
SEMAKIN ramai orang dalam kalangan masyarakat kita mula mencari bandar kecil untuk menikmati suasana unik, tenang dan jauh dari kesibukan kota sebagai tempat melancong.
Istilah “townsizing” dicipta untuk menggambarkan trend pelancongan yang semakin berkembang ini, yang merujuk kepada kecenderungan memilih lokasi kecil berbanding bandar besar yang sibuk ketika melancong.
Landskap Malaysia adalah seindah budayanya, dengan bandar-bandar kecil terletak berhampiran persisiran pantai serta di kaki bukit-bukau.
BACA LAGI: ‘Sekeping gambar, 1,001 cerita’, teknologi lensa jadi ‘mainan’ dunia fotografi
Jadi, buat mereka yang mencari lokasi seperti ini untuk lari sebentar daripada kesibukan dunia, berikut adalah beberapa cadangan untuk memulakan pengembaraan townsizing anda di Malaysia.
1. Bundu Tuhan (Sabah)
Terletak di kaki Gunung Kinabalu, pada ketinggian lebih 1,100 meter (m) dari paras laut, Bundu Tuhan ialah permata tersembunyi di daerah Ranau.
Bukan sekadar bandar kecil yang tenang ia merupakan tanah kelahiran dan warisan nenek moyang masyarakat Dusun dengan pelbagai kisah generasi.
Ramai penduduk di sana bekerja sebagai pemandu dan porter yang membantu pendaki menawan Gunung Kinabalu.
Antara yang terkenal ialah Gunting Lagadan, pemandu pertama yang berjaya mendaki gunung itu.
Bandar ini yang dikelilingi kehijauan yang terletak tidak jauh dari Taman Kinabalu, Tapak Warisan Dunia Unesco pertama Malaysia.
Pengunjung dari dalam dan luar negara datang ke Bundu Tuhan untuk mendaki atau sekadar menyelami keindahan alam semula jadi.
Selain itu, anda dicadangkan untuk singgah sebentar di DumoWongi kerana di sini, pengunjung boleh menemui campuran herba tempatan dan bunga yang boleh dimakan dengan aroma yang memikat.
2. Bario (Sarawak)
Setiap pagi, baldi berisi air putih susu yang kaya dengan mineral ditimba dari mata air garam bawah tanah. Kemudiannya diproses untuk menghasilkan garam.
Ia adalah tradisi berharga masyarakat Kelabit, yang menghidupkan kawasan Bario yang terletak di Tanah Tinggi Kelabit, Sarawak.
Begitu juga dengan beras Bario, garam Bario telah lama menjadi komoditi penting, menyokong kehidupan generasi demi generasi, bukan sahaja sebagai makanan ruji, malah sebagai barang dagangan bagi penduduk tanah tinggi.
Pengunjung berpeluang melihat sendiri penduduk tempatan mengusahakan garam di kilang sana dan melihat teknik tradisional masih diamalkan hingga ke hari ini untuk menghasilkan bahan berkenaan.
Budaya Kelabit turut popular dengan Pesta Nukenen yang juga dikenali sebagai Bario Food Festival. Bukan sekadar pesta makanan, malah ia turut meraikan tradisi pertanian tempatan dan warisan budaya.
Selain itu, anda juga boleh menyertai ekspedisi berbilang hari yang mencabar dengan mendaki Gunung Murud, Taman Negara Pulong Tau.
Gunung Murud adalah puncak tertinggi di Sarawak yang mempunyai panorama menakjubkan.
Alang-alang sudah ke sana, jangan lepaskan peluang melawat rumah panjang tradisional. Anda akan disambut dengan keramahan yang hangat kerana Bario digelar sebagai “tanah seratus salam tangan”.
Ini termasuk merasai makanan tradisional mereka dipanggil nuba laya, iaitu nasi yang dibungkus kemas dengan daun.
3. Penaga (Pulau Pinang)
Jika anda ingin mengelak kesibukan pelancong, Penaga, Seberang Perai mungkin lokasi yang tidak ramai tahu.
Bandar kecil tersebut sesuai dimulakan pada waktu pagi di Pekan Ahad Penaga yang menjadi tempat penduduk tempatan membeli keperluan harian dan menikmati juadah tempatan untuk dicuba.
Lepas itu, barulah bermula pengembaraan anda dengan berjalan menyusuri jalanan dan kagumi keindahan klasik rumah-rumah kedai kayu di sepanjang laluan.
Di sana, menjadi lokasi terbaik untuk anda melakukan aktiviti pemerhatian burung. Peminat burung akan menyewa bot semata-mata untuk melihat burung migrasi yang singgah antara bulan Oktober hingga Februari.
Penduduk di sini pula banyak menghabiskan masa dengan kegiatan pertanian, khususnya mengusahakan sawah padi.
Anda boleh memandu seketika ke Kampung Agong dan singgah ke Kebun Nipah Pak Man untuk mencuba minuman nipah segar.
4. Machang (Kelantan)
Pasar Isnin Machang atau Pasar Sena antara kawasan popular untuk anda mencari makanan yang enak seperti colek perut”, iaitu sup pedas yang dimasak menggunakan perut lembu
Di atas Sungai Kelantan berdiri Jambatan Guillemard, jambatan kedua tertua di Malaysia selepas Jambatan Victoria di Perak yang masih digunakan.
Dibina lebih 100 tahun lalu, jambatan besi itu telah dicadangkan sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco oleh kerajaan negeri pada tahun lalu.
Lanskap indahnya yang dihiasi sawah padi luas menjadikannya lokasi bergambar popular dalam kalangan pengunjung.
5. Bidor (Perak)
Walaupun sering dianggap sebagai 'sekadar tempat persinggahan' jika menuju ke Ipoh atau Kuala Lumpur, Bidor yang dahulunya merupakan bandar perlombongan mempunyai banyak tarikan untuk pelancong luar.
Bandar tersebut bangga dengan warisan makanan khususnya mi itik herba dan mi wantan yang cukup lazat.
Selain keenakan itu, anda juga boleh membawa pulang 'rasa' Bidor dengan mendapatkan biskut ayam tradisional. Biskut itu memberikan aroma harum, rasa manis dan sedikit masin.
Papan tanda lama dan dinding kedai yang pudar menambah seri klasik bandar itu, memperlihatkan bayangan kegemilangan Bidor sebagai bandar perlombongan suatu ketika dahulu.
Bagi mereka yang bercadang ingin mandi sungai, Hutan Lipur Kuala Who adalah jawapannya. Hutan rekreasi yang indah itu merupakan destinasi perkelahan yang sesuai untuk keluarga bersantai dan menyejukkan badan di sungai. — The Star/GISELE SOO
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram