SIHIR adalah satu amalan syaitan yang boleh mendatangkan dosa besar di sisi ALLAH SWT namun masih juga ramai dalam kalangan manusia sering menggunakan ilmu syirik itu untuk memuaskan nafsu dendam mereka.
Malah akibat perbuatan tidak bertanggungjawab itu, akhirnya insan yang tidak bersalah menjadi mangsa perbuatan khurafat itu sehinggakan ada yang terpaksa hidup dalam ketakutan.Itu yang dialami seorang wanita yang hanya ingin dikenali sebagai Husna menceritakan kisahnya apabila menerima bungkusan makanan daripada orang yang tidak dikenali.
Lebih menghairankan katanya, makanan tersebut hanya diletakkan di depan rumahnya yang terletak di Pangsapuri Permai, Batu Caves, Selangor.
Menurutnya, kejadian yang berlaku kira-kira dua minggu lepas itu kerap berulang kira-kira tiga ke lima hari berturut-turut dan makanan yang dihantar oleh pengirim itu terdiri daripada bahan mentah seperti beras, pisang, telur serta seguni bawang.
"Masa itu, saya nak keluar pergi beli barang tapi terkejut apabila melihat sudah ada sesikat pisang di luar rumah. Saya ambil pisang itu tapi saya terus buang.
"Esoknya, saya keluar nak pergi kerja. Pengirim 'misteri' itu hantar pula sebungkus beras. Saya dan keluarga ambil tapi buang juga beras itu. Perkara itu berulang sampailah hari kelima. Kejadian itu jadi berturut untuk lima hari.
"Sehingga hari kelima, kami sekeluarga rasa hairan. Kami rasa peliklah sebab dalam masa yang sama badan kami sekeluarga naik gegata di badan dari mak mentua sampai ke anak kecil saya yang berusia tiga bulan," katanya kepada Majoriti.
Wanita itu berkata, seluruh keluarganya memutuskan untuk pergi berjumpa doktor dan setelah dua klinik dikunjungi, mereka hanya disyaki mengalami demam campak atau denggi.
"Lepas pergi klinik, gegata itu tidak hilang juga. Yang pelik, jika suami saya solat, gegata itu hilang tetapi jika lepas solat gegata itu naik balik ke badan," katanya.
Selepas kejadian yang berlaku dengan suaminya itu, mereka memutuskan untuk pergi ke rawatan Islam kerana risau jika pengirim makanan itu berbuat sesuatu yang buruk terhadap keluarganya.
Katanya, ustaz tersebut bertanya jika sesuatu yang pelik terjadi dan wanita itu bercerita mengenai kejadian pengirim makanan itu.
"Ustaz tu cakap kemungkinan ada orang yang tidak puas hati dengan keluarga kamu.
"Kami tanya, siapa yang buat. Ustaz tu cakap kawasan flat itu 'panas'. Orang yang buat itu dari kawasan flat juga dan rapat dengan keluarga kamu. Alhamdulillah selepas jumpa Ustaz, kami sudah beransur pulih," katanya.
Mengulas lanjut perkara itu, pendakwah bebas, Imam Muda Ashraf berkata, perkara yang berlaku terhadap wanita itu tidak boleh dipastikan sihir kerana tidak diketahui apakah benda yang dihantar itu.
"Tanda-tanda kalau orang ingin buat benda jahat ada perbezaan dari keterbiasaan tapi tidak secara pasti. Tiada pembuktian yang spesifik.
"Lagipun sejak zaman Covid-19 ini, ramai yang hantar makanan dari pintu. Orang masjid di rumah saya pun berbuat sedemikian. Hantar depan pintu saja" katanya.
Menurutnya, untuk berasa selamat jika orang hantar makanan sebegitu rupa, janganlah diambil makanan itu dan untuk pengirim makanan pula perlulah memaklumkan kepada si penerima bagi mengelakkan fitnah berlaku.
"Untuk mengelak daripada perkara buruk seperti sihir jadi ke atas kita, amalkanlah membaca ayat tiga Qul iaitu surah Al-Ikhlas, surah Al-Falaq dan surah An-Naas. Amalkan juga membaca ayat kursi.
"Lakukan amalan ini setiap hari sebelum tidur sebagai pelindung diri," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram