Bayar zakat harta atau selesaikan hutang dahulu?


  • Mukmin
  • Jumaat, 21 Jan 2022

HUKUM membayar zakat dan melunaskan hutang adalah wajib. — Gambar hiasan

DALAM kehidupan seharian, segelintir orang tidak dapat membebaskan diri daripada hutang sehinggakan hutang itu mengganggu diri seseorang itu dalam jangka masa yang panjang.

Namun, ada segelintir individu yang berhutang cuma dia juga membayar zakat harta, justeru persoalan yang timbul dalam kalangan umat Islam ialah mana lebih utama, antara membayar zakat harta atau menyelesaikan hutang sekiranya orang itu mempunyai kewangan yang agak terhad untuk melangsaikan kedua-duanya dalam satu masa?

Mengulas persoalan berkenaan, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) di laman Facebooknya berkata, hukum membayar zakat dan melunaskan hutang adalah wajib.

Namun ujar PMWP, jika harta seseorang itu tidak mencukupi, hendakalah membayar hutang terlebih dahulu, kemudian jika baki harta memenuhi syarat berzakat, tunaikanlah zakat tersebut.

"Kewajipan membayar hutang adalah wajib adalah berdasarkan sabda Baginda SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA: 'Roh orang yang beriman itu tergantung disebabkan hutang, sehingga dibayarkan untuknya (hutang tersebut),' [Riwayat al-Tirmizi (1078)].

"Imam Khatib al-Syirbini juga berkata, sekiranya terhimpun tanggungjawab hutang dan zakat ke atas seseorang yang masih hidup dan hartanya terhad, hendaklah didahulukan hak manusia iaitu membayar hutang," jelas PMWP.

Tambah PMWP, jika selepas membayar hutang masih berbaki hartanya dan cukup syarat untuk mengeluarkan zakat maka hendaklah dikeluarkan zakat.

Malah, jika sekiranya kewangan seseorang itu mencukupi, maka hendaklah dilangsaikan kedua-duanya sekali gus kerana kedua-duanya merupakan tuntutan wajib.

"Walau bagaimanapun, sekiranya hutang itu adalah hutang jangka masa panjang, maka hutang tersebut tidak mengurangi kewajipan zakat sedikitpun.

"Yang menjadi masalah hanyalah sekiranya hutang tersebut perlu dibayar bersamaan dengan waktu yang diwajibkan zakat ke atasnya," kata PMWP. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram