INFRA jalinan kerjasama bersama MOTAC anjur kursus pengendalian inap desa, galakkan anak muda urus penginapan


  • Nomad
  • Rabu, 15 Okt 2025

Di bawah Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah, Institut Kemajuan Desa (INFRA) telah diberikan mandat untuk memperkasakan lagi industri homestay di dalam sektor pelancongan.

RUMAH inap atau popular dipanggil homestay kini semakin menjadi pilihan pelancong sama ada warga tempatan mahu pun luar negara yang ingin bercuti di Malaysia.

Sesetengah daripada individu juga merasakan penginapan seperti ini lebih menyeronokkan dan berbaloi berbanding duduk di hotel di tengah-tengah bandar.

Di bawah Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah, Institut Kemajuan Desa (INFRA) telah diberikan mandat untuk memperkasakan lagi industri homestay di dalam sektor pelancongan sebagai persediaan menyambut tahun melawat Malaysia tahun depan.

BACA LAGI: Menulis novel, ambil gambar antara 5 hobi kreatif asah kemampuan diri selesaikan apa jua masalah hidup

BACA LAGI:Dunia seni dari layar perak, John hasilkan figura terpakai sebagai bentuk perjuangan berkarya

 

 

Pengarah INFRA, Abd Jalil Ismail.

Menurut Pengarah INFRA, Abd Jalil Ismail, berkata jalinan kerjasama telah dijalankan bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk memperbanyak lagi kursus pengurusan homestay atau inap desa.

Pengusaha homestay digalakkan untuk menyertai kursus pengurusan selama tiga hari sebagai langkah untuk homestay mereka diaudit di bawah MOTAC.

“Jadi, Kursus Pengenalan Homestay adalah kursus wajib sebelum pengusaha boleh di daftar sebagai pengusaha homestay yang berada di bawah MOTAC. Kita akan membentuk pengusaha dan homestay mereka dengan ciri-ciri atau penyediaan mengikut ASEAN Homestay Standard.

“Contoh asasnya, kalau kita kalau nak jemput tetamu dalam atau luar negara, bilik kena bersih, ada penghawa dingin termasuk kebersihan rumah, toilet dan sebagainya.

“Untuk tahun ini saja, kita dah tambah 10 tambahan kursus bagi memberikan kualiti yang tinggi dengan pelbagai pilihan homestay yang ada di Malaysia,” katanya ketika ditemui di Majlis Perasmian Penutupan Seminar Kepimpinan MyDesa Tahun 2025 pada Selasa.

 

Homestay kini menjadi pilihan pelancong tempatan dan luar negara.

Melihat kepada trend sekarang, Abd Jalil mengenal pasti pentingnya homestay dalam sektor pelancong kerana pengalaman kebudayaan yang diinginkan oleh pelancong.

Pada masa sama, beliau juga ingin perbetulkan persepsi yang kurang tepat apabila terhadap penginapan yang dipanggil homestay ini.

“Nak betulkan juga persepsi sebab biasanya jika sebut saja homestay, ada tanah lebih, boleh buat rumah dan bilik. Perkara tersebut bukan salah tapi tidak begitu tepat.

Homestay ini sebenarnya adalah pengalaman tinggal sendiri di desa. Perkataan dia ‘tinggal di desa’, itu yang dimahukan.

“Ini kerana pelancong sekarang kalau datang Malaysia bukan semata-mata nak tengok bangunan tinggi, mereka nak datang dan rasa sendiri macam mana tradisi, amalan dan kebudayaan yang ada di negara kita ini.

“Contohnya, semudah memakai kain sarung dan pakai baju Melayu, makan duduk atas dulang, memancing tepi sawah, itu gaya hidup yang dicari yang lebih kepada pelancongan tradisional,” ujarnya.

Pemerkasaan terhadap tempat penginapan tersebut sememang perlu dan sedang dijalankan sebagai penyediaan tahun melawat Malaysia tahun depan.

 

Data terkini pemilikkan homestay daripada INFRA.

Salah satu inisiatif lain yang INFRA anjurkan bagi memperkukuhkan lagi perniagaan homestay ini ialah, dengan menggalakkan keterlibatan anak muda mengendalikan homestay yang sedia ada.

“Kita cari mana-mana homestay yang dahulunya diusahakan oleh pengusaha tapi mereka sudah berusia, panggil dan galakkan belia-belia mengendalikan homestay dia.

“Walaupun mereka bukan pewaris, kita boleh berjumpa duduk semeja dan berbincang dengan pemilik bagaimana hendak meluncurkan lagi perniagaan homestay tersebut, untuk dikendalikan oleh budak muda di kampung itu sendiri.

“Jadi pemilik walaupun sudah pencen, dapat juga hasil. Orang kata win-win situation, dalam masa sama beri kepercayaan kepada anak muda ini untuk kendalikan homestay dia, jadi ia kampung-kampung yang cantik di Malaysia ini akan sentiasa hidup.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menerusi INFRA, telah meletakkan visi untuk meletakkan keaslian budaya sebagai tarikan yang kuat buat pelancong di Malaysia.

“Sepertimana INFRA telah diberi mandat oleh Datuk Seri Ahmad Zahid untuk memperkasakan sektor homestay ini, visinya adalah untuk menjemput orang luar untuk datang Malaysia dan apabila menginap di homestay, kita mesti menunjukkan keaslian budaya dan bukannya dibuat-buat.

“Pentingnya untuk orang luar melihat betapa unik dan hebatnya apabila datang melancong ke Malaysia.

“Walaupun rumah kita nampak lama atau rumah kayu saja, tapi dari segi kebersihan kawasan, keaslian seiring dengan asas-asas yang lain, nilai tersebut yang kita mahukan. Tak semestinya kena ada rumah batu,” jelasnya.

 

Antara forum yang dijalankan ketika majlis Perasmian Penutupan Seminar Kepimpinan MyDesa Tahun 2025.

Sementara itu, dikongsikan antara modul Garis Panduan Homestay (MOTAC) yang akan diberikan oleh pengusaha yang menyertai kursus adalah Pengendalian Malam Kebudayaan, Pengurusan Lawatan Homestay, Penjagaan Kendiri & Kebersihan Persekitaran, Keselamatan Makanan, dan beberapa lagi.

Terdahulu, Seminar MyDesa Tahun 2025 yang telah menghimpunkan lebih 300 orang pemimpin desa dari seluruh Semenanjung Malaysia, adalah antara program anjuran INFRA untuk memperkukuh kepimpinan organisasi desa agar lebih berdaya saing.

Malah, berupaya memacu kemajuan sosial dan ekonomi serta terus menyemarakkan budaya dan jati diri desa selaras dengan moto “Desa DNA Kita”.

Setakat ini, data menunjukkan sebanyak 239 unit kluster homestay, 569 buah kampung dan 3,280 pengusaha rumah telah dicatatkan secara rasmi di seluruh Malaysia.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram

 

rumah inap, MOTAC, INFRA, desa, kampung, belia