
DI sebalik hutan di Gunung Berembun, Negeri Sembilan memiliki kisah yang cukup menarik untuk dicari memandangkan sebuah pesawat pengebom pernah terhempas di sana semasa Perang Dunia Kedua.
Hampir setiap pagi, kabus menyusup di antara pokok-pokok hutan yang tinggi seperti asap daripada api yang tidak pernah padam.
Bagi pendaki, Eddie Chua, gunung ini hanyalah satu lagi puncak hujung minggu di Negeri Sembilan buatnya. Pendakian setinggi 1,014 meter melalui tanah lembap dan laluan yang digemari pacat menyajikan kehijauan yang tenang.
BACA LAGI: 'Balik kampung pun boleh berlari', fenomena parkrun makin popular di Malaysia
BACA LAGI: Raikan kekayaan biodiversiti Malaysia, ini 5 lokasi semula jadi berbaloi dilawati
Hutan tebal kelihatan tidak disentuh, menyembunyikan serpihan pengebom yang jatuh di sini pada hari-hari terakhir perang.
Untuk mendaki gunung itu, pendaki biasanya bermula dari Kampung Pantai, iaitu sebuah perkampungan tenang di pinggir Seremban.
“Tidak ada banyak tanda yang menunjukkan sejarah tersembunyi di perbukitan ini. Hanya bunyi serangga pagi dan perbualan perlahan pendaki lain yang sedang membuat persiapan,” katanya.
Pendakian bermula dengan landai, kemudian meningkat melalui hutan tanah rendah yang memberikan suasana udara lembap dan berat.
Akar-akar menjalar di sepanjang denai seperti kabel lama, dan bau hujan mengalir turun dari rabung memperlihatkan lokasi itu yang dikelilingi alam flora.
“Kebanyakan pendaki mengambil masa antara dua hingga tiga jam untuk sampai ke puncak. Tiada pemandangan luas menanti di atas sana, hanya kawasan lapang yang teduh, papan tanda kayu sederhana dan hembusan angin yang berbisik di celah pepohonan,” ujarnya.
Bagi sesetengah orang, keadaan permukaan seperti itu bukanlah pilihan utama namun bagi mereka yang mencari ketenangan dalam kesunyian inilah daya tarikan yang ada di gunung tersebut.
Dirungkaikan kisah tersembunyi peperangan dan sebuah pesawat pengebom yang tidak pernah kembali, cerita tersebut telah disimpan gunung itu hampir 80 tahun.
Tarikh itu ialah 23 Ogos 1945, lapan hari selepas Jepun menyerah kalah, sebuah pesawat pengebom jarak jauh B-24 Liberator memecah keheningan kawasan tersebut ini.
Serpihan bangkai pesawat pengebom yang masih ada di gunung tersebut.
Malam itu, pesawat Tentera Udara Diraja British yang membawa lapan anak kapal berlepas dari sebuah wilayah terpencil Australia di Kepulauan Cocos (Keeling) menuju ke Tanah Melayu.
Tugas mereka bersifat kemanusiaan menjadi tragedi apabila pesawat pengebom itu merempuh lereng gunung berhampiran Gunung Telapak Buruk, tidak jauh dari Berembun, kemudian lenyap di dalam hutan.
Masyarakat Orang Asli khususnya dari komuniti Temuan pernah menceritakan tentang besi terbang yang bertaburan jauh di dalam perbukitan, namun kisah itu kekal dalam kalangan mereka sahaja.
Hanya pada tahun 1990-an, pendaki dan pengkaji sejarah menemui semula bangkai pesawat itu apabila laluan hutan menjadi lebih mudah diakses.
Bagaimana pun, ia hanya mendapat pengiktirafan rasmi selepas penyelidikan dijalankan.
Bangkai pesawat yang telah lama dilupakan itu disahkan sebagai B-24 KL654/R selepas Pusat Bersama Urusan Mangsa dan Belas Kasihan (JCCC) Kementerian Pertahanan Britain, bersama Tentera Udara Diraja British dan pihak berkuasa Malaysia, yang menjalankan tinjauan pada 2006.
Selepas itu, rangka lapan anak kapal termasuk Pegawai Penerbangan, Leftenan John S. Watts dikebumikan enam tahun kemudian di Tanah Perkuburan Perang Cheras, Kuala Lumpur.
Berbicara mengenai keadaan perjalanan menuju ke puncak, sebuah laluan sempit akan membawa pendaki lebih jauh ke dalam hutan, menuju ke Telapak Buruk kira-kira sejam perjalanan lagi.
Udara menjadi lebih sejuk dan denai semakin gelap di bawah kanopi yang lebih tebal.
Pejalan kaki berkumpul di denai sebelum matahari terbit.
Kemudian, kelihatan serpihan pesawat di situ antaranya, sebuah kipas enjin separuh tertanam di dalam tanah, rim tayar yang berkarat dan menjadi sebahagian daripada bumi. Ini termasuk serpihan sayap dilitupi sulur-sulur tumbuhan.
“Tiada monumen menandakan tempat ini. Tiada papan tanda yang menjelaskan kisahnya. Ia sekadar wujud, senyap, berselerak, dan kini menjadi milik hutan.
“Inilah yang membezakan Gunung Berembun daripada puncak-puncak lain di Malaysia.
“Bukan ketinggian atau pemandangannya tapi kisah di sebalik gunung ini yang menyimpan sejarah tanpa mengucapkan sepatah kata,” jelasnya.
Tambahnya, hutan tidak memuliakan peperangan. Ia hanya menyimpan apa yang jatuh ke dalamnya. — The Star/EDDIE CHUA
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram