
MUNGKIN saja terdapat segelintir daripada kita yang menganggap berjoging, berlari atau berjalan di taman sebagai sesuatu yang memenatkan dan membuang masa, apatah lagi jika terpaksa bangun pagi di hujung minggu.
Namun, gaya hidup sihat tidak pernah mengecewakan kehidupan seseorang walaupun anda melakukan senaman semudah jalan kaki, dengan kadar kelajuan sederhana atau popular dipanggil brisk walk.
Tetapi adakah penting untuk kita mengira atau mengambil tahu langkah yang dilakukan setiap kali kita bersenam? Jawapannya penting.
Menggunakan teknologi untuk mengira langkah hasilnya tetap sama.
Sama ada anda menjejak langkah tersebut menggunakan teknologi seperti telefon, jam pintar atau pedometer klasik, hasilnya tetap sama dan akan mendapat manfaat atau petunjuk yang baik terhadap jarak anda bergerak sepanjang hari.
Anda boleh menetapkan peringatan dan matlamat untuk mengingatkan diri supaya bergerak mengikut kemampuan dan menjadi motivasi dalam diri.
Matlamat utama atau disyorkan untuk bergerak sekurang-kurangnya 150 minit seminggu.
Berikut ialah sembilan M untuk manfaat dan enam M bagi kesan buat anda yang bersenam dengan berjalan kaki:
Manfaat
- Mengawal tekanan darah.
- Menurunkan atau mengekalkan berat badan.
- Meningkatkan keseimbangan dan koordinasi.
- Meningkatkan kekuatan teras (otot bahagian tengah badan).
- Mengurus tekanan dan memperbaiki mood melalui penghasilan endorfin.
- Mengawal penyakit diabetes.
- Mengurangkan risiko serangan jantung.
- Mengurangkan risiko menghidap diabetes jenis 2.
- Mengekalkan kekuatan dan tahap aktiviti.
Kesan
- Meningkatkan kualiti tidur.
- Memperlambat kemerosotan fungsi mental.
- Mengurangkan risiko demensia.
- Mengurangkan risiko beberapa jenis kanser.
- Membantu anda hidup lebih lama.
- Mengekalkan keupayaan berdikari walaupun di usia tua.
Jika anda boleh berjalan lebih pantas dengan selamat, itu lebih baik. Namun, jika anda mahu tahu, berjalan perlahan masih jauh lebih baik daripada tidak berjalan langsung, dan tetap memberikan manfaat pergerakan tubuh.
Gunakan ujian berbual (talk test) untuk menentukan tahap intensiti yang sesuai: Jika anda masih boleh bercakap, tetapi sukar untuk meneruskan perbualan penuh, itu sudah dianggap brisk walk. Anda mungkin tidak tercungap-cungap, tetapi pernafasan anda pasti meningkat.
Kajian menunjukkan bahawa berjalan cepat bukan sekadar meningkatkan fungsi otak dan kesejahteraan mental, tetapi juga kesihatan fizikal.
Walaupun anda hanya mampu berjalan sedikit setiap hari, tubuh tetap memberi tindak balas positif, dan anda akan merasai manfaatnya. — TheStar
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram