
SEBUT saja Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 1) atau KLIA 2, pastinya ingat kapal terbang.
Maklumlah lokasi ini merupakan kawasan tumpuan bagi mereka yang ingin melancong di dalam mahupun luar negara.
Tambahan pula, sebagai rakyat Malaysia kita patut berasa bangga kerana memiliki lapangan terbang yang cukup canggih dan selesa.
BACA LAGI: 'Balik kampung pun boleh berlari', fenomena parkrun makin popular di Malaysia
BACA LAGI: Raikan kekayaan biodiversiti Malaysia, ini 5 lokasi semula jadi berbaloi dilawati
KLIA pernah diiktiraf sebagai lapangan terbang terbaik dalam kategori Prestasi Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (ASQ) Global pada2024 oleh Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI).
Ada tempat makan dan minum yang enak dan kemudahan serta fasiliti yang baik. Tetapi tahukah anda di lapangan terbang ini, terdapat beberapa lokasi yang tersembunyi (hidden gem) yang mungkin anda tidak perasan dan pasti mengejutkan anda?
Jika anda ke KLIA 1 atau KLIA 2 untuk menghantar orang atau berdepan kelewatan jadual penerbangan, apa kata singgah ke tiga tempat yang menarik ini untuk mengisi masa lapang anda.
1) Jungle Boardwalk
Jika Lapangan Terbang Changi, Singapura terkenal dengan tumbuhan dalam bangunannya yang cukup besar dan banyak, KLIA juga mempunyai kawasan alam flora yang boleh dilawati iaitu Jungle Boardwalk.
Terletak di Bangunan Satelit Terminal A, ruang hijau ini menawarkan pengalaman mendamaikan, untuk anda berehat atau menenangkan diri sebelum meneruskan perjalanan.
Jungle Boardwalk merupakan taman mini hutan hujan tropika yang dibina di dalam kawasan terminal.
Kawasan alam flora itu menempatkan lebih daripada 3,600 pokok dan 39 spesies tumbuhan tropika yang diambil dari hutan di sekitar Sepang.
Laluan papan kayu yang dibina di tengah-tengah kehijauan dengan rekaan seni bina moden itu membolehkan pengunjung berjalan santai sambil menikmati bunyi alam semula jadi.
Ini termasuk mendengar bunyi air terjun buatan dan kicauan burung.
Dibuka setiap hari dari pukul 7 pagi hingga 7 petang, Jungle Boardwalk boleh diakses secara percuma oleh penumpang antarabangsa yang telah melalui pemeriksaan keselamatan dan imigresen.
Ia sebuah tempat persinggahan yang ideal dan dapat merehatkan minda dan tubuh anda terutamanya bagi mereka yang baharu saja mendarat.
2) Art Zone
Keindahan lapangan terbang utama ini juga memilik sudut yang mempamerkan elemen seni budaya iaitu Art Zone di Satellite Terminal 1.
Ia hasil inisiatif dan kerjasama dengan pihak Balai Seni Visual Negara memperlihatkan seni Malaysia kepada dunia.
Malahan, menjadikan KLIA bukan sekadar tempat persinggahan, malah lokasi untuk menonjolkan seni budaya dan kreativiti tempatan.
Ruang berkenaan turut menampilkan pelbagai instalasi seni, lukisan, mural dan arca moden hasil karya artis tempatan seperti tema alam semula jadi, warisan budaya, serta rekaan kontemporari yang berunsurkan semangat dan identiti Malaysia.
Selain ia dijadikan sebagai lokasi pameran tetap, Art Zone juga mengadakan pelbagai program seni dan budaya yang dianjurkan mengikut musim atau permintaan.
Ia bukan sahaja memperindah lagi ruang menunggu tetapi turut memberi peluang kepada artis tempatan mempamerkan bakat mereka di peringkat antarabangsa.
3) Anjung Spotter
Siap dibina pada 2019, Anjung Spotter ialah dek pemerhatian terbuka yang direka khusus untuk peminat pesawat, dan orang ramai yang ingin melihat kapal terbang berlepas dan mendarat di KLIA.
Rata-rata mereka yang hadirkan ke sini pastinya pulang dengan rakaman serta gambar kapal terbang berlepas atau mendarat yang cukup luar biasa, kerana kedudukan anjung tersebut betul-betul di laluan kapal terbang.
Terletak di Jalan Pekeliling, bersebelahan dengan Landasan 32 Kiri (Runway 32L) di kawasan KLIA, anda boleh datang ke sini dengan menaiki kereta atau motosikal yang beroperasi dari pukul 7 pagi hingga 7 petang.
Lokasi ini menjadi satu tarikan yang unik dan pastinya menajdi lokasi terbaik buat geng Outfit Of The Day (OOTD).— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram