
KINI, terdapat banyak negara yang memperlihatkan ciri-ciri mesra Muslim untuk menarik pelancong luar negara terutamanya di sekitar Asia.
Penuh sejarah dan kemudahan asas seperti tempat untuk solat dan makanan halal disediakan bagi memudahkan perjalanan buat mereka yang beragama Islam dan aspek ini pastinya antara faktor yang menjadi pilihan warga Malaysia.
Kemboja misalnya, mempamerkan warisan budaya Islam yang kaya dengan cara serta gaya hidup luar bandar bagi meningkatkan sektor pelancongan.
BACA LAGI:Garisan putih, cermin sisi antara 5 penyebab penunggang motosikal alami kemalangan tak disangka
BACA LAGI:Dunia seni dari layar perak, John hasilkan figura terpakai sebagai bentuk perjuangan berkarya
Terkenal dengan kepelbagaian budaya dan kuil purbanya, negara itu menawarkan peluang kepada pelancong asing untuk meneroka komuniti Islam berusia ratusan tahun.
Ini termasuk identiti budaya yang masih terpelihara di kampung-kampung terpencil.
“Kami sedang berusaha untuk menjadikan masjid sebagai tarikan pelancongan. Di semua wilayah yang mempunyai kampung Islam, pelancong asing boleh melihat sendiri sejarah, budaya dan tradisi kami.
“Di Kemboja, kami dikenali sebagai masyarakat Cham (Muslim) dan kami mempunyai budaya tersendiri,” kata Setiausaha Negara di Kementerian Agama dan Kepercayaan, Yop Ahskary dalam satu temu bual.
Pameran anjuran Kementerian Pelancongan Kemboja itu bertujuan untuk memperbanyakkan lagi keunikkan di negara tersebut.
Umat Islam membentuk kira-kira lima peratus atau 800,000 daripada keseluruhan 17 juta penduduk di Kemboja yang majoritinya penganut Buddha.
Bahkan, sektor pelancongan negara itu terkenal dengan tapak warisan dunia yang diiktiraf Unesco seperti Angkor Wat dan Kuil Preah Vihear.
Terdapat juga pulau-pulau eksotik, pasar malam dan runtuhan bersejarah yang boleh menjadi tarikan pelancong asing.
“Kami mempunyai 650 buah masjid di seluruh negara, dan kami sedang mengubah suai masjid lama di sepanjang Sungai Mekong untuk dijadikan tarikan pelancongan.
“Beberapa masjid kayu berusia lebih 100 tahun masih digunakan sebagai tempat ibadah. Kami mahu orang luar melihat bagaimana masyarakat Islam hidup dalam keharmonian di negara yang majoritinya penganut Buddha,” kata Ahskary.
Rekod mencatatkan tahun lepas, kira-kira enam juta pelancong asing melawat negara yang banyak bergantung kepada sektor pelancongan.
Dengan hampir setengah juta daripadanya merupakan pelancong Muslim, kerajaan terus memperkukuh infrastruktur pelancongan seperti lapangan terbang, pelabuhan dan lebuh raya. Seterusnya, ia menjadikan negara berkenaan sebagai destinasi utama pelancongan di rantau ASEAN.
Lapangan Terbang Antarabangsa Techo bernilai RM6 bilion yang mula beroperasi pada 9 September merupakan antara projek utama bagi meningkatkan jalinan antara negara lain.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Negara, Kementerian Pelancongan, Mohammat Younes, berkata kerajaan kini menumpukan kepada pelbagai strategi untuk menarik lebih ramai pelancong Muslim.
“Strategi kami tertumpu kepada aspek aksesibiliti, persekitaran, komunikasi dan perkhidmatan. Kami sedang memperluas jaringan penerbangan dengan lebih banyak ke negara Islam.
“Lebih banyak syarikat penerbangan antarabangsa dari destinasi Muslim kini sudah beroperasi ke Kemboja.
“Kini, secara rasmi terdapat empat syarikat penerbangan yang mendarat di sini dan dua lagi penerbangan antarabangsa akan ditambah tidak lama lagi,” kata Younes.
Masjid Agung Al Jabbar di Bandung, Indonesia adalah keindahan seni bina.
Menerajui usaha pelancongan mesra Muslim
Selain itu, Indonesia yang mempunyai lebih 230 juta penduduk Muslim serta terkenal dengan warisan semula jadi dan budaya yang kaya turut meletakkan kedudukannya sebagai peneraju utama dalam pelancongan mesra Muslim.
Menteri Pelancongan, Widiyanti Putri Wardhana menjelaskan warisan dan infrastruktur Indonesia mempunyai lebih daripada 309,000 masjid dan 376,000 surau termasuk di lapangan terbang, pusat beli-belah dan kawasan pelancongan bagi memberikan asas kukuh dan sesuai untuk mereka yang beragama islam.
Beliau, menekankan kepentingan memperkukuh tarikan, akses dan kemudahan penting bagi menonjolkan keistimewaan pelancongan mesra Muslim di Indonesia.
“Kita mesti mempromosikan pengalaman ini sebagai sesuatu yang unik dan mesra Muslim, yang mencerminkan identiti seterusnya menarik minat pelancong antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Kementerian juga merancang untuk memanfaatkan 36 lapangan terbang antarabangsa, memperluas kemudahan tanpa visa serta memastikan persekitaran pelancongan yang inklusif dan selamat.
Produk yang diperakui halal pula telah mengembang daripada 20 kampung pelancongan kepada 15,000 kampung di 15 wilayah.
Malahan, portal khas untuk pelancong Muslim juga sedang dibangunkan bagi memudahkan perancangan perjalanan.
Widiyanti memaklumkan kementerian telah melancarkan Indeks Pelancongan Muslim Indonesia (IMTI) 2025 bersama Bank Indonesia, Pusat Pelancongan Halal Enhaii dan CrescentRating, untuk memperkuatkan lagi sektor pelancongan halal.
IMTI menilai tahap kesiapsiagaan di setiap wilayah dan pelarasan Indeks Pelancongan Muslim Global (Global Muslim Travel Index) yang menjadi tanda aras, bagi kedudukan pelancongan mesra Muslim di peringkat antarabangsa.
“Lebih daripada sekadar penilaian, indeks ini menjadi panduan untuk memastikan piawaian nasional yang konsisten supaya perkhidmatan mesra Muslim dipercayai di seluruh Indonesia,” tambah Widiyanti.— Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram