Hanya sejam dari JB dan tiket semurah RM3, tak rugi kalau melancong ke Telaga Biru dan Gurun Pasir Bintan


  • Nomad
  • Rabu, 10 Sep 2025

Kombinasi Gurun Pasir dan Telaga Biru telah menjadikan kawasan tersebut kelihatan seperti di dunia lain.

PENDUDUK Johor Bahru, Johor mungkin tahu akan tetapi pastinya ada juga tidak kewujudan lokasi hidden gem berhampiran ibu negeri selatan tanah air aitu Telaga Biru dan Gurun Pasir Bintan.

Secara geografinya, kedua-dua lokasi tersebut hanya mengambil masa satu jam sahaja perjalanan dari Johor Bahru akan tetapi suka diingatkan, kedua-dua lokasi tersebut terletak di Indonesia.

Telaga Biru, atau dikenali juga sebagai Danau Biru adalah sebuah tasik semula jadi yang sangat memukau dengan airnya berwarna biru jernih dan dikelilingi bukit pasir putih seperti di padang pasir Mesir. Ia merupakan kawasan bekas lombong pasir di Bintan, Indonesia.

BACA LAGI: ‘Pulau Pinang, Kelantan, Perak dan Borneo miliki khazanah pekan kecil buat pencinta kedamaian

BACA LAGI: [VIDEO] Bercuti ke luar negara tanpa lelaki? Ramai wanita kini lebih peka, kaji dulu negara orang sebelum melancong

 

 

Tasik di Telaga Biru.

Disebabkan dasar tasiknya yang berpasir putih, pantulan cahaya matahari menjadikan air kelihatan kebiruan dan berubah warna mengikut cuaca. Bahkan, adakalanya ia bertukar menjadi biru kehijauan dan biru pekat, memang fenomena luar biasa.

Tempat tersebut kini menjadi salah sebuah kawasan tarikan pelancongan terkenal di Bintan, sesuai untuk mereka yang sukakan fotografi malahan sesi fotografi gambar kahwin pun boleh, kerana pemandangannya luar biasa, seakan-akan berada di luar negara.

Selain itu, pelawat boleh menikmati suasana tenang di tepi tasik, bergambar dengan latar belakang bukit pasir, atau sekadar bersantai menikmati keindahan alam, memang mengasyikkan.

 

Gurun Pasir, Bintan.

Kemudian, tidak jauh dari Telaga Biru, terdapat Gurun Pasir Bintan, sebuah kawasan luas yang dipenuhi bukit-bukit pasir warna keemasan, macam dalam filem Arab.

Ia juga merupakan bekas kawasan perlombongan pasir yang kini telah berubah wajah menjadi destinasi unik seakan-akan gurun di Timur Tengah.

Suasananya benar-benar berbeza daripada landskap tropika biasa di Indonesia dan pastinya mencipta memori yang tidak dapat dilupakan.

Pelancong biasanya datang untuk berjalan di atas bukit pasir, bergambar dengan pemandangan padang pasir yang luas, atau hanya menikmati suasana senja yang indah. Dinasihatkan untuk tidak hadir pada waktu tengahari kerana keadaan di kawasan itu panas dan sangat terik.

Kombinasi Gurun Pasir Bintan dan Telaga Biru telah menjadikan kawasan tersebut kelihatan seperti di dunia lain, tasik biru yang jernih berlatarkan bukit pasir yang luas memang menakjubkan.

 

 

Mungkin jauh bagi sesiapa yang datang dari Kuala Lumpur tetapi dengan tiket masuk RM3 dan hanya satu jam sahaja daripada bandar JB, rugi rasanya jika tidak singgah ke sini.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram