
MEMAKAI samping menjadi pelengkap kepada seorang lelaki yang memakai baju Melayu tradisional, namun tahukah anda di sebalik kain sarung tersebut, tersimpan rahsia seni yang mungkin sesetengah daripada masyarakat tidak tahu apakah maksudnya.
Pemilik bersama butik Bahari Asyek, Jailani Ab Ghani,63, berkata, di sebalik pemakaian samping itu, sebagai lelaki mereka perlu tahu apakah ukuran yang sepatutnya dikenakan pada badan kerana ia memperlihatkan status atau identiti seseorang itu.
“Samping jangan dipakai ikut suka, ia menunjukkan simbol terhadap seorang lelaki sama ada sudah berpunya, atau belum.
BACA LAGI: Seniman Kelantan temui puisi dan patriotisme di sebalik kain pelikat
Jai menerangkang betapa pentingnya untuk tahu masuk di sebalik pemakaian samping bagi seroang lelaki.
“Saya terangkan di sini, kebiasaannya, bagi yang sudah berkahwin ukuran samping perlu dipakai sehingga bawah lutut. Ia menandakan bahawa kita sudah berumah tangga dan mempunyai isteri, itulah ‘bahasanya’. Maknanya, sorry tak boleh lagi dimiliki,” katanya mesra dipanggil Jai.
Kemudian, Jai menerangkan pula jika samping tersebut dipakai paras-paras lutut dan sedikit ke atas membawa maksud masih boleh dimiliki walaupun sudah berpunya.
“Keadaan atau ukuran tersebut membawa maksud saya sudah berpunya namun saya masih berhasrat untuk menambah seorang lagi (isteri),” ujar Jai sambil tersenyum.
Akhir sekali, samping yang dipakai atas lutut menunjukkan bahawa seseorang itu masih bujang dan belum dimiliki.
“Samping atas lutut secara terperinci bukan sahaja untuk mereka yang masih solo, akan tetapi duda juga dibenarkan untuk dipakai sebegitu rupanya. Bahkan lelaki yang memakai samping seperti ini juga ingin memaklumkan bahawa dirinya terbuka kepada sesiapa yang ingin berkenalan,” terangnya.
Turut dipesan oleh Jai, bagi lelaki yang sudah berpunya atau berkahwin tapi memakai samping atas lutut untuk berhati-hati kerana ramai dalam kalangan kaum hawa kini tahu akan maksud samping yang dipakai oleh kaum lelaki.
“Awas dan jaga-jaga, jangan sampai kena soal siasat dengan isteri ya,”tutup bicaranya.
Ikuti perkongsian lanjut tentang rahsia baju tradisional sempena Hari Malaysia bagi meneruskan semangat patriotik sejak dari Hari Kebangsaan yang disambut baru-baru ini, dalam segmen Duduk Sembang edisi #jejakmerdeka di Majoriti.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram