Dilabel biasa-biasa saja, tapi realitinya Bukit Botak mampu lakar memori indah buat pendaki


  • Nomad
  • Selasa, 09 Sep 2025

Kehidupan di Jerantut beralun perlahan dan penduduknya gemar bersikap santai.

SEKUMPULAN pendaki berlepas dari Kuala Lumpur menuju ke arah timur Semenanjung, kira-kira 180 kilometer melalui jalan darat yang mengambil masa lebih kurang dua setengah jam untuk tiba ke destinasi mereka iaitu Jerantut, Pahang.

Matlamat mereka hanya untuk tiba sebelum subuh dengan menelusuri jalan kecil di ladang kelapa sawit menuju ke Lepar Utara sebelum memulakan pendakian di Bukit Botak dan sampai ke puncak bukit sebelum matahari terbit.

Sejak dahulu, Jerantut dikenali sebagai pintu masuk dan lokasi persiapan sebelum memulakan ekspedisi meneroka hutan rimba.

BACA LAGI: Mahu bersantai 'port best' di Mersing? Felda Residence Tanjung Leman lengkapkan percutian anda

BACA LAGI: [VIDEO] Bercuti ke luar negara tanpa lelaki? Ramai wanita kini lebih peka, kaji dulu negara orang sebelum melancong

 

 

default

Bukit Botak mempunyai pemandangan yang menjadikan pendakian berbaloi.

Jerantut adalah pekan lama yang dahulunya menjadi persinggahan perdagangan dan titik mula untuk masuk ke kawasan pedalaman.

Selain itu, tempat itu juga mempunyai pasar yang dikelilingi kampung serta ladang, yang kemudiannya menjadi pusat pentadbiran daerah Jerantut. Kehidupan di Jerantut begitu sederhana dan penduduknya santai sekali.

Rata-rata pasarnya beratapkan zink dengan jualan yang dipenuhi ikan sungai dan buah-buahan, aroma kopi memenuhi ruang lobi hotel adalah perkara biasa, deretan kedai bercat pudar, dan papan tanda jalan menunjuk arah ke Taman Negara seolah-olah kawasan hijau yang dipelihara itu terletak hanya di sebalik selekoh.

 Mengikut pandangan peminat kegiatan mendaki, Bukit Botak yang semakin popular ini hanyalah sebuah bukit sederhana.

Lebih menyerupai tonjolan bumi, ia bukit yang tidak rata seakan selimut hijau berkedut. Perjalanan ke puncak bukit bermula di laluan ladang kelapa sawit, yang dipenuhi pelepah yang luruh ke tanah.

Bunyi nyaring cengkerik kedengaran jelas ketika pendaki melangkah masuk, sementara bau harum seakan-akan pokok pain masih melekat daripada batang pokok yang baru ditebang berhampiran.

 

 

Memanjat lereng berbatu dengan tali terbukti menjadi pendakian yang singkat tetapi mendebarkan.

Di laluan hampir ke puncak, pendakian agak curam dan memerlukan sedikit tenaga. Tentu sekali akar pokok yang timbul di sepanjang laluan ibarat anak tangga, membantu pendaki terus melangkah.

Dari kaki bukit hingga ke puncak, masa yang diambil sekitar 90 minit dengan jarak lebih kurang lima kilometer dan ketinggian mendaki lebih 200 meter.

Pada hari yang cerah bergantung pada musim, pendaki boleh menyaksikan bima sakti yang menjulur dari tenggara ke barat daya, dengan teras paling terang di langit selatan.

Kemudian, perlahan-lahan, langit mula cerah, membawa transformasi indah. Awan beralun perlahan-lahan memenuhi lembah. Penduduk tempatan menamakan fenomena ini sebagai "lautan awan".

Dari puncak pandangan, kelihatan bukit-bukit dan rabung, pemandangannya sungguh menakjubkan. Apabila matahari semakin naik, sinaran jingga keemasan menyimbah seluruh hamparan awan.

 

 

Puncak Bukit Botak pada ketinggian 270m di atas paras laut, di mana fajar ajaib menyambut para pengembara.

Selama beberapa minit, dunia seakan terpisah oleh lapisan awan putih yang bergerak menjadikan saat sempurna buat jurugambar mencari sudut terbaik.

Saat angin berhembus dan kembali reda, awan bergerak perlahan melintasi puncak pokok, beralun seperti ombak yang berubah warna.

Ketika siang semakin cerah, alam sekitar lebih jelas kelihatan kini tiba masanya untuk menapak turun dengan membawa bersama memori indah sepanjang ke puncak Bukit Botak. Yang pasti, kehidupan penduduk kampung yang keluar melaksanakan rutin mereka menyemarakkan suasana di tanah tinggi itu.

Meskipun terdapat gunung yang lebih megah dan puncak yang lebih tinggi untuk menyaksikan warna-warna alam, Bukit Botak tetap berjaya memikat pendaki untuk kembali ke puncaknya.

Apabila awan akhirnya beransur hilang, meninggalkan rabung yang disinari mentari, memori pagi di atas lautan awan kekal segar di ingatan. — TheStar/EDDIE CHUA

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram

 

 

Jerantut, Pahang, mendaki, hutan, pokok, awan biru