
SEJAK kebelakangan ini, cuaca hujan dan ribut petir berlaku agak kerap. Suka atau tidak, pastinya menggagalkan perancangan anda sekiranya sudah merancang untuk keluar bercuti.
Maklumlah, jika ke sungai risau pula fenomena kepala air. Begitu juga dengan jalan raya yang licin dan pemandangan yang kurang jelas termasuk pergerakan kereta di atas jalan raya perlahan.
Dilaporkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda enam negeri termasuk Kuala Lumpur dan Putrajaya, dengan amaran dikeluarkan sehingga tengah hari.
BACA LAGI: 'Fish spa' dalam kolam biasa sangat, Bombon Kg. Marakau guna air sungai asli, ikan saiz 'gorgon'
BACA LAGI: Pentingnya serat ketika usia semakin lanjut, ketahui 5 diet ideal pengambilan 'fiber'
Menerusi kenyataan pada Rabu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan negeri-negeri yang terjejas ialah Perak, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
Di Perak, daerah Manjung, Bagan Datuk dan Hilir Perak berada dalam keadaan berjaga-jaga bagi cuaca buruk manakala di Pahang, kawasan seperti Bentong dan Temerloh dijangka terjejas.
Kemudian, Selangor, keadaan cuaca buruk turut diramalkan termasuk di Kuala Lumpur dan Putrajaya diikuti Negeri Sembilan yang melibatkan daerah Seremban dan Port Dickson yang berada dalam amaran.
Seterusnya, Melaka juga dijangka mengalami keadaan cuaca tidak baik dan Johor, kawasan seperti Tangkak, Muar, Batu Pahat dan Pontian juga diramalkan terkesan.
MetMalaysia mengeluarkan amaran ini apabila ribut petir dengan taburan hujan melebihi 20mm sejam dijangka berlaku atau berlarutan melebihi satu jam.
Jadi, apa nak buat dalam keadaan cuaca sejuk dan hujan? Biasanya, tidur menjadi jawapan yang popular. Mesti syok, iyalah nak keluar jalan-jalan pun tak sesuai.
Akan tetapi, daripada menghabiskan masa dengan tidur dan tidak berbuat apa-apa, apa kata anda aktifkan diri dengan lakukan lima perkara berikut walaupun di dalam rumah.
1) Masak atau cuba resipi baru
Bagi mereka yang suka memasak, inilah masa untuk anda terokai menu atau resipi baharu dan cuba memasaknya di dapur.
Gunakan masa tersebut untuk bereksperimen di dapur dengan memasak hidangan yang tidak pernah lagi anda cuba seperti kuih atau kek. Dalam erti kata lain hidangan rare.
Pastikan anda masak kemudian, memberikan hidangan tersebut kepada rakan serumah atau ahli keluarga lain untuk penilaian. Rakamkan detik-detik reaksi mereka ketika merasai masakan anda, pastinya menyeronokkan.
2) Aktiviti bersama keluarga
Bermain permainan video yang disambungkan di televisyen seperti PlayStation atau Xbox mungkin mengundang bahaya kerana dikhuatiri berlaku litar pintar berikutan petir yang menyambar.
Jadi, elakkan berbuat demikian dan tukarkan mod permainan berkenaan kepada permainan papan atau bahan fizikal seperti, kad, monopoli atau pun, adakan sesi karaoke kecil menggunakan peranti tanpa wayar.
Boleh juga buat puzzle atau lego bersama anak-anak dan aktiviti tersebut secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan keluarga dan menjadi kenangan indah di dalam rumah.
3) Tengok filem atau drama
Sama ada berkumpul satu keluarga di ruang tamu atau bersendirian, menonton filem atau drama antara aktiviti yang kerap kali dilakukan apabila cuaca hujan. Adakalanya anda tidak sedar masa itu berlalu walaupun cerita yang dimainkan melebihi dua jam.
Jika waktu malam, ‘movie night’ pasti menyeronokkan apatah lagi dengan memasangkan filem atau cerita berkonsepkan seram, pastinya menghiburkan. Ditambah lagi dengan snek, bertih jagung, minuman panas, memang cukup lengkap aktiviti tersebut.
4) Kemas atau hias rumah
Mungkin saja dalam keadaan cuaca yang hujan menjadi peluang kepada anda untuk mengemas atau menghias rumah.
Sama ada susun semula perabot, kemas stor, atau membuat dekorasi kecil supaya rumah lebih selesa, perkara tersebut dapat menghilangkan kebosanan anda yang terkurung di rumah.
5) Aktiviti santai dan hobi
Jika anda malas untuk melakukan aktiviti yang menggunakan fizikal badan dengan banyak, jangan risau, gunakan kesempatan tersebut untuk melakukan hobi masa lapang yang mungkin anda tidak dapat jalani pada waktu lain kerana sibuk dnegan urusan luar.
Antaranya, membaca buku kegemaran anda, menulis jurnal, melukis, berkebun dalam pasu mini, bermain alat muzik dan seumpamanya.
Pada masa sama, inilah masanya juga untuk anda melakukan aktiviti pertukangan kecil-kecilan yang dipanggil Do It Yourself (DIY), untuk mengisi masa tersebut daripada anda memilih untuk tidur di bilik. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram