SEORANG remaja yang videonya tular dalam media sosial kerana dimandikan seperti 'jenazah' akibat mencuri tabung masjid sepatutnya dihukum dengan cara lebih baik.
Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman memberi cadangan bahawa, remaja tersebut boleh dihukum dalam bentuk kebajikan berbanding menghukum dengan cara yang boleh memalukannya.
"Ini termasuk menyuruhnya datang ke masjid dan membuat kerja-kerja pembersihan seperti menyapu," kepadanya Majoriti.
ABDUL Rahman berkata, remaja terbabit boleh dihukum dengan membuat kerja kebajikan seperti datang ke masjid dan pembersihan.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, perbuatan mencuri yang dilakukan oleh remaja itu sepatutnya dihukum oleh pihak berkuasa, manakala imam tersebut tidak berhak menghukumnya dengan cara memalukan itu.
"Sebenarnya dalam Islam kita menasihat itu lebih baik. Kita tak boleh memalukan maruah orang tapi salah (mencuri) tetap salah dan ada peraturan yang ditetapkan.
"Kalau hukum tanpa menyiarkan mungkin tiada masalah, tapi kalau memalukan satu perbuatan tak baik. Ia bukan kuasa imam, tapi kuasa polis," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, seorang remaja lelaki tular dalam media sosial apabila video memaparkan tindakan jemaah masjid memandikannya seperti jenazah, serta dia dilumurkan dengan kapur barus kerana mencuri tabung masjid, sebelum dia dibawa kepada pihak polis.
Pada Khamis, remaja tersebut dipenjara 10 hari dan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang, Batu Caves, Selangor.
Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman itu ke atas Daniel Iskandar, 19, selepas dia mengaku bersalah cuba mencuri tabung Masjid Al Islahiah dengan mengheret dan menyorokkan tabung itu di dalam bilik mandi jenazah di masjid berkenaan di Kuang, Rawang, Selangor pada 11.58 malam, 8 Januari lepas.
Pada Jumaat, imam yang didakwa terbabit dalam kejadian itu meletak jawatan berkuat kuasa pada hari sama.
Pada Sabtu, remaja tersebut melantik Tetuan Hariz Syakinah & Co bagi mewakilinya dengan bantuan Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram