
TRADISI melukis di dinding untuk memperingati peristiwa telah wujud sejak dahulu lagi, apabila penghuni gua mula menghias permukaan batu dengan kisah kehidupan mereka. Lukisan mural karya seni primitif itu berfungsi sebagai alat penceritaan, penanda budaya dan ekspresi identiti.
Sepanjang berabad-abad, bentuk ekspresi diri itu telah berkembang menjadi sesuatu yang jauh lebih besar. Seni jalanan di Malaysia membawa mesej kebanggaan, meraikan warisan kita dan menyampaikan kisah perpaduan untuk memelihara memori kolektif negara.
Berikut adalah lima mural bertemakan Hari Kebangsaan yang mencerminkan perjalanan Malaysia, rakyatnya dan nilai-nilainya.
BACA LAGI: Seniman Kelantan temui puisi dan patriotisme di sebalik kain pelikat
BACA LAGI: Pengalih suara percaya kartun Tarzan diadaptasi dari karya Ibnu Thufail Al Andalusi
1) Mural Batik Madani
Dengan panjang 183 meter dan tinggi 6 meter, "Mural Batik Madani" merupakan salah satu karya seni awam terbaru dan terbesar di Kuala Lumpur.
Kerjasama antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kumpulan Berjaya itu meraikan warisan batik Malaysia, sambil mempromosikan nilai perpaduan di Jalan Parlimen.
Menurut artisnya, Arif Othman, mural bukan sekadar latar hiasan ia menyampaikan sebuah cerita.
Menampilkan motif flora, corak pelbagai budaya dan potret Bapa Malaysia merangkap Perdana Menteri pertama negara, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, mural tersebut seolah-olah satu permaidani tenunan yang mencerminkan akar kepelbagaian Malaysia.
2) Muzium Negara
Menghiasi bahagian hadapan Muzium Negara ialah dua mural mozek kaca yang agung hasil karya Cheong Lai Tong. Ia dicipta pada tahun 1962 selepas satu pertandingan yang dianjurkan oleh Tunku Abdul Rahman.
Diperbuat daripada jubin kaca Venesia yang diimport dari Florence, Itali, mural itu diberi tajuk “Episod Sejarah Tanah Melayu” (sebelah timur) dan “Kraf dan Tukang Melayu” (sebelah barat).
Mural di sebelah barat meraikan amalan tradisional seperti tenunan batik, manakala mural di sebelah timur mengisahkan sejarah negara secara visual, bermula dari zaman kerajaan awal Melayu hingga ke jalan menuju kemerdekaan.
3) Selamat Datang ke KL
Jika anda pernah tiba di Kuala Lumpur melalui hab pengangkutan awam KL Sentral, besar kemungkinan anda telah disambut oleh mural ceria hasil karya Nas Suha bertajuk “Selamat Datang ke KL”.
Karya seni ini berfungsi sebagai ucapan selamat datang dan juga pameran budaya berwarna-warni Malaysia, menggabungkan motif bandar dan tradisional dalam satu paparan yang hidup, memberi sambutan hangat yang mencerminkan semangat ibu kota.
4) Mural Kopitiam
Di sepanjang Jalan Doraisamy, Kuala Lumpur, pelukis Mr Perol menyuntik elemen kemanusian di dinding kota melalui mural yang diinspirasikan daripada suasana kopitiam.
Mural tersebut menggambarkan suasana meriah di sebuah kedai kopi tempatan, lengkap dengan watak-watak yang dilukis mempamerkan suasana berbual, sebagai penghormatan kepada peranan kopitiam sebagai tempat berkumpul dan bercerita.
Menurutnya lagi, mural di Malaysia perlu meraikan kepelbagaian dengan memasukkan elemen budaya, membolehkan pelancong khususnya untuk melihat dan menghargai budaya kita dengan lebih baik.
5) Mural Art @ BBST Walk
Terletak di sepanjang laluan mesra pejalan kaki di Sepang, Selangor, “Mural Art @ BBST Walk” menggambarkan budaya dan warisan tempatan yang kaya dengan warna-warni.
Ditempah oleh pemaju hartanah Myra dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sepang, mural tersebut memaparkan kehidupan dan budaya masyarakat setempat dalam warna-warna terang, menjadikan kawasan ini sebagai satu tarikan popular. — The Star/ASHIQIN AHMAD
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram