[VIDEO] 'Dendam tak sudah', anak jati Batu Pahat sanggup berhenti kerja jururawat demi hasilkan tanjak Melayu


  • Hobi
  • Jumaat, 12 Sep 2025

Pada 2021, Herin menjadi pereka kostum bagi filem Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa arahan Allahyarham Mamat Khalid. — AZLINA ABDULLAH/The Star

 

 

Dengan Hari Malaysia hanya berbaki empat hari lagi, pembuat tanjak, Herin Mansor, 45, sedang bertungkus-lumus menyiapkan tempahan saat akhir bagi tanjak yang menjadi penutup kepala tradisional lelaki Melayu.

Timbunan songket tenunan tangan dan buatan mesin, sarat dengan corak halus termasuk hasil yang sudah siap disusun rapi menunggu pelanggan untuk mengambilnya.

“Saya ada lebih 50 tempahan tanjak dengan pelbagai gaya lipatan. Kebanyakan tempahan datang daripada pelajar dan guru untuk sambutan Hari Malaysia di sekolah.

BACA LAGI: 'Melayu itu sifatnya berkias', Bahari Asyek tekankan kehebatan, identiti dan rahsia di sebalik baju tradisi

BACA LAGI: [VIDEO] Uniknya aktiviti ‘rakit tong kimia’ di Felda Residence Tanjung Leman, menyemai ukhwah dan semangat berpasukan

 

 

Herin memakai tanjak gajah gemulong sambil membawa tanjak kesayangannya, 'dendam tak sudah'.

“Ada juga beberapa tempahan untuk majlis perkahwinan, serta acara budaya Keretapi Sarong yang akan berlangsung esok (Sabtu),” kata ketika ditemui di butiknya di Kajang, Selangor.

Antara rekaan yang paling mendapat sambutan ialah fabrik bercorak songket dalam warna kuning, merah, merah jambu, hijau dan biru, dengan benang perak serta emas sebagai hiasan.

Ia amat sesuai untuk Hari Malaysia yang merupakan tarikh penubuhan Malaysia pada tahun 1963 hasil gabungan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. (Pada 1965, Singapura menjadi sebuah negara merdeka.)

“Terdapat pelbagai cara melipat tanjak. Namun musim ini, saya banyak yang mahukan gaya seperti solok timbo (lipatan padat) dan naga berlabuh (naga beristirahat).

“Tiada pilihan yang betul atau salah, semua ini bergantung kepada cita rasa masing-masing,” ujarnya sambil meneliti lilitan dan hujung kain songket untuk tanjak yang dipanggil ayam patah kepak.

Menurut buku Destar Alam Melayu karya Dr Johan Iskandar Abdul Karim, tanjak tergolong dalam kategori destar, iaitu semua jenis hiasan kepala yang penting dalam busana Melayu.

Dilahirkan dan dibesarkan di Parit Sulong, Batu Pahat, Johor, sejak kecil lagi Herin sudah mempunyai minat mendalam terhadap seni dan kraf tangan.

Ketika kecil, beliau gemar membuat wau, rangka kuda kepang serta menganyam bakul rotan dan menjahit juga merupakan salah satu kegemarannya.

“Saya sering menggunakan mesin jahit Singer milik ibu untuk menjahit beg, batu seremban dan langsir. Bila difikirkan semula, saya rasa minat dan kreativiti inilah yang akhirnya mendorong saya untuk menceburi bidang pakaian dan kemudian menghasilkan tanjak,” jelas bekas pelajar SMK Dato’ Sulaiman di Parit Sulong, Batu Pahat, Johor itu.

Bapa kepada tiga orang anak itu sebelum ini merupakan jururawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya, Selangor, selama 15 tahun khususnya di pusat dialisis dan nefrologi.

Namun, perjalanan hidupnya berubah selepas pemergian ayahnya pada 2015. Bagi mengubat kerinduan dan kehilangan tersebut, Herin menyertai kursus kebudayaan Melayu di beberapa pusat seni.

Beliau mempelajari silat, bermain alat muzik tradisional seperti gendang dan kompang, berlatih telepuk, serta mendalami seni ikatan tanjak.

Merasakan diri turut bertuah kerana sempat menimba ilmu lipatan tanjak di bawah bimbingan Johan Iskandar, salah seorang guru tanjak terkemuka di negara ini, detik pentingnya hadir pada tahun 2016.

Tahun itu berlangsungnya majlis perkahwinan adik lelakinya. Herin mahu adiknya tampil sempurna dan mengambil tempat untuk menyiapkan persalinan tradisional lengkap dengan tanjak, sampin dan bengkung.

Coverstory on Herin Mansor, pembuat tanjak dan busana tradisional lelaki beridentiti Melayu kontemporari. — AZLINA ABDULLAH/The Star

Antara koleksi tanjak yang ditempah dan di susun dirak sebelum diambil oleh pelanggan.

 

 

Tidak lama selepas itu, rakan-rakan dan saudara-mara mula meminta beliau menjahit busana serta tanjak untuk majlis mereka.

“Pada mulanya saya ragu-ragu untuk memulakan perniagaan kerana saya fikir saya tidak mempunyai kemahiran menguruskan bisnes.

“Tetapi seorang sahabat saya yang juga pereka tempatan pakar dalam pakaian Muslim nampak minat saya menghasilkan tanjak tradisional. Dialah yang menggalakkan saya menceburi bidang rekaan pakaian.

“Dia menawarkan bantuan dalam kerja jahitan, dan dari situlah bermulanya perjalanan saya dalam bidang fesyen dan rekaan. Saya memilih nama BinMansor sebagai jenama, sebagai penghormatan kepada arwah ayah,” jelasnya.

Herin akhirnya meletakkan jawatan kerja tetapnya pada 2017 sebagai jururawat dan meletakkan keyakinan diri serta keberanian ketika itu untuk mencuba sesuatu yang baru.

“Ada kalanya kita tidak tahu ke mana arah masa depan akan membawa kita. Akhirnya, semuanya bergantung pada minat serta keberanian untuk mencuba perkara baharu,” terangnya.

Pada tahun yang sama, Herin mendapat peluang besar apabila dilantik sebagai pereka pakaian untuk rancangan realiti TV Pendekar Muda, yang menampilkan seni mempertahankan diri tradisional silat.

Pada 2021, beliau meneruskan kerjaya dengan menjadi pereka kostum bagi filem Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa arahan Allahyarham Mamat Khalid.

Setiap gaya mempunyai nama yang unik dan kadangkala dramatik, menggambarkan simbolisme, bentuk atau cerita di sebalik lipatan tersebut.

Antaranya gajah gemulong (gajah perkasa), helang menyusur angin (helang mengikut arah angin), dan tanjak layar bahtera (layar kapal) yang melambangkan pengembaraan serta penerokaan.

Kebiasaannya, sehelai tanjak diperbuat daripada kain berbentuk segi empat sama berukuran kira-kira 33 inci (84cm).

Untuk melipat tanjak, Herin terlebih dahulu menekapkan lapisan kain keras sebelum mahir melipat dan mengikatnya sehingga terbentuk rupa serta puncak yang tersendiri.

Proses itu mengambil masa antara sejam hingga sejam setengah bagi setiap tanjak.

Keupayaan Herin mengingati setiap gaya lipatan tanjak dengan begitu mudah amat mengagumkan, seolah-olah beliau merupakan ensiklopedia berjalan tentang hiasan kepala Melayu.

“Itu kerana saya sudah lakukan ini selama 10 tahun, dan berjam-jam latihan inilah yang membantu saya mengingati pelbagai jenis ikatan.”

Daripada semua gaya, dendam tak sudah menjadi kegemaran Herin. Ia dipakai golongan bangsawan dan begitu ikonik kerana sejarah, simbolisme dan prestijnya, serta dianggap antara gaya paling mencabar untuk dilipat.

“Ia membawa makna simbolik yang mendalam, sering ditafsirkan sebagai keteguhan pendirian, ketabahan dan kesetiaan. Bucu tegak memberi tanjak ketinggian yang megah, mencerminkan kewibawaan si pemakai,” jelasnya.

 

 

Coverstory on Herin Mansor, pembuat tanjak dan busana tradisional lelaki beridentiti Melayu kontemporari. — AZLINA ABDULLAH/The Star

Herin (kiri), memakai tanjak gajah gemulong, membantu anaknya, Muhammad Haqiemi, 19, menyarung tanjak solok timbo.

Jadi, bagaimana seseorang memilih tanjak? Adakah berdasarkan negeri asal, tona kulit atau bentuk wajah?

“Apabila memilih tanjak, warna dan gaya harus sesuai dengan penampilan si pemakai, warna lembut seperti ungu, merah atau merah jambu sesuai untuk tubuh kecil.

“Warna hitam dan emas pula sesuai untuk semua tona kulit dan lipatan tinggi berwarna merah boleh memberi wajah muda kelihatan lebih berwibawa, manakala warna pastel melembutkan wajah yang garang,” ujarnya.

Walaupun beliau melihat minat terhadap tanjak semakin berkembang dalam kalangan anak muda, Herin bimbang kerana ramai yang lebih terdorong oleh potensi pendapatan berbanding usaha memelihara warisan.

“Orang ramai mencipta nama baharu untuk gaya tanjak tradisional. Semakin popular seseorang itu di Instagram atau TikTok, semakin mudah nama tersebut diterima.

“Tetapi tradisi Melayu adalah sesuatu yang tepat. Jika mahu melakukannya, kita mesti melakukannya dengan betul, ikut semua aturan, dan menghormati seni itu.

“Adalah amat penting untuk kekal setia pada tradisi dan memastikan ia terus hidup,” simpulnya,” tutup bicaranya. — TheStar/SHEELA CHANDRAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram