Kes 'remaja jenazah', giliran imam terima sokongan


VIDEO tular yang menunjukkan Daniel dimandikan seperti jenazah akibat cubaannya mencuri wang tabung masjid.

KISAH seorang remaja berusia 19 tahun yang dimandikan seperti jenazah di Kuang selepas 'kantoi' mencuri tabung masjid masih lagi hangat diperkatakan walaupun mahkamah sudah menjatuhkan hukuman ke atasnya.

Sebelum ini, ramai yang mengecam tindakan imam serta pengurusan Masjid Al-Islahiah yang mengambil tindakan sendiri dan menyebarkan video remaja yang dikenali sebagai Daniel Iskandar itu sehingga memalukan dirinya.

Menurut orang ramai, pihak masjid tiada kuasa untuk melaksanakan hukuman ke atas Daniel dan dia sepatutnya diserahkan kepada pihak polis selepas ditangkap.

Malah, netizen 'termakan' dakwaan Daniel yang kononnya mencuri untuk membeli ubat darah tinggi datuknya tetapi perkara itu dinafikan oleh penjaganya itu.

Susulan kemelut yang tercetus antara pihak terlibat, Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Isnin menyarankan ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan pihak yang menularkan video berkenaan membuat permohonan maaf secara terbuka untuk menjernihkan keadaan.

Bagaimanapun sebahagian netizen kini nampaknya mula beralih sokongan kepada imam dan juga pihak masjid dengan menganggap kedua-dua pihak itu merupakan mangsa keadaan.

Netizen berpendapat, pihak masjid seolah-olah dilayan seperti penjenayah, sedangkan Daniel yang melakukan kesalahan mencuri tabung.

"Bestnya buat jenayah, ada orang yang membela penjenayah. Mangsa jenayah pula boleh jadi pesalah, kena minta maaf. Sungguh adil hukum dunia ni," kata Khairil Azwan.

"Betullah tu si pelaku bersama ahli keluarga datanglah berjumpa dengan pihak pengurusan masjid memohon maaf dan melahirkan rasa kekesalan atas salah laku diperlaku, barulah konsep berdamai itu tercapai," kata Roslan Mian.

"Masjid tu tempat mulia orang beribadah, apa punya undang-undang la nak tegakkan keadilan buat pencuri tabung masjid. Lain la kalau terdesak nak beli susu anak ke apa. Malaysia is sick," kata Norazwaany Soh.

"Ni semua kerja bodoh. Ada ke patut orang yang tak bersalah kena minta maaf kepada orang yang melakukan kesalahan. Ini undang-undang haram jadah. Nanti berlambak pencuri dan perompak masuk rumah orang, tuan rumah jangan buat apa-apa, layan dia dengan baik," kata Azizon Awang.

"Kelakar la, yang tangkap pencuri pula kena minta maaf pada pencuri," kata Kameichu Lippu II.

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Isnin mengenepikan hukuman 10 hari penjara dan denda RM4,000 yang dijatuhkan Mahkamah Majistret Selayang terhadap Daniel dan memerintahkan tertuduh untuk menjalani khidmat masyarakat di bawah program Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tempoh 120 jam selama enam bulan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram