Musang halal ke untuk dimakan?


  • Mukmin
  • Khamis, 27 Jan 2022

TERDAPAT juga pandangan daripada Mazhab Syafi’e yang membenarkan untuk memakan jenis musang tertentu seperti jenis musang yang makanan utamanya adalah buah-buahan dan tidak menyebarkan penyakit. — Agensi

DALAM Islam, terdapat beberapa sumber makanan yang dilarang untuk dimakan oleh agama dan itu adalah disebabkan beberapa alasan yang kukuh termasuklah boleh memudaratkan kesihatan rohani dan jasmani manusia.

Daging kambing, lembu dan kerbau merupakan antara contoh binatang yang dibenarkan untuk dimakan dan ia juga mempunyai pelbagai khasiat dan protein yang sesuai untuk digunakan oleh tubuh badan manusia.

Namun begitu, pernahkah anda terfikir sama ada memakan daging musang adalah halal ataupun haram? Adakah dalam Islam membenarkan manusia memakan daging musang dalam kehidupan seharian mereka?

Bagi menjawab persoalan tersebut, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memberi respons berkaitan hukum memakan daging musang dan untuk pendapat yang lebh selamat adalah diharamkan memakan daging musang.

Namun, terdapat juga pandangan daripada Mazhab Syafi’e yang membenarkan untuk memakan jenis musang tertentu seperti jenis musang yang makanan utamanya adalah buah-buahan dan tidak menyebarkan penyakit.

"Sekiranya jenis musang itu tidak mempunyai ciri-ciri berikut, maka daging musang haram dimakan kerana ia termasuk dalam kategori haiwan yang jijik untuk dimakan.

"Jika taringnya lemah dan tidak boleh menangkap mangsa, binatang itu halal dimakan, seperti sejenis serigala dan sejenis musang," katanya.

Hal itu berdasarkan hadis daripada Ibn Abi Ammar yang bertanya kepada Jabir RA berkenaan dengan dhubu’ yang bermaksud: “Adakah dhubu’ itu binatang buruan?” Jawab Jabir: “Ya.” Ibn Abi Ammar bertanya: “Bolehkah aku memakannya?” Jawab Jabir: “Ya.” Ibn Abi Ammar bertanya lagi: “Adakah Rasulullah membenarkannya?” Jabir menjawab: “Ya.”

Tambahannya, jenis-jenis musang merupakan hidupan liar yang dipelihara sebagaimana yang telah diperuntukkan di dalam Akta 716 dan sesiapa yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan tindakan undang-undang serta hukuman.

Dr Zulkifli berkata, pemerintah berhak untuk memutuskan sesuatu keputusan bagi menjaga maslahah yang lebih penting dan itu bertepatan dengan satu kaedah fiqh yang masyhur yang bermaksud 'polisi pemerintah itu hendaklah berasaskan maslahah terhadap rakyat'.

"Justeru, menjadi tanggungjawab rakyat untuk taat dan menyokong ulil amri (pemerintah) dalam hal-hal yang makruf (baik)," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram