'Mazhab ni bukan boleh pilih ikut anak tekak kita'


TANGKAP layar ciapan seorang pengguna Twitter yang menyifatkan Mazhab Syafie sebagai jumud dan kuno.

BARU-BARU ini, seorang pengguna Twitter mencetuskan kemarahan orang ramai apabila mengatakan bahawa Mazhab Imam Syafie bersifat jumud dan kuno kerana tidak membenarkan pengikutnya membela anjing, seperti yang diamalkan rakyat Turki yang bermazhab Hanafi.

Menerusi ciapan yang sudah dipadam itu, dia mengakui lebih gemar untuk mengamalkan ajaran Mazhab Hanafi seperti masyarakat Turki.

Perkara itu mendapat perhatian pengguna Facebook, The Patriots 2.0 yang mengulas tentang isu pemilihan mazhab berdasarkan kesenangan diri sendiri.

Menurutnya, perbuatan melabel Mazhab tertentu sebagai kolot dan kuno kerana tidak menepati kehendak diri adalah jelas kerana bersandarkan nafsu.

"Agama ini sahabat-sahabat sekalian bukan macam nafsu. Kita bermazhab kerana kita ni orang awam, kita tiada ilmu Fiqh dalam nak menilai hukum-hakam ibadah dan juga segala hal hidup kita.

"Kita bergantung pada ulama-ulama yang sudah menyusun untuk kita satu panduan berdasarkan kefahaman empat imam hebat ini. Dan penting juga kita sebab kita beragama bukan kerana nafsu, tetapi dalam nak mendisiplinkan diri kita," tulisnya.

Katanya, orang Islam tidak boleh memilih untuk beramal dengan mazhab tertentu dalam situasi berbeza untuk kesenangan atau kemudahan diri.

Tambahnya, setiap mazhab mempunyai larangan tertentu yang mungkin tidak terdapat dalam mazhab lain, tetapi itu tidak boleh dijadikan alasan untuk menukar mazhab dengan sesuka hati.

"Dia petik orang Turki Mazhab Hanafi bela anjing, tapi dia tak petik macam mana susahnya orang Mazhab Hanafi yang tak dibenarkan makan makanan laut sembarangan macam mana kita bermazhab Syafie ini.

"Pergi tanya sahabat Bangladesh dan Pakistan di negara kita, betapa jumudnya mereka dengan makanan laut tu semua.

"Dia tak nak ikut semua tu sebab tak kena dengan anak tekak dia. Nak ikut pendapat sendiri dalam agama ni boleh saja, tapi tengoklah awak tu siapa.

"Dah sampai level Mujtahid atau Mujtahid Mutlakkah sampai memperlekehkan insan sehebat Imam Syafie?" soalnya.

Tambahnya, sebagai orang awam yang kurang ilmu agama, kita seharusnya mengikut ajaran yang disampaikan golongan yang lebih arif seperti ulama dan majlis fatwa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

mazhab, syafie, hanafi, maliki, hambali, islam, turki