Mahu bersantai 'port best' di Mersing? Felda Residence Tanjung Leman lengkapkan percutian anda


  • Nomad
  • Khamis, 04 Sep 2025

Pengalaman bercuti di Felda Residence Tanjung Leman pastinya akan memahat indah buat pengunjung.

SIAPA sangka perairan Mersing, Johor memiliki pulau-pulau yang cukup indah untuk dilawati. Mungkin ramai di antara kita yang tidak pernah pergi sampai ke sana dan bertanya-tanya apa yang seronok di Mersing?

Baru-baru ini, penulis berkongsi pengalaman merentasi Laut China Selatan di perairan bumi Permata Selatan itu dalam Program Lawatan Suai Kenal anjuran Felda Investment Corporation Sdn Bhd.

Di sebalik pemandangan tanaman kelapa sawit yang luas di kawasan Felda daerah Mersing, terletaknya Tanjung Leman yang mungkin sedikit jauh ke pedalaman. Namun, di sana tersedia sebuah penginapan bersebelahan laut yang cukup menenangkan iaitu Felda Residence Tanjung Leman.

BACA LAGI: 'Melayu itu sifatnya berkias', Bahari Asyek tekankan kehebatan, identiti dan rahsia di sebalik baju tradisi

BACA LAGI: [VIDEO] Bercuti ke luar negara tanpa lelaki? Ramai wanita kini lebih peka, kaji dulu negara orang sebelum melancong

Felda Residence Tanjung Leman, Johor.

Program yang dianjurkan tiga hari dua malam itu menyaksikan sebuah pakej yang agak lengkap bagi mereka yang ingin hadir bersama keluarga, mahu pun mengadakan seminar atau khusus di sini.

Penginapan di sini menyediakan 91 buah bilik dalam beberapa kategori iaitu Superior, Deluxe, Premier Deluxe dan satu unit istimewa Executive Suite yang mampu memuatkan sekitar 336 penghuni (mengikut jumlah katil).

Struktur dua tingkat dan bentuk kolam yang unik melengkapkan lagi lokasi tersebut lengkap dengan gimnasium, bilik permainan, bilik wayang, padang dan banyak lagi.

Bahkan setiap bilik menawarkan pemandangan menghadap laut, buka saja pintu gelongsor terus nampak laut.

Suasana ketika menaiki bot laju menuju ketika aktiviti Island Hopping.

Penulis berpeluang menyertai aktiviti Island Hopping yang dinanti-nantikan dan menjadi tarikan utama jika anda bercuti ke sini.

Berdasarkan perancangan, perjalanan menaiki bot laju akan membawa kumpulan kami yang berjumlah sekitar 20 orang pengamal media singgah di empat buah pulau.

Tetapi, berikutan angin kencang dan ombak kuat kami dimaklumkan oleh pemandu bot hanya sempat untuk pergi ke dua pulau sahaja.

Namun, situasi itu tidak memadamkan keterujaan masing-masing apabila tiba di Pulau Kukus, yang mengambil masa perjalanan lebih kurang dua jam.

Pulau tersebut memperlihatkan sebuah bukit yang tidak terlalu tinggi, kira-kira 20 meter. Akan tetapi bagi melengkapkan kehadiran di sana, setiap peserta perlu mendaki ke puncak tersebut.

Memang tak tinggi tapi keadaannya yang berbatu dengan hutan yang tidak tebal ditemani terik matahari menjadikan permukaan trek agak panas.Jadi, tak hairanlah kenapa namanya Pulau Kukus, ia akan ‘mengukus’ anda.

Pulau Kukus.

Sejurus tiba di puncak, segala kepenatan dan kepanasan tiba-tiba hilang seketika. Panorama dan pemandangan laut terbuka luas amat luar biasa memperlihatkan betapa indahnya bumi Mersing.

Anda boleh dengar bunyi deruan ombak yang membadai batu-batu di sekeliling pulau, air laut kehijauan yang dipisahkan dengan bahagian tengah laut yang berwarna biru, sememangnya satu pemandangan luar biasa yang akan kekal dalam memori anda.

Jauh di situ hati, terasa seperti vibe pulau-pulau di Sabah, memang lawa. Selepas bergambar di atas, kami turun dan mandi laut setelah berpanas di atas bukit berkenaan.

Makan tengah hari di sebuah gerai bernama Kediaman Tok Mok.

Perjalanan diteruskan ke perhentian kedua yang membawa kami ke sebuah kampung di Tanjung Balang, Pulau Tinggi untuk makan tengah hari di sebuah gerai bernama Kediaman Tok Mok.

Sekali lagi, penulis terkesima dengan kawasan sekitarnya yang bersih dan cantik hingga terlupa sebentar akan kesibukan kota Kuala Lumpur.

Gambar-gambar lama dan beberapa sejarah mengenai kerabat Diraja Johor di Kediaman Tok Mok.

Di Kediaman Tok Mok, terdapat gambar-gambar lama dan beberapa sejarah mengenai kerabat Diraja Johor dipamerkan.

Jika mahu melihat gambar Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ibni Sultan Iskandar ketika muda, di sini menjadi salah satu lokasinya.

Menikmati air kelapa yang dipetik oleh orang kampung Pulau Tinggi di tepi peinggiran pasir pulau yang menenangkan.

Kemudian, selepas berehat sebentar sambil menikmati air kelapa yang dipetik oleh orang kampung di sana, kami berangkat menyeberangi laut ke sebuah pulau yang terletak di hadapan Pulau Tinggi untuk aktiviti menyelam atau snorkeling.

Sejujurnya, kawasan pinggiran pulau tersebut terdapat banyak batu karang namun ia sudah mati. Tetapi, jumlah atau habitat ikan yang berenang di sana memang banyak. Hampir sejam juga kami melakukan aktiviti tersebut dan sangat puas hati.

Aktiviti snokel menyaksikan jumlah ikan yang begitu banyak di sekitar kawasan pulau berhadapan Pulau Tinggi.

Selesai di sana, terus kami pulang dan berehat di bilik sebelum berangkat pulang pada keesokan harinya. Tiga hari dua malam yang cukup untuk memulihkan minda sebelum kembali ke Kuala Lumpur.

Secara keseluruhannya, kami berasa amat puas hati dengan setiap aktiviti yang dijalankan di Felda Residence Tanjung Leman.

Anda juga boleh membuat tempahan untuk mengadakan majlis perkahwinan dan fasiliti, dewan serta parking yang luas mampu memberikan keselesaan tetamu yang hadir. Suka diingatkan, pakej-pakej yang ditawarkan adalah terbuka kepada semua orang.

Suasana ketika di petang hari di Felda Residence Tanjung Leman.

Walaupun perjalanan dari Kuala Lumpur ke sana memakan masa hampir enam jam percayalah memang berbaloi.

Bagi penulis ia mencukupi dan amat disyorkan. Untuk sebarang tempahan, layari laman web rasmi di feldaresidences.com. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram