
APABILA bercerita tentang istana, pastinya kita melihat gambar sebuah kediaman kerabat diraja yang tersergam indah seperti mana setiap kali melalui Jalan Istana di ibu negara yang menampakkan Istana Negara yang cukup besar dan gah.
Semestinya setiap raja mempunyai istana di negeri masing-masing. Tetapi tahukah anda terdapat istana lama yang mungkin anda tidak tahu atau tak pernah lihat lagi wujud di Malaysia?
Mungkin saja sudah tidak gunakan secara rasmi atau sudah berpindah lokasi. Jadi, berikut merupakan empat istana di Malaysia yang mungkin semakin dilupakan di sebalik lipatan sejarah negara.
BACA LAGI: Malaysia makin dikenali destinasi selamat buat pengembara solo, lonjak sektor pelancongan
Istana Bandar
Istana Bandar atau nama lainnya Istana Alaeddin dibina pada 1899 semasa pemerintahan Almarhum Sir Alaeddin Sulaiman Shah, Sultan Selangor ke 5 yang memiliki 40 buah bilik itu dahulu berfungsi utama semasa istana itu digunakan adalah sebagai pusat pemerintahan awal kerajaan negeri Selangor.
Istana tersebut digunakan sebagai tempat bersemayam baginda sultan bersama permaisuri baginda Hajjah Safiah.
Dari segi struktur pembinaan, istana berkenaan diperbuat daripada batu bata dan kapur manakala tangga dan pintunya diperbuat daripada kayu chengal.
Keseluruhan lantainya pula, tingkat atas adalah kayu manakala tingkat bawahnya pula adalah lantai konkrit.
Pada Disember 2008 sehingga pertengahan tahun 2009, projek pemuliharaan bangunan mula dilaksanakan oleh Jabatan Warisan Negara setelah mendapati bahawa bangunan itu perlu perlu dibaiki dan dipuliharakan. Demi sejarah dan warisan, ia dicantikkan semula untuk tatapan generasi akan datang.
Istana Puteri Bongsu
Istana Puteri Bongsu di Bangi, Selangor sebenarnya merujuk kepada salah satu istana lama yang ada kaitan dengan warisan Diraja Selangor.
Istana Puteri Bongsu dinamakan sempena seorang puteri diraja, iaitu puteri bongsu kepada Sultan Selangor ke-4, Sultan Abdul Samad.
Menurut pihak Muzium Negara Malaysia, istana tersebut juga dikenali dengan nama penghuni terakhirnya dengan panggilan Istana, Tengku Fatimah Zaharah. Sekarang, istana berkenaan tidak lagi digunakan dan hanya tinggal kesan sejarah.
Ia menjadi sebahagian daripada jejak warisan yang sering dikunjungi pelancong dan pengkaji sejarah kerana kawasan itu sarat dengan tinggalan Kesultanan Selangor, termasuk makam diraja, masjid lama, dan bangunan kolonial.
Istana Tunku Kudin
Pernah tular suatu ketika dahulu, sebuah binaan yang telah rosak dan dipenuhi pokok-pokok yang menjalar di Bukit Tinggi, Kepala Batas, Kedah dikatakan istana Raja Bersiong.
Namun perkara tersebut telah dijelaskan ia adalah Istana Tunku Kudin iaitu Raja Muda Kedah yang dibina oleh abangnya, Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah sekitar 1854 hingga 1879.
Sedihnya, ia telah terbiar lebih 100 tahun dan dikatakan ia adalah Istana Raja Bersiong.
Sebaliknya, Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah, Datuk Dr Wan Shamsudin Mohd Yusof telah menegsahka ia adalah Istana Tunku Kudin iaitu Raja Muda Kedah.
Ia dibina pada pemerintahan abangnya, Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah sekitar 1854 hingga 1879.
Bagaimanapun, keadaan terkini istana tersebut dikata masih sama walaupun sudah ada khabar angin mengatakan binaan tersebut akan dilalukan proses pemuliharaan.
Istana Raja Melewar (Muzium Rembau)
Istana Raja Melewar, kini dikenali sebagai Muzium Rembau ialah sebuah muzium replika yang terletak di Kota, Negeri Sembilan.
Ia dibina untuk mengenang reka bentuk asal Istana Raja Melewar serta mempamerkan sejarah dan barangan berkaitan Raja Melewar.
Replika Istana Raja Melewar telah dibuka kepada orang awam untuk melawat sejak September 2004, untuk melihat sendiri seni bina tradisional Minangkabau, dengan bumbung dan struktur kayu yang indah.
Mempamerkan seni bina dan sejarah Raja Melewar, meniru reka bentuk istana asalnya.
Di sini, tersergam indah seni bina tradisional Minangkabau yang menawan, terutamanya pada bahagian bumbung dan struktur kayu, serta memaparkan maklumat dan barangan berkaitan Raja Melewar.
Mengikut sejarah, Muzium Negeri Sembilan telah ditubuhkan pada tahun 1953 oleh Yam Tuan ke-8 Tuanku Abdul Rahman setelah mendapat kebenaran supaya istana Ampang Tinggi Kuala Pilah dipindahkan ke Taman Bunga di Jalan Dato’ Hamzah.
Jika anda mahu mengetahui secara umum mengenai sejarah dan adat perpatih di Negeri Sembilan, inilah tempatnya untuk menceritakan segala-galanya termasuk rekaannya yang diinspirasikan oleh Rumah Gadang Minangkabau. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram