dan pembelajaran yang halus dan tekun untuk menjadi pemain yang handal, berilmu dan profesional.

Mencipta dan meneruskan legasi yang melibatkan warisan dunia ini bukan sesuatu yang mudah.

Bagi jurulatih gendang Pahang, Muhamad Mohd Yunus, 62, belajar bermain muzik mudah akan tetapi mewarisinya adalah suatu perkara yang berbeza.

BACA LAGI: [VIDEO] Gendang perang Pahang terselit kisah menyayat hati, kenali 3 lagi jenis alat paluan semangat Tok Gajah

BACA LAGI: Nak duduk hotel 5 bintang tapi harga 3 bintang? Ini rahsianya

 

 

Gendang Pahang yang dipersembahkan oleh generasi muda.

Mesra dipanggil Tok Mad, beliau yang mula belajar gendang Pahang melalui ilmu persilatan yang disertai sejak berumur belasan tahun itu menekankan warisan pemain gendang memerlukan kerja keras dan bukan sekadar pengalaman dan pengatahuan yang ada dalam diri saja.

“Bermain dan mewarisi satu perkara yang berbeza. Nak main gendang tengok saja orang ketuk dah boleh ketuk, tapi nak mewarisi kena belajar dan mendalami apa itu gendang Pahang, barulah seni itu timbul,” kata Tok Mad berkias ketika ditemui Majoriti.

Beliau yang juga Penyelidik muzium dan Arkib Pahang menekankan terdapat tiga sandaran untuk meneruskan legasi warisan seni gendang Pahang dan yang pertama ialah guru.

“Tok guru (atau guru), itulah yang paling utama. Belajar tanpa guru umpama kita belajar dengan syaitan. Oleh sebab itulah pentingnya untuk kita ada tok guru yang betul untuk mengajar gendang ini.

"Waris perlu berikan ilmu mengikut silibus dan bukannya kutip di tepi jalan. Tidak saya katakan pembelajaran di tepi jalan itu tidak bagus, tapi fahamkan apa yang saya hendak katakan ini.

“Silibus dalam buku itu adalah susunan pelajaran yang teratur dan telah sistematik daripada ilmu yang dipelajari dari merata tempat. Jadi, dekat sini kemahiran tok guru yang memainkan peranan untuk memudahkan penyampai kepada pelapis-pelapis muda ini,” jelas beliau.

 

 

Barisan ahli gendang Pahang yang memperlihatkan pelbagai generasi sedang bermain membuat persembahan di sebuah majlis.

Berkongsi sandaran yang kedua adalah penulisan. Tok Mad yang juga seorang penulis arkib berkata, ilmu yang dipelajari perlu ditulis di dalam buku.

“Apa tujuannya? Supaya ia dapat diwarisi dan menjadi rujukan kepada generasi akan datang. Rujukan tersebut termasuk sejarah dan jenis gendang Pahang. Termasuk lagu-lagu yang dimainkan, teknikal alat itu sendiri, amalannya dan banyak lagi.

“Orang putih kata ‘don’t talk nonsense if you don’t want to write’. Itu sebab saya tulis buku-buku pasal gendang yang dimainkan oleh orang muda ini,” pesannya yang sudah mempunyai pelapis gendang Pahang seawal usia tadika lagi.

Tok Mad bersama legasinya yang berumur seawal peringkat tadika.

Mengulas lanjut, pencerita sepertimana individu seperti Tok Mad yang berkongsi kisah tentang asal usul alat muzik tersebut juga antara tiga faktor penting bagi meneruskan legasi gendang Pahang.

Namun sandaran itu perlu dilaksanakan di peringkat akhir supaya maklumat yang disampaikan tidak salah.

“Akhir sekali, pencerita seperti saya. Tukang bercerita ini bukan boleh suka-suka cerita, gebang sana sembang sini.

Generasi muda tidak tahu apa yang berlaku sebelum ini, jadi kalau kita salah cakap boleh jadi mereka percaya bulat-bulat.

“Sebab itu pentingnya tok guru dan penulisan yang saya ucapkan tadi.Tujuan perlunya pencerita ini adalah untuk menguatkan ilmu yang diturunkan. Tanpa tiga elemen ini, legasi yang belajar seni ini akan ‘kosong’,” jelasnya.

Tambahnya lagi, ia akan memudahkan kepercayaan orang ramai jika pemain-pemain ini ditanya tentang gendang.

“Bila main alat muzik ini, mesti dan pasti akan ada orang tanya, apa bende yang kau main ini? Sekarang ini sudah ada 137 buah lagi mengiringi gendang Pahang, jadi agak-agak senang ke nak main dan belajar benda ini?

“Sebab itu orang kata belajar perlu seiring dengan tok guru, rujukan, minda dan akal, bukan copy and paste,” tambahnya dalam nada berjenaka.

Gedang Pahang yang dimainkan oleh genarsi muda dan tua.

Sebelum menutup kata, Tok Mad berharap warisan dan nadi gendang Pahang dapat diteruskan oleh generasi muda.

Beliau turut memuji bahawa anak muda sekarang memang cekap dan pantas ketika belajar bermain gendang tersebut.

“Budak muda memang cekap, sekejap saja dah tahu mana yang kena ketuk mana yang perlu dipalu. Cuma mereka muda, kena ada orang bimbing takut tersasar jalannya,” pesan akhir Tok Mad.

Legasi yang dipupuk sejak dari kecil bukan bertujuan untuk bermegah, tetapi untuk menunjukkan betapa sukarnya ciptaan gendang Pahang itu dipelihara sejak zaman nenek moyang kita untuk dipertontonkan pada masa depan.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram