Bercuti ke Pulau Pinang seramai 10 orang dengan bajet RM7,000? Duduk penthouse sambil berhibur bukan perkara mustahil


  • Nomad
  • Selasa, 22 Jul 2025

Pergi bercuti secara berkumpulan perlukan perancangan kewangan yang teliti agar tiada yang 'sentap' atau makan hati.

BERCUTI bersama rakan-rakan pasti meninggalkan pelbagai kenangan pahit manis, macam-macam perangai pasti mencuit hati. Itu belum lagi yang susah bangun pagi, yang sentiasa lambat, yang berkira, yang kaki sembang dan tak tahu erti letih. 

Namun itulah penangan bercuti, apatah lagi semua kalangan geng-geng 'berusia' dan 'bapak-bapak'. 

Pergi bercuti secara berkumpulan perlukan perancangan kewangan yang teliti agar tiada yang 'sentap' atau makan hati. Jadi, segmen Nomad kali ini, penulis berkongsi percutian bersama sembilan rakan-rakan ke Pulau Pinang.

 

BACA LAGI: Proses pengimbas badan lambat? Ini perkara yang sering penumpang lupa

BACA LAGI: Spookers rumah hantu paling seram, boleh kena culik

Bajet RM700 seorang dan jumlah terkumpul RM7,000 untuk tiga hari dua malam, trip yang diberi nama Penang Attack Bestman (PAB), membawa kumpulan kami ke Batu Ferringhi.

 

 

1. Tiket kapal terbang (RM980 - 10 orang)

Perjalanan PAB ini bukan menaiki kereta tetapi menaiki pesawat tambang murah. Di sini anda perlu bijak, tiket harga promo yang ditempah adalah kurang RM100 untuk perjalanan pergi dan balik.

Murah? Ya, kami beli pada 8 Februari untuk penerbangan 18 Julai, nak tiket murah kena beli awal.

Mengambil masa lebih kurang 45 minit, kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

 

 

2. By The Sea Batu Batu Ferringhi (RM2,939 - 2 malam)

Sebut sahaja Pulau Pinang, pasti ada yang membayangkan pantainya yang memukau. Jadi kami menginap di By The Sea, Batu Ferringhi, sebuah penthouse dengan tiga bilik beserta katil bersaiz queen.

Ruang tamu yang cukup luas bersama tilam tambahan adalah mencukupi untuk kami 10 orang.

Rumah yang menghadap pemandangan laut itu lengkap dengan balkoni, dapur, mesin basuh, peti ais dan televisyen. 

Penginapan tiga hari dua malam ini menelan kos RM2,939 atau RM293.90 seorang.

 

3. Bot Monkey Beach Penang (RM200 - 1 bot)

Menjelang petang, kami bersantai dan mandi laut bersebelahan tempat penginapan. Kemudian, kami menaiki bot menuju ke Teluk Bahang atau nama lainnya, Monkey Beach Penang.

Aktiviti di sana adalah memberi makan monyet dan menikmati pemandangan pulau sambil minum air kelapa. Malah kami juga sempat bermain ATV untuk masuk ke dalam hutan di pulau tersebut walaupun tiada dalam senarai aktiviti. 

Tambang pergi balik naik bot hanya menelan belanja RM200 atau RM20 seorang.

4. Escape Penang (RM1,416.80 - 10 orang)

Aktiviti utama kami pada hari kedua adalah menjelajah pusat rekreasi air di Escape Penang. Fuh! Kami tak ubah seperti 'ayam keluar reban'. Maklumlah, jauh dari isteri dan anak-anak malah ada kalangan kami yang bergelar 'kaum bapa' yang inginkan 'me time'.

Dari zon kering hingga zon air, kami lencun bermain air termasuk menjejaki trek Zip Coaster sejauh 1.14 kilometer (km) dan gelongsor air terpanjang di dunia iaitu sepanjang 1,111 meter.

Harga tiket Escape Penang RM1,416.80 (RM141.68 seorang) yang dibeli secara online.

 

5. Makan Minum (RM689.70 - 10 orang)

Berbicara mengenai kos makan dan minum, secara purata adalah sekitar RM689.70 untuk 10 orang.

Ini termasuk persinggahan kami ke dua lokasi nasi kandar popular iaitu Restoran Deen Nasi Kandar dan Nasi Kandar Ali IPD serta rojak pasembur yang kami nikmati di Padang Kota.

6. Pengangkutan e-Hailing (RM773 - 10 orang)

Secara keseluruhan, setiap perjalanan dari lapangan terbang, penginapan, tempat riadah dan tempat makan, kami hanya menaiki perkhidmatan e-Hailing dan menelan kos RM773 bagi tempoh tiga hari percutian ini.

 

Nasi Kandar Ali IPD antara terbaik di Pulau Pinang.

Jadi selepas bajet dibuat, kos keseluruhan untuk 10 orang di Pulau Pinang adalah RM6,998.50 dan tidak melebihi bajet keseluruhan iaitu RM7,000.

Namun, bajet bukanlah segala-galanya tetapi yang lebih penting adalah cara kami melepaskan lelah. Ini cara kami! — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram