[VIDEO] Gendang perang Pahang terselit kisah menyayat hati, kenali 3 lagi jenis alat paluan semangat Tok Gajah


  • Hobi
  • Ahad, 05 Okt 2025

Terdapat 137 buah lagu yang dipecahkan kepada empat kategori paluan gendang dan cerita disebaliknya.

GENDANG adalah sebuah alat muzik yang mengeluarkan gema yang cukup tegas dan bunyinya mampu memberikan aura kepada sesiapa yang mendengar.

Ia sering kali dimainkan dalam acara yang ingin menimbulkan semangat terhadap penonton bagi memeriahkan suasana.

Namun tahukah anda gendang yang dimainkan juga mempunyai seni dan rahsia yang tersendiri? Bahkan setiap lagu dan rentak ada cerita yang istimewa.

BACA LAGI: Debaran F1 Singapura makin hampir, ini 5 keunikan litar di Bandaraya Singa tarik peminat Malaysia

BACA LAGI: Nak duduk hotel 5 bintang tapi harga 3 bintang? Ini rahsianya

 

Persembahan gendang Pahang yang penuh berseni yang cukup menarik di Pantai Timur Fest 2025.

Baru-baru ini penulis berkesempatan bertemu jurulatih Program Perantisan Seni (PERANTISAN) Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Muhamad Mohd Yunus.

Jurulatih PERANTISAN  Muhamad Mohd Yunos atau Tok Mad.

Mesra dipanggil Tok Mad, beliau menekankan bahawa setiap alunan muzik dan lagu yang dimainkan oleh pemain gendang Pahang memiliki jenis dan penceritaannya sendiri.

Beliau yang sudah berusia 62, berkata, fahaman bermain gendang Pahang perlu dipelajari mengikut fasa seperti mana peringkat sekolah dan universiti.

“Gendang yang di palu perlu ada seni, barulah alunannya sedap dan enak didengar walaupun kali pertama mendengarnya.

“Setiap teknik dan kemahiran tidak timbul dengan tiba-tiba jika ia dipelajari tidak mengikut fasa tertentu, tak boleh main pukul saja alat itu, tak kena cara namanya,” katanya ketika ditemui di Pantai Timur Fest 2025, Seri Pacific Hotel, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tok Mad bersama ahli gendnag Pahang yang datang dari pelbagai usia dan generasi.

Tok Mad yang mengendalikan PERANTISAN untuk tahun ketiga itu berkongsikan terdapat 137 buah lagu yang dipecahkan kepada empat kategori paluan gendang dan cerita disebaliknya.

Salah satu jenis gendang Pahang.

Gendang silat

Gedang pertama ialah gendang silat. Secara umumnya silat adalah seni mempertahankan diri yang banyak disertai oleh orang Melayu.

“Gema gendang silat Pahang ini berbeza dengan negeri Kedah dan Kelantan. Ia menggunakan tiga alat sahaja. Gendang anak, gendang ibu dan gong sahaja, memang itu saja dia punya aur dan tebing atau pairing dia.

“Tetapi jika nak sentuh gendang itu sendiri, ia menjadi rahsia kepada pemain-pemain saja. Contoh saya main gendang untuk raja, ilmu itu ada pada saya dan tak boleh diturunkan kepada orang lain sesuka hati. Sebab kalau bagi tah siapa, tah sesiapa pula yang mainkan untuk raja.

“Jadi gendang itu hak eksklusif pemain dan pemain saja yang boleh diturunkan ilmu tersebut. Macam sekarang saya sekarang dah moden, siapa nak tahu saya ajar saja. Nak main lagu ini ambillah, tapi bagi mereka yang hendak belajar saja.” ujarnya sambil berkias.

Gendang perang

Kedua, ialah gendang perang dan tujuannya mudah saja, dimainkan sebab hendak berperang.

Tok Mad memberitahu terlebih dahulu, kategori gendang tersebut sebenarnya adalah sebuah tragedi dan menyedihkan.

“Iya, memang gendang itu dimainkan untuk berperang, dasarnya bagi menaikkan semangat orang ingin berperang. Kisah ini berlaku semasa berlakunya perang saudara Pahang pada suatu ketika dahulu (tidak maklumkan secara terperinci atas sebab tertentu).

“Kalau nak cerita memang sedih sebenarnya. Ia berkisahkan si ayahnya berperang di tebing kemudian si anak bermain gendang di atas perahu yang nak memberi semangat kepada ayah,” jelasnya dalam nada yang serius.

Akan tetapi si ayah kalah perang tersebut dan anak serta semua keluarga melarikan diri dan tinggalkan peperangan tersebut menggunakan perahu yang sama.

Jadi, Tok Mad akui iringan gendang perang mampu menaikkan semangat orang untuk bertempur namun ia juga boleh menjadi sebuah kesedihan.

Ahli gendang Pahang yang dimainkan ketika Majlis perkhawinan.

Gendang kosong

Kemudian, gendang kosong yang merujuk kepada cerita klasik dalam bentuk lagu. Sebagai contoh, lagu Tupai Mengawan dan Kambing Berlaga.

Seni lagu tersebut perlu dipelajari untuk memahami setiap maksud dalam lirik dan bunyi gendang tersebut. Akan tetapi jika mendengarnya, setiap bunyi akan mengeluarkan bunyi sebenar daripada alam semula jadi.

“Macam tadi masa main lagu Tupai Mengawan, ada satu bahagian ketukan gendang yang mengeluarkan bunyi sebenar tupai mengawan ‘kek kek kek’, “ ujarnya sambil membunyikannya menggunakan suara.

“Sama juga macam Kambing Berlaga, bunyi sebenar tanduk kambing yang dilagakan semasa kambing itu dimasukkan dalam rentak gendang yang memiliki tempo tersendiri. Jadi kategori ini dia lebih fleksibel, lagu tradisional boleh main, moden pun boleh,” jelasnya.

Gendang poyang

Akhir sekali adalah gendang poyang dengan tujuan yang sedikit unik. Kategori gendang tersebut dahulunya digunakan bertujuan untuk perubatan tradisional.

“Dulu memang lagu gendang poyang ini dimainkan untuk ‘berubat’. Pada masa sama, jalinan bunyi gendang itu juga kini digunakan untuk mengiringi penari dan penyanyi.

“Tapi ke semua jenis rentak mainan gendang ini, ‘ibu’ dia adalah berasaskan lagu Sama Deras. Lagu penuh ini dia kumpulkan 80 jenis pukulan dan macam-macam bunyi akan didengari,” terangnya.

Oleh itu, seni gendang Pahang sangat luas maknanya. Setiap rentak dalan pukulan alat tersebut memiliki cerita dan rahsia untuk anda mendengar dan menikmati seni yang dihidangkan oleh pemain-pemain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram

 

 

Gendang, Pahang, gema, tradisonal, lagu, klasik, muzik, pukulan