Hukum pakai emas ketika haji dan umrah


  • Mukmin
  • Rabu, 09 Feb 2022

TINDAKAN Ifa yang memakai perhiasan barangan kemas ketika mengerjakan ibadah umrah dikecam netizen baru-baru ini. — Instagram Ifa Raziah

BARU-BARU ini, selebriti tanah air, Ifa Raziah dikecam netizen apabila berkongsi beberapa keping memakai perhiasan emas ketika menunaikan ibadah umrah.

Namun, tiada sebarang larangan memakai perhiasan emas ketika melaksanakan ibadah haji dan umrah dan ia tidak termasuk dalam perkara-perkara yang dilarang ketika berihram.

Demikian penjelasan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) menerusi akaun sosial rasminya pada Isnin bagi menjawab soalan mengenai adakah tindakan itu bercanggah hukum syarak.

"Bahkan memakai perhiasan bagi wanita tidak termasuk dalam perkara-perkara yang dilarang dalam ihram berdasarkan riwayat daripada Abdullah bin Umar RA, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Rasulullah SAW melarang kaum perempuan yang dalam berihram memakai dua sarung tangan, penutup muka (purdah), baju yang dicelup wars (sejenis minyak wangi) dan minyak za'faran. Ia boleh memakai selain daripada itu apa-apa pakaian yang disukai daripada pelbagai warna seperti pakaian dicelup ‘ushfur’ (pewarna kekuningan) sutera, perhiasan, seluar atau kemeja atau sepatu (Riwayat Abu Daud 1827)," kata agensi itu.

Melalui jawapan Irsyad Al-Fatwa siri ke-56 dalam pautan agensi itu, memakai perhiasa emas ketika haji atau umrah tidak menjejaskan rukun-rukun ibadah namun jangan berlebihan.

"Pemakaian barangan perhiasan emas secara berlebih-lebihan perlu dielakkan sebagai langkah berhati-hati bagi menutup pintu-pintu kerosakan (Sadd al-dzariah) seperti unsur riak (menunjuk-nunjuk) dan unsur mendedahkan perhiasan (tabarruj), " kata PMWP.

Tindakan itu sebagai langkah berjaga-jaga daripada perkara yang boleh merosakkan niat dalam perlaksanaan ibadah kepada ALLAH SWT kerana hakikatnya matlamat ibadah berkenaan untuk meningkatkan ketaatan di sisi-Nya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram