
BURUNG enggang banyak didapati di Sarawak kerana ia menjadi habitat semula jadi sehingga menjadi simbolik atau haiwan rasmi kepada negeri tersebut.
Ramai juga yang berhasrat untuk melancong ke sana untuk melihat ia berterbangan bebas di udara dan mengambil peluang untuk memberi makanan dari tangan pengunjung.
Buat mereka yang merasakan untuk ke negeri Sarawak itu jauh kerana perlu menaiki pesawat untuk tiba ke sana, usah risau Pulau Pangkor, Perak menjadi alternatif untuk anda mencipta saat indah bersama burung tersebut.
Pengunung sedang memberi makan burung enggang dengan cukup mesra.
Terletak di Teluk Nipah, Pulau Pangkor, kawasan itu menjadi antara pantai yang paling popular dalam sektor pelancongan berkonsepkan peraginan. Ini kerana suasana santai, pemandangan indah serta aktiviti di sana begitu mesra keluarga.
Selain pantainya yang cantik, salah satu tarikan utama di sana ialah burung enggang. Lokasi tersebut juga menjadi habitat hidupan liar di sekitar Teluk Nipah dan sudah mesra atau terbiasa dengan manusia.
Pada waktu petang, terutama menjelang senja burung-burung enggang akan terbang secara berkelompok dan hinggap di pokok-pokok sekitar pantai atau chalet.
Pengunjung boleh melihatnya dari dekat, malah turut diberi peluang peluang untuk memberi makan burung tersebut.
Biasanya pemilik chalet atau penduduk tempatan akan bawa buah-buahan seperti pisang atau betik memandangkan ia adalah makanan kegemaran burung enggang.
Antara penduduk tempatan yang dikenali sebagai penduduk yang memberikan makanan di sana adalah Pak Din.
Beliau sentiasa mengalu-alukan kedatangan pelancongan memberi makanan kepada burung tersebut.
Bila buah dihulurkan atau diangkat ke atas, dengan beraninya burung enggang akan turun dan menyambar terus dari tangan.
Bahkan ada juga yang menunggu lemparan buah daripada pengunjung di atas lalu ditangkap oleh burung tersebut.
Tidak banyak tempat di Malaysia anda boleh berinteraksi rapat dengan burung enggang liar. Anda boleh merasakan bunyi kepak sayapnya yang berkipas dengan kuat dan mengagumkan apabila ia dekat atau mendarat di bahu anda.
Melihat paruh besar dan bulu hitam putih mereka dari dekat memberi peluang pengunjung untuk merakamkan detik menarik ketika di Teluk Nipah.
Ramai pelancong yang memberi maklum balas, suasana petang yang terbaik di Pulau Pangkor adalah di Teluk Nipah yang dirasakan lebih hidup dengan kehadiran burung enggang yang datang berkumpul.
Maka, buat mereka yang merancang untuk ke Pulau Pangkor, pastikan Teluk Nipah dimasukkan ke dalam senarai tempat persinggahan anda ketika bercuti di sana.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram