Beriadah di kuil tak salah, tapi boleh timbul fitnah — Mufti


  • Massa
  • Selasa, 15 Feb 2022

TINDAKAN beberapa individu yang melakukan aktiviti beriadah di kuil dekat Batu Caves, menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan segelintir penganut Hindu.

UMAT Islam dibenarkan untuk beriadah dan bersenam selagi ia tidak dilakukan di tempat yang boleh menimbulkan fitnah, kata Mufti Kelantan, Datuk Mohamed Shukri Mohamed.

Beliau membangkitkan perkara itu bagi mengulas mengenai luahan seorang penganut Hindu, yang tidak berpuas hati terhadap individu yang menjadikan Kuil Sri Subramaniam, di Batu Caves, Selangor sebagai tempat beriadah.

Menerusi hantaran Facebook Sam Gv pada Ahad, dia berharap supaya rakyat Malaysia lebih peka dengan fungsi kawasan ibadah dan menghormati penganut yang hadir ke Batu Caves untuk bersembahyang.

Screenshot 2022-02-15 143226

MOHAMED Shukri berkata, tindakan beriadah di kuil menimbulkan fitnah. — The Star

Mengulas mengenai perkara itu, Mohamed Shukri berkata, sekiranya aktiviti beriadah tersebut termasuk dalam upacara keagamaan, maka ia disifatkan sebagai suatu kesalahan.

Beliau turut hairan apabila segelintir umat Islam menjadikan kuil itu sebagai tempat beriadah, disebabkan perbuatan itu dianggap boleh menimbulkan fitnah.

"Bila kita pergi situ orang akan fikir kita melakukan upacara agama, padahal tak melakukan upacara agama.

"Joging tak salah tapi yang salahnya kita memilih tempat yang boleh menimbulkan curiga dan salah sangka orang.

"Maka kita bersalah kerana menimbulkan fitnah. Perbuatan kita itu menimbulkan salah tanggap orang kepada kita," katanya kepada Majoriti.

Mohamed Shukri berkata, banyak lagi lokasi yang boleh dipilih untuk beriadah berbanding di kuil tersebut.

"Apa istimewanya di situ? Jadi, untuk elak tohmahan dan tuduhan, itu tanggungjawab kita juga supaya tak timbulkan fitnah," katanya lagi.

Sementara itu, Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata, hukum beriadah di kuil tersebut adalah harus, yang mana tidak berdosa jika dilakukan dan tidak juga berdosa sekiranya tidak dilaksanakan.

Mufti Pahang itu berkata, hal ini kerana perbuatan itu tiada kena-mengena dengan ibadah penganut Hindu.

"Kalau setakat riadah naik atas tiada masalah. Itu pun bukan di dalam kuil. Sebab dia gunakan tangga untuk kemudahannya (berlari). Mungkin begitulah," katanya.

mufti-pahang-data

ABDUL Rahman berkata, perbuatan beriadah di kuil tidak menjadi satu kesalahan. — Pahang Media

Meskipun perkara itu tidak menjadi kesalahan dalam Islam, Mufti Pahang itu menasihatkan umat Islam supaya tidak terpengaruh dengan agama lain.

"Tak boleh kalau kita menghormati, nampak macam kita bersetuju dengan agama mereka.

"Kalau setakat untuk beriadah tiada halangan. Jangan masuk beribadah sudahlah," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram