Kebun komuniti di Subang Jaya ada potensi jadi lokasi mini pelancongan, lambang keakraban jiran tetangga


  • Nomad
  • Jumaat, 28 Nov 2025

Taman ini telah menerima pensijilan MyGAP daripada Jabatan Pertanian.

INISIATIF pendudukan USJ14 merancang sebuah pusat sehenti atau kebun untuk agro-pelancongan, pendidikan dan kerjasama tanggungjawab sosial korporat (CSR) dilihat berjaya apabila bersatunya penduduk di situ.

Sebuah taman komuniti di Subang Jaya, Selangor, secara senyap telah berkembang dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Kebun itu, menjadi ruang untuk warga emas berkongsi petua berkebun dan kanak-kanak belajar cara bercucuk tanam.

BACA LAGI: Lisa Blackpink jadi tarikan terbaharu permainan video Festival Fortnite

BACA LAGI: Rakyat Malaysia wajar contohi wanita ini amal '10R', jadikan kemampanan satu gaya hidup

 

Projek CSR sedang dijalankan di sebuah taman di Subang Jaya.

 

Berdasarkan perkembangan tersebut, Persatuan Taman Komuniti USJ14 (KKUSJ14) di Jalan Mulia kini berhasrat untuk menyusun secara rasmi inisiatif tersebut.

Mereka merancang untuk mempromosikan taman itu sebagai pusat sehenti yang menawarkan pendidikan pertanian, agro-pelancongan dan program CSR.

Setiausaha persatuan, Muhammad Adam Abdullah berkata, taman seluas 0.1 hektar itu pada mulanya diperkenalkan melalui penjualan hasil organik dan bahan kompos.

Ia dilaksanakan dengan sokongan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Majlis Perwakilan Penduduk Zon 3 (MPP) dan wakil rakyat terpilih.

“Kami kemudian memperluaskan kepada program pendidikan untuk sekolah dan kumpulan yang berminat dengan pembelajaran secara praktikal di taman.

“KKUSJ14 diiktiraf sebagai pusat pendidikan oleh MBSJ, dan menjalankan projek CSR pertama bersama sebuah syarikat perkapalan kontena global pada tahun 2023,” katanya, sambil menambah bahawa konsep agro-pelancongan diperkenalkan baru-baru ini.

Muhammad Adam memaklumkan pengenalan ketiga-tiga program berkenaan memberi lebih banyak peluang kepada persatuan, untuk menjana dana dan mengekalkan taman dalam jangka masa panjang.

Idea pusat sehenti KKUSJ14 akan dimasukkan sebagai sebahagian daripada penyerahan Zon 3 MPP untuk Anugerah MBSJ MPP 2025, dan tersenarai dalam kategori kejiranan hijau dan program komuniti.

Sebagai pusat pendidikan pertanian, taman ini menyediakan platform pembelajaran terbuka untuk pelajar, guru dan komuniti.

Ini termasuk mempelajari pertanian lestari, keselamatan makanan, inovasi pertanian serta isu semasa seperti perubahan iklim dan amalan lestari.

“Kami menyesuaikan kelas berdasarkan kumpulan umur peserta, termasuk penanaman asas, penyediaan campuran tanah atau baja organik serta demonstrasi kaedah penanaman organik, hidroponik atau fertigation.

“Kami juga menawarkan beberapa pilihan untuk projek CSR, seperti menjalankan kerja penyelenggaraan dan menghias taman, penanaman pokok, tajaan serta ‘plot adoption’.

“Sesebuah syarikat mengadopsi satu plot untuk tempoh tertentu dan menyumbangkan hasilnya kepada badan kebajikan pilihan mereka,” ujar Muhammad Adam.

Bagi agro-pelancongan pula, persatuan penduduk berharap dapat menjadikan KKUSJ14 sebagai destinasi menarik, dengan memperkenalkan aktiviti praktikal dan jualan hasil bermusim, dengan pengunjung berpeluang memetik hasil sendiri.

Muhammad Adam memeriksa anak benih di rumah hijau.

 

Persatuan itu juga berharap MBSJ untuk mempromosikan pelancongan melalui platform “Helo Subang Jaya”, seterusnya membawa pengunjung korporat ke taman untuk lawatan.

Muhammad Adam turut berharap KKUSJ14 juga boleh menganjurkan acara dan rancangan untuk berhubung dengan agensi pelancongan di Subang, bagi aktiviti agro-pelancongan.

“Ini adalah taman komuniti malah menjadi tuan rumah untuk sebuah majlis perkahwinan Melayu dengan 300 tetamu pada Januari tahun ini,” jelasnya.

KKUSJ14 diasaskan oleh sekumpulan penghuni strata dan peminat berkebun pada Ogos 2018 di ruang terbuka bersebelahan taman USJ14, dengan kebenaran daripada MBSJ.

Kumpulan tersebut mencadangkan idea berkenaan kerana mereka tinggal di pelbagai pangsapuri Goodyear Court, yang mengelilingi taman dan mempunyai akses terhad ke ruang terbuka untuk berkebun.

Kini, taman komuniti itu beroperasi di tapak yang sama, tetapi dilengkapi dengan fasiliti seperti rumah hijau, sistem penuaian air hujan dan sudut pengkomposan.

Taman ini telah menerima pensijilan Amalan Baik Pertanian Malaysia (MyGAP) daripada Jabatan Pertanian, yang mengiktiraf amalan pertanian baik dan penghasilan hasil yang selamat serta berkualiti.

 

Perkahwinan Melayu dengan kehadiran kira-kira 300 tetamu diadakan di taman komuniti pada Januari.

 

Persatuan itu juga menerima geran Sejati Madani sebanyak RM60,000 daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) untuk memulakan projek fertigation cili tahun ini berserta beberapa hasil tanaman lain.

Projek yang bermula pada Julai ini menghasilkan tuaian pertama pada pertengahan November.

Gerak kerja terdiri daripada 350 beg cili dan 50 beg sayur seperti salad, kangkung, sawi dan bendi.

Muhammad Adam percaya projek fertigasi KKUSJ14 tersebut adalah yang pertama di Malaysia dikendalikan oleh satu pasukan wanita sepenuhnya, juga merupakan suri rumah.

“Kami mendapatkan nasihat daripada Kapten Aswardy Moktar, seorang pesara yang berpengalaman dengan sistem fertigation, untuk membantu menubuhkan projek ini,” katanya, sambil menambah bahawa geran itu digunakan untuk peralatan, penyelenggaraan dan bil utiliti.

“Cili adalah tanaman sensitif untuk ditanam, tetapi ia menghasilkan pulangan yang baik.

“Kami merancang untuk menjual tuaian kami kepada kedai runcit, restoran, penduduk tempatan dan pengunjung taman.”

Untuk maklumat lanjut atau menghubungi KKUSJ14, sila layari https://tinyurl.com/t4hymdrx — The Star/JADE CHAN

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram