
GARA-GARA ditipu oleh sebuah bengkel, seorang wanita nekad mendalami ilmu automotif hingga membuka bengkel sendiri.
Pengalaman pahit itu ternyata mengajar Nooraida Fazil, 45, bahawa pentingnya golongan wanita mengetahui serba sedikit tentang ilmu kereta supaya tidak mengalami nasib yang sama sepertinya.
Anak kelahiran Gerik, Perak, yang mesra disapa Aida berkata, segalanya berpunca daripada masalah tayar keretanya yang tidak sejajar, sehingga mengganggu pemanduannya.
BACA LAGI: Arena bola sepak negara belum stabil tapi Omar tetap latih anak demi bina karakter
BACA LAGI: [VIDEO] Musim candat sotong di perairan Pantai Timur 'syurga' buat kaki pancing
Aida meletakkan semua wanita mampu untuk berkerjaya seperti lelaki selagi memiliki minat dan usaha tinggi.
“Beberapa kali saya kena tipu. Tukar tayar tapi stereng bergoyang, alignment lari. Lepas itu saya belajar sendiri daripada buka tayar sampai nak laraskan komponen.
“Sampai satu tahap bila orang tukar tayar kereta saya, saya turun atau tunduk tengok sendiri macam mana pomen-pomen ni buat kerja mereka,” katanya dalam segmen Duduk Sembang.
Menurutnya, sebagai pemandu terutamanya wanita, mereka sepatutnya ambil tahu perkara asas mengenai kereta seperti angin tayar, minyak hitam dan suhu air agar tidak mudah tertipu dengan helah mekanik kereta.
Aida yang sudah 25 tahun berkecimpung dalam bidang automotif berkata, dia memulakan kariernya dari seorang pekerja bawahan.
Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, ilmu membaiki kereta diperoleh berpaksikan pengalaman serta keinginan untuk belajar bersama rakan mekanik yang lain.
“Saya bermula dari bawah, jadi kuli dan hanya tumpang bengkel kawan masa mula-mula jadi pomen dulu, bukan terus-terus jadi bos macam sekarang.
“Saya graduan kursus kimia dari sebuah IPTA, tak ada pendidikan asas kereta pun, tapi secara tiba-tiba saya minat dengan kereta walaupun itu kerja orang lelaki,” katanya.
Ikuti perkongsian 25 tahun dunia Aida sebagai mekanik dan tips buat wanita yang ingin tahu perkara penting tentang kereta dalam segmen Duduk Sembang di Majoriti.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram