Jalan Beringin ada titik buta, pemandu minta papan tanda lebih jelas elak kemalangan


  • Nomad
  • Ahad, 19 Okt 2025

Pemandu di Jalan Beringin (kanan) mesti berhati-hati semasa bergabung dengan trafik yang turun dari tanjakan.

PENGGUNA Jalan Beringin di Kuala Lumpur meminta pihak berkuasa memasang papan tanda yang lebih jelas di kawasan persimpangan berhampiran kawasan komersial Pusat Bandar Damansara.

Ini kerana ada rungutan terdapat titik buta di laluan susur Jalan Beringin yang menyukarkan mereka melihat kenderaan yang turun dari jejambat bersebelahan. Situasi ini timbul selepas Jalan Beringin dibuka semula pada 15 September lalu.

BACA LAGI: 'Balik kampung pun boleh berlari', fenomena parkrun makin popular di Malaysia

BACA LAGI: Dunia seni dari layar perak, Jonathan hasilkan figura terpakai sebagai bentuk perjuangan berkarya

Susulan daripada pembukaan itu laluan itu, kenderaan dari Petaling Jaya menuju ke Kuala Lumpur kini boleh menggunakan jejambat Jalan Beringin untuk mengelak Jalan Johar dan terus ke Jalan Semantan serta Lebuhraya SPRINT.

Sebelum ini, laluan atau jalan tersebut ditutup bagi kerja-kerja menaik taraf dan pelebaran.

Pada 2 September lalu, StarMetro melaporkan pembukaan semula Jalan Beringin yang amat dinantikan oleh penduduk Bukit Damansara bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Timbalan Presiden Persatuan Pemilik Rumah Bukit Damansara, Ravi Markandu berkata, pemandu yang keluar dari jejambat Jalan Beringin biasanya memandu laju ketika menuruni jalan tersebut.

“Sementara itu, pemandu di laluan susur bersebelahan perlu lebih berhati-hati terhadap kenderaan yang sedang digabungkan.

“Kami menerima aduan daripada penduduk bahawa kenderaan dari kedua-dua arah terpaksa membrek secara tiba-tiba bagi mengelak kemalangan,” katanya yang juga Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPPWP) Wilayah Persekutuan Segambut Subzon 3.

Beliau memaklumkan persatuan itu telah membangkitkan isu berkenaan kepada perunding Lebuhraya SPRINT dalam satu mesyuarat pada bulan September lalu.

“Kami mencadangkan agar papan tanda yang lebih jelas dipasang bagi memberi amaran kepada pemandu di kawasan penyatuan jalan,” tambahnya.

Dalam satu kenyataan, pihak SPRINT memaklumkan bahawa lokasi penyatuan dua aliran trafik menuju ke Kuala Lumpur itu telah disemak oleh juruaudit keselamatan jalan raya dan didapati berada pada tahap yang memadai.

“Namun begitu, SPRINT akan terus memantau lokasi tersebut dengan teliti dan akan melaksanakan langkah mitigasi tambahan jika perlu bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Ravi berkata, pembukaan semula Jalan Beringin telah membantu memperbaiki aliran trafik di kawasan tersebut.

“Ia menyalurkan trafik dari kawasan perumahan Bukit Damansara ke arah Kuala Lumpur dengan lebih lancar.

“Penduduk kini boleh mengelak kesesakan pada waktu puncak di laluan susur dan menggunakan jejambat sebagai alternatif,” jelasnya. — TheStar/JAROD LIM

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram

KL, Lebuhraya, SPRINT, Jalan Beringin