IMPIAN semua pasangan yang berumah tangga adalah ingin duduk berdua dengan pasangan masing-masing namun tidak dinafikan ada segelintir pasangan yang memberi izin ipar-duai tinggal serumah atas pelbagai faktor.
Di sebalik situasi ipar-duai duduk serumah yang menyelebungi masalah segelintir pasangan kini, apakah hukum jika ipar-duai tinggal sebumbung namun berlainan bilik ketika ketiadaan mahram di rumah?
Bagi mengulas isu berkenaan, https://muftiwp.gov.my/en/Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) berkata, hukum ipar-duai tinggal serumah yang ketiadaan mahram adalah dilarang oleh syarak dan perlu dijauhi bagi menutup pintu fitnah (sadd al-dzari’ah).
"Larangan tersebut sebagai langkah berjaga-jaga daripada timbulnya sebarang kerosakan (mafsadah) yang besar pada masa akan datang.
"Adapun, tidak mengapa ipar-duai tumpang tidur bermalam yang berasingan bilik selagi adanya mahram disisi ipar duai dan aman daripada fitnah. Mahram yang wajib ada ialah mahram dari pihak perempuan bukan lelaki," kata agensi agama itu.
Kata PMWP, status antara ipar-duai adalah haram muaqqat iaitu haram untuk dinikahi dalam tempoh waktu tertentu dan implikasinya, mereka perlulah memelihara batasan aurat dan adab pergaulan ketika berinteraksi antara satu sama lain bukan seperti mahram yang lain.
Ipar-duai turut tidak dibenarkan berkhalwat (berdua-duaan) apatah tidak lagi bersentuhan kulit, sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Berhati-hatilah kamu ketika masuk menemui wanita, lalu seorang lelaki Ansar berkata: Wahai Rasulullah, bagaimana pendapat engkau tentang ipar? Baginda bersabda: Ipar adalah maut," — Riwayat al-Bukhari (5232) Riwayat al-Muslim (2172).
Dalam pada itu, pihak PMWP menasihati agar pasangan yang berada dalam situasi berkenaan, mereka perlu mengasingkan tempat tinggal iparnya daripada duduk serumah memandangkan rutin harian suami akan keluar berkerja dan isteri sebagai suri rumah.
"Tidak dinafikan menyewa rumah bergantung kepada kemampuan individu masing-masing. Namun begitu, individu tersebut perlu sedaya upaya mencari bilik sewa mampu milik berbanding duduk menumpang bersama ipar demi menutup ruangan fitnah," kata agensi itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram