AQIQAH dari segi bahasa bermaksud rambut di atas kepala bayi ketika dilahirkan, manakala dari sudut istilah syarak bermaksud haiwan ternakan yang disembelih sempena rambut di kepala bayi dicukur.
Hukum melaksanakan aqiqah pula adalah sunat muakkad bagi yang berkemampuan.
Asal pensyariatannya adalah berdasarkan sebuah hadis daripada Salman Amir al-Dhabbi RA, yang mana beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Bersama-sama kelahiran bayi ada aqiqahnya. Oleh itu, tumpahkanlah darah aqiqah bagi pihaknya dan buangkanlah kekotoran dan najis daripadanya,” — Hadis Riwayat al-Bukhari
Pendakwah bebas, Asma' Harun berkata, aqiqah sunat dilakukan pada hari ketujuh kelahiran bayi, di samping memberi nama yang baik serta mencukur rambut bayi tersebut.
Katanya, ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Samurah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Bayi itu tertebus dengan aqiqahnya. Disembelih aqiqah pada hari yang ketujuh kelahirannya, diberikan nama dan dicukur rambutnya," — Hadis Riwayat Tirmidzi
Asma' Harun berkata, Imam Ahmad menyatakan bahawa 'bayi tertebus dengan aqiqahnya' bermaksud apabila bayi tidak diaqiqahkan, dia tidak dapat memohon syafaat untuk ibu bapanya pada hari kiamat.
"Hikmah mengerjakan aqiqah ialah menzahirkan perasaan gembira dan nikmat dengan kurniaan nasab keturunan," katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Tempoh pelaksanaan aqiqah
Asma' Harun berkata, mazhab al-Syafie berpendapat bahawa, hukum sunat aqiqah kekal sehingga seseorang anak itu dilahirkan.
Katanya, para ulama Syafieyyah pula berpendapat, pelaksanaan aqiqah dituntut ke atas al-asl seperti ayah dan datuk kerana dia wajib menafkahi bayi tersebut.
Imam Ibn Hajar al-Haitami menyebut dalam kitabnya al-Minhaj al-Qawim: "Tidak boleh bagi seorang wali itu melakukan aqiqah menggunakan harta anaknya. Ini kerana sembelihan aqiqah adalah bersifat tabarru’ (menggunakan wang sendiri).
"Namun sekiranya dia menggunakan juga harta anak tersebut, maka ia perlu digantikan semula. Dan sembelihan aqiqah tidak dituntut ke atas ibu, melainkan ketika mana seorang bapa tidak berkemampuan untuk melakukannya,"
Justeru, Asma' Harun menjelaskan bahawa aqiqah perlu ditunaikan menggunakan harta bapa kepada bayi tersebut.
"Namun apabila anak itu sudah baligh sebelum sempat diaqiqahkan, maka sunat bagi anak tersebut untuk mengaqiqahkan dirinya sendiri," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram