[VIDEO] Bukan setakat sate, Saudagar Nanas Agrofarm angkat imej prestij Kajang


  • Nomad
  • Jumaat, 19 Sep 2025

Jom nanas diri anda dengan menerokai syurga nanas di sini.

 

 

LAZIMNYA Kajang, Selangor sinonim dengan satenya yang terkenal. Cuma, mungkin ada yang tidak tahu di sana juga begitu 'mewah' dengan buah nanas.

Mungkin ramai yang tidak menggemari buah nanas kerana buah tersebut dikatakan ‘tajam’ namun buat penggemarnya, nanas menjadi buah pilihan mereka kerana terdapat banyak kebaikan, antaranya melawaskan sistem pencernaan.

Secara umumnya, nanas yang terkenal nanas biasa dan nanas madu dan kebanyakannya dibuat jus atau dimakan begitu sahaja.

Buat mereka yang ingin melihat ladang nanas yang luas dengan pelbagai jenis menu berasaskan nanas, termasuk makan buah tersebut segar dari ladang, hadirkanlah diri ke Saudagar Nanas Agrofarm.

BACA LAGI: Rama-rama semakin pupus, tak mustahil senasib dinosaur 50 tahun lagi — Saintis

BACA LAGI: Lumrahnya pelangi muncul selepas hujan, tapi Kampung Pelangi sentiasa nantikan kunjungan tetamu

Teletak di Kampung Sungai Merab Luar, Kajang, Selangor, kawasan tersebut dipenuhi dengan tanaman nanas yang pasti memukau mata anda.

Ladang sebesar sekitar 8 hektar itu menawarkan pengalaman petik sendiri dan merasai sendiri kerangupan buah itu sendiri.

Bahkan ia memberi peluang pengunjung untuk melakukan proses menuai nanas terus dari ladang.

Selain itu, sudah tentunya, aktiviti lawatan berpandu sambil belajar disediakan. Pekerja ladang akan berkongsi ilmu dan teknik penanaman moden, sistem pengairan, dan kaedah pertanian mampan.

 

 

Antara menu yang disediakan menggunakan buah nanas.

 

 

Kemudian, jangan sesekali melepaskan peluang untuk merasai sendiri menu atau produk-produk yang berasaskan nanas di sana. Lokasi itu menyediakan sebuah kafe yang menyediakan pelbagai jenis menu berunsurkan nanas segar dari ladang tersebut.

Antaranya, karipap nanas berinti nanas manis bersama isi ayam atau daging, kopi nanas, ais krim nanas, kek keju nanas dan banyak lagi.

Ini termasuk buah tangan yang boleh dibawa pulang seperti sos nanas dan jus nanas yang telah dibotolkan.

 

 

 

 

Maka, jika anda merancang untuk ke sana, waktu operasi Saudagar Nanas Agrofarm bermula pukul 7.30 pagi hingga 6.00 petang dan buka setiap hari kecuali Jumaat.

Jom nanas diri anda dengan menerokai syurga nanas di sana.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram