
PERSEDIAAN tahun melawat Malaysia 2026 semakin memperlihatkan gerak kerja dan sebaran maklumat tentang lokasi dan pusat-pusat pelancongan yang ada di dalam negara.
Ternyata Malaysia memiliki pelbagai konsep pelancongan dan menarik. Sebagai usaha untuk meningkatkan pelancongan berasaskan alam semula jadi di Malaysia, Selangor dan Perak berganding bahu bagi mempertingkatkan lagi standard geopark di kedua-dua negeri tersebut.
Menerusi Tourism Malaysia, kerajaan negeri Selangor baru-baru ini telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Geopark Lenggong di Perak.
BACA LAGI: Dunia seni dari layar perak, John hasilkan figura terpakai sebagai bentuk perjuangan berkarya
Geopark Gombak-Hulu Langat bertujuan untuk mencapai pengiktirafan Geopark Global UNESCO.
“Kerjasama ini bukan sekadar perkongsian kepakaran, tetapi juga tentang menggerakkan pembangunan lestari yang memberi manfaat kepada rakyat,” kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Ng Suee Lim dalam satu kenyataan media.
Beliau berkata, Selangor telah mengenal pasti 31 geopark dan 20 daripadanya mempunyai potensi pelancongan yang tinggi.
Negeri itu turut berhasrat untuk menjadikan Geopark Gombak-Hulu Langat sebagai Unesco Global Geopark menjelang tahun 2028.
Geopark Gombak-Hulu Langat sebelum ini secara rasmi diisytiharkan sebagai taman negeri pertama Selangor pada November 2024. Ekoran pencapaian tersebut, lokasi itu berhasrat untuk belajar daripada Geopark Lenggong bagi mendapatkan pengiktirafan Unesco.
Geopark Lenggong kini berada dalam fasa Aspiring Unesco Global Geopark, dan dijangka diiktiraf secara rasmi sebagai geopark pada tahun hadapan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Chua Yee Ling, kerjasama itu akan membuka peluang dalam pertukaran kakitangan, latihan pemandu geo, bengkel akademik, seminar, kerjasama penyelidikan dan pelbagai inisiatif lain.
“Kerjasama ini bukan sahaja memperkukuh kehadiran Malaysia dalam pelancongan lestari di peringkat global, tetapi juga menyokong kempen Tahun Melawat Selangor 2025 (VSY2025) yang menyasarkan lapan juta pelawat ke negeri itu,” ujarnya.
Setakat ini, Malaysia mempunyai dua geopark yang diiktiraf secara rasmi oleh Unesco, iaitu Geopark Global Unesco Kinabalu di Sabah dan Geopark Global Unesco Langkawi di Kedah.
Selain Lenggong, Geopark Delta di Sarawak turut termasuk antara sembilan geopark dari pelbagai negara yang menerima status Green Card pada Sesi ke-10 Majlis Geopark Global Unesco yang diadakan di Chile pada awal bulan lalu.
Sebaik sahaja disahkan oleh Lembaga Eksekutif Unesco, kedua-dua geopark di Perak dan Sarawak akan diumumkan secara rasmi sebagai sebahagian daripada rangkaian Unesco Global Geopark pada tahun 2026.— TheStar/FLOREY D. MIKIL
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram