'Jangan buat undang-undang rimba, serah kepada pihak berkuasa'


REMAJA lelaki yang tular apabila dimandikan seperti jenazah akibat cubaan mencuri wang tabung sebuah masjid di Kuang, dekat Rawang, Selangor pada 8 Januari lalu.

"KALAU masih tidak mahu duduk semeja atau berbincang serta memberikan dakwah, cukup buat laporan polis," kata Nor Zabetha Muhd Nor.

Demikian respons Peguam Cara dan Peguam Bela itu mengulas mengenai seorang remaja yang videonya tular dalam media sosial kerana dimandikan seperti 'jenazah' akibat cuba mencuri tabung masjid.

Kesal dengan perkara itu, Nor Zabetha menyarankan orang ramai supaya tidak mengambil undang-undang di tangan sendiri, iaitu dengan menularkan video sehingga mendatangkan rasa malu kepada remaja itu serta ahli keluarganya.

Beliau berkata, perbuatan mencuri itu sememangnya salah mengikut hukum agama dan undang-undang, yang mana remaja itu telah pun dijatuhi hukuman penjara 10 hari dan denda sebanyak RM4,000.

"Jika tidak mampu bayar denda, dia bakal dipenjara selama lima bulan lagi. Apa sahaja sebab dan punca perbuatan mencuri, curi masih salah.

"Cuma yang menjadikan kita marah adalah tindakan mengambil undang-undang di tangan sendiri oleh kumpulan yang memandikan 'jenazah' remaja ini sebagai pengajaran," katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Memberi contoh kisah pada 2018, Nor Zabetha berkata, beliau teringat pesanan seorang hakim dalam kes lelaki yang menikam mati mangsa dan mencederakan Orang Kurang Upaya (OKU), susulan dituduh mencuri barangannya.

Beliau berkata, hakim tersebut memberi pesan supaya tidak sesekali mengambil kuasa undang-undang, seolah-olah melaksana undang-undang rimba hingga meragut nyawa orang lain meskipun dalam keadaan marah.

"Masih ingat kes ini? Kes yang menimbulkan persoalan ramai, kenapa kita tidak boleh mempertahankan rumah sendiri jika diceroboh?

"Yang disampaikan dan kita baca di media berbeza dengan laporan yang dilaporkan di mahkamah dan keterangan saksi-saksi yang menyaksikan bahawa tertuduh, Zulkifli telah menyerang si mati tanpa senjata tatkala si mati merayu-rayu agar jangan dicederakan.

"Saksi mata iaitu pekerja-pekerja Petronas di sekitar kawasan mengesahkan perbuatan dahsyat tertuduh membunuh tatkala mangsa merayu agar nyawa mereka dibebaskan," katanya.

Tambahnya, perbuatan tertuduh disebabkan perasaan marah apabila kedua-dua mangsa menceroboh kawasannya.

"Adakah wajar mereka dibunuh kerana ingin mengambil besi-besi buruk atau barangan terbuang?

"Adakah seseorang yang tidak menyerang dan tidak mendatangkan bahaya dan mencuri, dibunuh? Sebab itu Yang Arif berpesan, jangan ambil undang-undang rimba," katanya.

Jelasnya, beliau membayangkan apabila perkara itu menjadi tradisi di negara ini, peranan pihak polis dan undang-undang ditolak tepi, sebaliknya orang ramai mengambil tindakan sendiri.

"Masalah undang-undang rimba ini tiada mahkamah keadilan. Penghukum percaya salah atau syak salah, sudah cukup untuk menghukum pesalah.

"Sama ada terbukti atau tidak, itu belakang kira," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram