
PASTI menjadi sasaran atau bucket list buat individu yang memiliki hobi mendaki gunung untuk menawan puncak Gunung Tahan, Pahang sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.
Gunung Tahan, Pahang merupakan puncak paling tinggi di semenanjung Malaysia dan merupakan titik pertemuan antara negeri Pahang dan Kelantan itu memang penuh rintangan dan cabaran.
Namun, cuba anda bayangkan jika aktiviti itu dijalankan dengan ketidak sempurnaan penglihatan mata?
BACA LAGI: Dunia seni dari layar perak, John hasilkan figura terpakai sebagai bentuk perjuangan berkarya
Siti bersama pasukan ketika di puncak Gunung Tahan.
Tak terbayang rasanya betapa sukarnya perjalanan menuju puncak dalam keadaan begitu sedangkan, manusia yang fizikalnya sempurna pun menguji mental dan banyak juga jumlah individu yang tidak berjaya menawan puncak tersebut.
Tetapi tiada yang mustahil jika kita memiliki impian. Perkara tersebut telah dibuktikan oleh Siti Huraizah Ruslan, 42, individu yang merupakan kumpulan orang kurang upaya (OKU) penglihatan pertama yang telah menawan puncak gunung tersebut ada 2007.
Mesra di sapa Siti, mungkin namanya itu telah dikenali orang beberapa pihak ekoran kejayaan yang telah dikecapi.
Siti yang didiagnos mengidap trachoma (jangkitan kuman pada mata) sejak umur tujuh tahun.
Namun, buat mereka yang tidak tahu, anak sulung kepada empat orang adik beradik itu memiliki impian untuk mendaki gunung sejak dari kecil.
“Perkara ini tercapai ketika sayang sambung belajar dengan kawan-kawan yang sama macam saya. Masa itu saya masih ingat lagi mereka ada latihan untuk panjat gunung Tahan itu.
“Saya menanyakan pada mereka, eh orang buta boleh panjat gunung ke? Dengan mudah mereka cakap kalau tak boleh tak kan kami nak pergi berlatih.
“Ketika itu saya nampak peluang dan terus nak sertai program yang dianjurkan itu dah penuh,” katanya ketika ditemui di Menara Perpustakaan Malaysia sempena Program Sehari Bersama Orang Kurang Upaya (OKU) Penglihatan pada Rabu.
Laluan dan cabaran di Gunung Tahan ketika ekspidisi yang dijalankan pada 2007.
Akan tetapi rezeki tidak pernah salah alamat, Siti yang didiagnos mengidap trachoma (jangkitan kuman pada mata) sejak umur tujuh tahun itu, telah ditawarkan untuk mengikuti latihan tersebut ekoran terdapat satu lagi kekosongan.
Dikhabarkan, penganjur tidak dapat mencari seorang lagi ciri-ciri peserta wanita OKU penglihatan B1 (tahap masalah penglihatan paling tinggi).
“Nak jadikan cerita selepas beberapa minggu, pihak penganjur program itu telefon saya bertanyakan adakah saya berminat join? Saya pun terus setujulah, tapi kena ingat terdapat saringan dan tapisan menerusi latihan yang disediakan.
“Bukannya saya ditawarkan lepas itu terus dapat lulus untuk mendaki ya. Sebab gunung Tahan memerlukan latihan fizikal dan mental yang kuat apatah lagi kami ini buta ini. Maka, proses tapisan berlaku ramai juga masa itu. Tapis punya tapis, sampailah lapan orang saja yang berjaya, dua orang saja wanita terpilih masa itu,” ujarnya.
Perkongsian kisah Siti ketika di Menara Perpustakaan Malaysia sempena Program Sehari Bersama Orang Kurang Upaya (OKU)
Digelar Srikandi Gunung Tahan, Siti juga menghadapi fasa latihan yang agak mencabar dan teruk ekoran ketidak sempurnaan fizikalnya itu. Namun, kata-kata jurulatih menjadi pembakar semangat.
“Ingat lagi latihan pertama di Bukit di Forest Research Institute Malaysia (FRIM), rasa macam nak mati, dah putus nafas memang tak boleh dah. Tiba-tiba ada seorang jurulatih ini cakap “eh budak kurus kering macam ini nak panjat Tahan, alamatnya kat kaki bukit sajalah”.
“Masa itu saya cakap dekat dalam, takpa aku buktikan kau tengoklah. Nanti kau yang tak naik, aku yang sampai puncak,” ujarnya dalam nada jenaka.
Siti Huraizah Ruslan.
Ketika hari kejadian, Siti yang berasal dari Kelantan itu tidak dapat lari daripada perasaan gelisah semasa sesi penerangan diberikan pada hari pertama.
“Saya pun sama juga macam manusia lain, hari pertama perasaan kami dah macam bercampur baur bila dengar sesi penerangan tentang hutan di sana.
“Sistem berpasangan atau buddy diwujudkan untuk membimbing kami dan amat memainkan peranan untuk memberi semangat kepada setiap peserta. Memang satu cabaran yang sangat saya tak pernah terfikir, iyalah cuba bayangkan orang normal fizikal pun koyak inikan kami yang tak nampak,” jelasnya.
Siti bersama buddy yang membimbingnya ketika mendaki gunung.
Menggunakan laluan yang paling mencabar iaitu laluan Merapoh ke Gunung Tahan, dikongsikan olehnya satu detik di mana rakan seperjuangan hampir putus asa di pertengahan ekspedisi.
Diletakkan syarat bahawa jika terdapat seorang ahli tidak berjaya sampai ke puncak, semua peserta diminta untuk pulang dan membatalkan ekspedisi tersebut atas faktor tertentu.
“Ada seorang kawan saya dah koyak, syarat kalau seorang out semua kena balik. Jadi buddy dia pujuklah bina moral dia balik. Kamu pun pujuk sama dan cakap “sini hutan ada harimau ada gajah pacat lagi, kita kena kuatkan semangat untuk teruskan perjalanan kita.
“Akhirnya berjaya juga kami pujuk kawan itu dan dalam tempoh 6 hari, kami sampai puncak,” jelasnya yang menyelesaikan ekspedisi tersebut secara keseluruhan selama 11 hari.
Wajah-wajah kumpulan orang kurang upaya (OKU) penglihatan pertama yang telah menawan puncak Gunung Tahan.
Ekoran daripada kisah tersebut, Siti menjelaskan bahawa kisah hidupnya itu bukan untuk berlagak di khalayak ramai.
Dia ingin menunjukkan bahawa ketidaksempurnaan seseorang itu bukanlah jalan mati untuk mencapai sebuah impian. Semoga kisahnya menjadi inspirasi serta penguat semangat buat mereka di luar.
“Ingin saya ingatkan teman perjuangan yang sama macam saya, orang lain tak akan perjuangkan untuk kita, kita sendiri kena perjuangkan untuk diri. Saya juga tetap mengharap sokongan bagi mereka yang sempurna di luar sana dan jangan sesekali memandang kami sebelah mata.
“Kehidupan itu seperti naik gunung. Ada ketenangan, indah, peri dan cabaran, semuanya ada nilai tersendiri daripada Tuhan,” tutup bicaranya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram