Penebang balak bersiap sedia dilaknat, direndam dalam neraka


  • Mukmin
  • Jumaat, 07 Jan 2022

TANGKAP Layar rakaman video tular sisa-sisa dan timbunan-timbunan kayu berselerakan di atas jalan raya serta jambatan.

ISU pembalakan balak di Malaysia makin menjadi-jadi sehingga baru-baru ini kecoh di media sosial sebuah video tular yang menunjukkan sisa-sisa dan timbunan-timbunan kayu berselerakan di atas jalan raya serta jambatan.

Di sebalik perbuatan menebang balak seperti video tular yang berlaku berhampiran Jalan Bentong-Karak dan Jambatan Sri Telemong di Bentong, Pahang itu, tidak dinafikan perbuatan berkenaan merupakan jenayah dunia serta akhirat.

"Tanpa mengira siapa pun pelakunya, samada golongan bawahan atau bangsawan, ahli politik atau ahli peniagaan, perbuatan menebang sehingga membinasakan rakyat akan dilaknat dan kepalanya direndam dalam api neraka," kata Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Hujah beliau itu dinyatakan sebagaimana dalam hadis Nabi SAW, memberikan amaran kepada sesiapa yang menebang pokok bidara yang menjadi teduhan orang ramai yang mana ALLAH akan merendahkan atau merendam kepalanya ke dalam neraka.

Daripada Aishah r.ha, sabda Baginda SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang memotong pokok bidara maka ALLAH merendahkan (menekan) kepalanya dalam neraka." (Riwayat Abu Daud, al-Nasai dalam al-Kubra, al-Baihaqi dll. Hadis sahih)

Menurut Mohd Asri di laman sesawang Mufti Perlis, hadis itu memberi amaran sesiapa yang merosakkan tumbuh-tumbuhan yang dapat menjadi teduhan manusia dan haiwan maka ALLAH akan merendahkan, menekan atau merendamkan kepalanya dalam neraka.

Menurutnya hadis-hadis yang memberikan amaran yang dahsyat seperti itu menunjukkan perbuatan yang dilarang dan termasuk al-Kabair iaitu dosa-dosa besar.

“Para ulama dahulu berbincang tentang maksud hadis ini. Ada yang kehairanan mengapa pula diharamkan memotong pokok bidara? Ada yang berpendapat ia khas untuk Makkah. Ada yang berpendapat hukum itu telah dimansuhkan.

“Namun, jawapan al-Imam Abu Daud memberikan makna mudah difahami mengenai hadis itu iaitu mereka yang memusnah tempat berehat atau berteduh musafir atau haiwan. Keadaan panas mendesak manusia dan haiwan mencari perlindungan. Pokok dan pohon yang rendang memayungi manusia dan haiwan daripada kepanasan,” katanya.

Mohd Asri berkata, sesiapa yang memusnahkan tempat perlindungan panas manusia, haiwan ketika sangat memerlukan tanpa alasan yang benar pastilah termasuk dalam kalangan mereka yang sangat jahat, oleh itu tidak hairan jika kepalanya direndam ke dalam neraka.

"Jika memotong pokok bidara disembamkan kepala ke dalam neraka, bayangkan jika memotong balak sehingga ribuan manusia menderita dan berlaku kematian!!

"Potong pokok bidara yang menyebabkan musafir kehilangan tempat berteduh yang bukan milik peribadi sudah dihukum demikian rupa di akhirat.

"Apatahlagi jika menebang hutan dengan cara yang rakus yang menghilangkan harta peribadi manusia, bahkan membunuh nyawa dan kehidupan insan," kata Mufti Perlis itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram