Menari tango mampu urus gejala Parkinson


  • Sihat
  • Sabtu, 13 Sep 2025

Kira-kira 200 pesakit telah mengambil bahagian dalam bengkel tango yang dianjurkan sejak 15 tahun lalu di Hospital Ramos Mejia untuk mengkaji kesan tarian tersebut

 

 

APABILA muzik tango mula dimainkan, Lidia Beltran menyingkirkan simptom Parkinson yang menghantuinya, dengan menggenggam tangan terapinya sambil menari bebas dengan langkah yang tepat.

Ini merupakan sebahagian daripada program rawatan inovatif bagi penyakit neurodegeneratif yang tidak dapat diubati ini di Buenos Aires, Argentina.

Kira-kira 200 pesakit telah mengambil bahagian dalam bengkel tango yang dianjurkan sejak 15 tahun lalu di Hospital Ramos Mejia untuk mengkaji kesan tarian tersebut terhadap simptom penyakit Parkinson.

“Salah satu masalah utama penyakit ini ialah gangguan berjalan dan tango menjadi langkah sebagai tarian berjalan, membantu melatih langkah mula dan berhenti serta strategi untuk berjalan,” kata pakar neurologi Dr Nelida Garretto.

BACA LAGI: 'Melayu itu sifatnya berkias', Bahari Asyek tekankan kehebatan, identiti dan rahsia di sebalik baju tradisi

BACA LAGI: Lumrahnya pelangi muncul selepas hujan, tapi Kampung Pelangi sentiasa nantikan kunjungan tetamu

 

 

Berjalan merupakan teras utama dalam tango Argentina, namun itu bukan satu-satunya kaedah pemulihan untuk pesakit parkinson.

 

 

Keputusan yang diperoleh amat menggalakkan. Ramai pesakit menemui cara untuk melegakan simptom seperti ‘motor blocks’ yang menyebabkan pergerakan mereka seolah-olah ‘membeku.

“Seorang pesakit memberitahu kami bahawa apabila dia ‘membeku’, dia cuba melakukan ‘figure eight’, salah satu langkah klasik tango dengan kakinya. Kemudian, ia membolehkannya keluar daripada keadaan beku itu,” kata seorang lagi pakar neurologi, Dr Tomoko Arakaki.

Menari tango juga membantu membina laluan deria yang menyokong pergerakan berjalan.

“Kita tahu bahawa Parkinson memerlukan rawatan ubat-ubatan. Tango digunakan untuk memulihkan fungsi motor dengan muzik, anda boleh keluar daripada situasi yang kompleks,” tambahnya.

Beltran, 66, yang disahkan mengidap Parkinson dua tahun lalu, tidak pernah menari tango sebelum ini. Dia menyertai bengkel tersebut atas nasihat doktor.

“Kalau ini untuk menghentikan merebaknya simptom tersebut, saya mesti melakukannya, saya mesti menari demi hidup saya,” ujarnya.

Selain gegaran, kekakuan, kesukaran dengan imbangan dan masalah pertuturan, parkinson juga membawa kepada pengasingan sosial dan kemurungan. Jadi, bengkel tango boleh membantu dalam aspek tersebut.

Beltran melaporkan bahawa menari meningkatkan kestabilan dan mood dirinya.

Pesakit menari bersama pasangan yang tidak mengidap Parkinson, dengan bimbingan ahli terapi penari profesional, Manuco Firmani, yang telah terlibat dalam pemulihan penyakit itu sejak 2011.

Emilia, 86, enggan menyebut nama penuhnya kerana dia menari bertentangan dengan kehendak anak lelakinya, yang risau tentang perjalanan bas dua jam yang diambilnya untuk sampai ke studio di pusat Buenos Aires.

“Bagi saya, inilah kebahagiaan setiap hari Selasa,” kata bekas guru itu dengan tubuh rapuh, bongkok dan suara perlahan yang mengamalkan tango kerana menghidupkan kembali kenangan zaman mudanya.

“Setiap tahun kami menjalankan penilaian khusus untuk menganalisis manfaat tango.

“Kami telah mengukur peningkatan dalam kemahiran kognitif, kemahiran motor, gaya berjalan dan keseimbangan,” kata pakar neurologi Dr Sergio Rodriguez.

Berjalan merupakan teras utama dalam tango Argentina, namun itu bukan satu-satunya kaedah pemulihan untuk pesakit Parkinson.

Tango juga memerlukan penari mengikuti irama, bergerak dalam arah yang ditetapkan dan mentafsir isyarat fizikal daripada pasangan tarian mereka.

“Terdapat banyak mesej serentak yang perlu diselesaikan, dan ini sangat positif untuk penyakit ini. Lagipun, siapa yang boleh merampas apa yang telah mereka tarikan?” kata Dr Garretto.

Di akhir kelas, terdengar tepukan dan “suasana kepuasan” dalam bilik, kata ahli terapi tarian Laura Segade. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram