[VIDEO] 'OOTD sambil kunyah tebu', aktiviti santai waktu petang di Sabak Bernam


  • Nomad
  • Jumaat, 03 Okt 2025

Setiap pengunjung yang hadir akan ditawarkan jus tebu yang segar dan baharu diambil dari ladang atau jika anda ingin makan begitu saja.

 

 

SIAPA saja yang tidak menyukai buah tebu yang sudah dijadikan jus, diminum sejuk-sejuk apatah lagi ketika cuaca panas terik.

Pastinya menggiurkan dan melegakan tekak anda. Bagi sesetengah individu, buah tebu dianggap sejenis buah yang melecehkan jika hendak dimakan tanpa diproses atau diperah.

Maklumlah, batangnya keras dan proses membuang kulitnya saja sudah rumit. Akan tetapi bagi anda yang ingin minum buah tebu segera dihidangkan bersama pemandangan ladang buah tersebut yang tersusun dan cantik, apa kata hadirkan diri ke Laman Tebu Aidil, Sabak Bernam, Selangor.

BACA LAGI: Debaran F1 Singapura makin hampir, ini 5 keunikan litar di Bandaraya Singa tarik peminat Malaysia

BACA LAGI: Nak duduk hotel 5 bintang tapi harga 3 bintang? Ini rahsianya

 

 

Ladang tersebut juga memperlihatkan beberapa jenis tebu yang ditanam dengan warna yang agak berbeza. Ada yang warnanya hijau (muda), kekuningan dan ada juga berwarna coklat.

Di sini anda berpeluang untuk melihat kategori tebu yang mungkin jarang sekali nampak di tempat lain. Ditanamkan di sini empat jenis tebu iaitu tebu kapur, tebu madu, tebu gula, tebu telur.

Dapat tak minum air tebu segar di sana? Sudah pasti setiap pengunjung yang hadir akan ditawarkan jus tebu yang segar dan baharu diambil dari ladang atau jika anda ingin makan begitu saja.

 

 

Setiap meja makan berada di antara tanaman buah tebu.

Bukan setakat itu, terdapat sebuah warung di tepi ladang yang menyediakan makan petang. Antaranya, mi kari udang lipan, laksa, nasi impit kuah kacang dan beberapa lagi, pastinya melengkapkan detik-detik indah anda di sana bersama air tebu segar.

Lebih menarik, setiap meja makan berada di antara tanaman buah tebu yang diperkemaskan untuk pengunjung duduk dengan selesa.

Jangan lepaskan peluang untuk merakamkan detik-detik indah di sana kerana ladang itu disusun atur begitu kemas dan cantik. Rugilah kalau anda tidak ber OOTD, ladang tebu tersebut pastinya memberi seribu satu cerita dalam satu gambar.

Bagi mereka yang ingin bercuti di kawasan sana, terdapat juga rumah inap yang disediakan di sekitar kawasan tersebut, tidak jauh dari ladang.

Maka, anda bolehlah merancang untuk bercuti di Sabak Bernam sambil menikmati petang hari di ladang tebu selain daripada melihat sawah padi yang banyak juga di sana.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram