
GUNUNG Rinjani Indonesia kini menjadi sasaran yang agak popular dalam kalangan pendaki-pendaki di Malaysia. Mungkin saja kerana pakej, ajakan rakan atau impian untuk menjejakkan kaki ke sana.
Lokasi gunung tersebut terletak di Pulau Lombok di Indonesia dan ia merupakan gunung berapi yang kedua tertinggi di Indonesia setelah Gunung Kerinci di Sumatera.
Memiliki ketinggian 3,726 meter di atas permukaan laut, Muhammad Salihin Md Noor, 32, yang baharu sahaja menyelesaikan ekspedisi pendaki gunung tersebut baru-baru ini berkata, mendaki di sana memberikan suasana yang agak berbeza.
BACA LAGI: Lumrahnya pelangi muncul selepas hujan, tapi Kampung Pelangi sentiasa nantikan kunjungan tetamu
Antara laluan menuju ke Pelawangan.
Sungguh pun ramai yang memaklumkan padanya perkara itu dirasakan berbeza kerana berada di luar negara, baginya yang mesra dengan panggilan Piji menyifatkan perasaan tersebut bukan satu psikologi.
“Masa buat latihan di beberapa gunung sebelum ke sana saya sendiri dapat beza suhu di badan. Cuaca di sana memang sedikit lain, berpeluh tapi sejuk dan angin kuat. Bila sejuk, sejuk sangat tapi bila panas, panas sangat,” katanya kepada Majoriti.
Bermalam di Pelawangan sebelum meneruskan perjalanan menuju puncak.
Piji turut berkongsi permukaan trek di gunung tersebut agak kering dan berdebu dan berpasir sedikit.
“Setiap check point bentuk pasir berbeza pula itu. Sakit tekak tak payah cakap, iyalah kawasan gunung berapi memang sedikit perit. Kami berkemah untuk dua malam, malam pertama di Pelawangan, malam kedua di Danau Segara Anak.
“Pengambaraan yang disertai bersama 11 orang dari Malaysia itu memberikan 1001 cerita. Pemandangan dari punung gunung Ranjini seakan-akan kertas dinding di dalam komputer.
“Pemandangan yang luas sepanjang perjalanan, banyak hijau dah macam tengok dekat wallpaper window xp,” ujarnya yang mengikut penggambaran dibawah Tripbajetmy.
Permukaan trek yang berubah-ubah di setiap perhentian.
Dalam keterujaan di sana, saat cemas turut berlaku ketika Piji dan rakannya yang lain sedang mendaki.
“Salah seorang kawan kami Yana terkena pedih ulu hati waktu naik gunung itu. Jadi, saya bersama dua orang lagi sahabat Fuad dan Yasin menunggu dan bersama-sama bawa Yana untuk selesaikan perjalanan yang sudah hampir ke Pelawangan.
“Apa yang saya nak cakap dekat sini, setiap orang perlu menjadi moral kepada yang lain kerana kita tak tahu, apa kemungkinan yang akan berlaku.
“Bukan nak tunjuk hero tapi setiap pasukan ke sama-sama kuat baru semangat itu sentiasa hidup. Tak boleh bila kawan kami Yana itu ada masalah, kita lihat perkara itu menyusahkan,” jelasnya.
Piji (kiri) bersama Yana (kanan), Fuad (belakang kanan) dan Yasin (belakang kiri) ketika berjaya tiba di Pelawangan.
Waktu tiba Pelawangan sebagai sebagai tempat rehat sebelum perjalanan terus ke puncak, Piji meluahkan rasa sebak dan terharu sehingga menitiskan air mata apabila melihat matahari terbenam menghadap Tasik Danau Segara Anak.
Kejadian matahari terbenam menghadap Tasik Danau Segara Anak di Pelawangan.
“Jadi, kiranya separuh daripada perjalanan sudah selesailah kalau dah sampai Pelawangan. Lepas itu, kami menikmati rehat dengan matahari terbenam di sana, memang cantik sebab kita akan tengok kejadian matahari terbenam itu menghadap Tasik Danau Segara Anak.
Meskipun begitu, Piji tidak dapat meneruskan perjalanan ketika perjalanan menuju ke puncak akibat di serang AMS (altitude mountain sickness). Walaupun berat hati, tapi baginya situasi tersebut tidak perlu di ‘lawan’.
“Saya kena AMS, memang takdir dan perkara tersebut kita kena akur. Situasi itu biasa terjadi pada mana-mana pendaki dan jika kita berdegil untuk naik juga, sangat risiko dan kejadian lebih parah boleh berlaku.
“Terpaksa turun ke Pelawangan semula dan rehat sehingga kawan-kawan turun dari summit,” terangnya.
Suasana di pinggir gunung yang menyaksikan laluan air terjun sebelum tiba di puncak gunung Rinjani.
Sungguhpun begitu, pada hari terakhir, Piji tidak melepaskan peluang untuk melalui Jalur Torean yang merupakan lokasi yang ditunggu-tunggu di kawasan gunung itu ketika pulang.
“Tempat ini popular sebab pemandangan dia macam dalam filem Jurassic Park. Selalunya tengok dekat televisyen dan Instagram. Jadi, bila sampai situ, tengok depan mata, dream come true. Pokok-pokok dia, angin dan suasananya memang real,” syukurnya.
Suasana laluan di Jalur Torean.
Maka, selepas pulang ke tanah air, Piji menanam azam untuk kembali ke sana bagi menjejakkan kaki di puncak gunung Rinjani.
“Ini bukan satu kegagalan, tapi ini pembakar semangat. Saya pasti akan kembali ke sana lagi untuk tinggalkan kesan tapak kaki di summit suatu hari nanti,” tutup bicaranya.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram