TINDAKAN mencuri bukan sahaja salah di sisi undang-undang dunia, malah, semua agama turut melarang perbuatan yang tidak bermoral itu.
Setiap pelaku yang mencuri wajar dikenakan hukuman kerana telah mengambil hak serta merugikan orang lain.
Namun, hukuman ke atas pencuri perlulah sesuai dan wajar dengan tahap kesalahan yang dilakukan, tanpa menjatuhkan air muka pelaku tersebut.
Pada Khamis, seorang remaja yang videonya tular dalam media sosial kerana dimandikan seperti 'jenazah' akibat cuba mencuri tabung masjid dipenjara 10 hari dan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang, Batu Caves, Selangor.
Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman itu ke atas Daniel Iskandar, 19, selepas dia mengaku bersalah cuba mencuri tabung Masjid Al Islahiah dengan mengheret dan menyorokkan tabung itu di dalam bilik mandi jenazah di masjid berkenaan di Kuang, Rawang, Selangor pada 11.58 malam, 8 Januari lepas.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, pengadu yang merupakan siak di masjid itu telah pergi ke masjid dan mendapati tabung masjid tiada.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati, seorang lelaki telah merosakkan tabung masjid sebelum mengheret dan menyembunyikan tabung itu di dalam bilik mandi jenazah.
Pengadu bersama ahli jawatankuasa masjid mengesyaki lelaki itu tinggal berdekatan masjid dan apabila mereka membuat rondaan di sekitar kawasan itu, mereka ternampak seorang lelaki yang sama dengan rakaman CCTV lalu menghampirinya dan bertanya adakah dia memecah masuk dan mencuri tabung masjid berkenaan.
Lelaki itu kemudiannya mengaku bahawa dia melakukan perbuatan itu menyebabkan ahli jawatankuasa masjid menangkapnya dan menghubungi pihak polis.
Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki tular dalam media sosial apabila video berdurasi satu minit 25 saat memaparkan tindakan jemaah masjid memandikan lelaki itu seperti jenazah, serta dia dilumurkan dengan kapur barus kerana mencuri tabung masjid.
Menjengah ke ruangan komen media sosial, Majoriti mendapati, segelintir netizen tidak bersetuju dengan tindakan ahli jawatankuasa yang menjatuhkan hukum ke atas tertuduh, namun ia bukan bermakna mereka menyokong perbuatan mencuri tersebut.
Faizal Azrin berkata, tindakan ahli jawatankuasa masjid yang menjatuhkan hukum memandikan suspek selain merakam perbuatan itu dianggap sebagai memalukan tertuduh.
Apatah lagi, katanya, mereka juga melaporkan kesalahan tertuduh kepada pihak polis, yang boleh menambahkan hukuman lebih berat.
"Tak berbaloi dan mengaibkan. Silap hari bulan imam dan AJK (ahli jawatankuasa) masjid terlibat kena saman malu nanti. Harap-harap tak ada la saman," katanya.
TANGKAP layar komen netizen yang tidak bersetuju pencuri dijatuh hukum dimandikan seperti jenazah sebelum videonya tular di media sosial.
Turut berpendapat sama, Hafizi Hamzah berkata, sekiranya mereka yang terlibat dalam tangkapan tertuduh mahu membawa kes kecurian itu kepada pihak berkuasa, mereka tidak perlu memandikan tertuduh selain menularkan perkara itu.
"Terus saja ke balai. Harap ada la lawyer (peguam) yang budiman untuk bantu budak ni saman pihak pengurusan masjid sebab mengaibkan dia. Naya," katanya.
Selain itu, Arin Syah berkata, keluarga tertuduh wajar membuat laporan polis ke atas mereka yang terlibat memandikan individu bukan jenazah dan menularkan perkara itu.
"Saman malu, mendera dan berniat jahat serta menghina. Kerana negara kita ada undang-undang dan bukan buat hukuman sendiri. Semoga jadi pengajaran semua," katanya.
Mohamad Nasir Moh berkata: "Budak boleh saman pihak masjid sebab mendera atau menganiayai. Video boleh jadi bahan bukti. Yang boleh jatuh hukuman tu hakim."
Tulis Isa Hassan: "Ingat bila dimandikan itu adalah satu hukuman dah settle (selesai).Rupanya report (lapor) polis juga kesian budak tu. Rasanya boleh saman sebab dimalukan. Saya simpati kat budak tu." — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram